Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Khatib mengajak kepada seluruh kaum muslimin marilah bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Semoga kehidupan kita sentiasa dipayungi rahmat Allah SWT dan sentiasa di bawah pemeliharaan-Nya. Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang disampaikan dan tidak melakukan perkara yang melalaikan seperti menggunakan telefon atau berbual-bual. Semoga kita mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat.
Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Awas Jerat Penipuan”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Islam sangat menggalakkan aktiviti perniagaan kerana ia dianggap sebagai salah satu punca rezeki yang paling banyak. Dalam Islam, setiap aktiviti yang kita lakukan boleh menjadi ibadah yang mengundang pahala daripada Allah SWT, termasuk juga dalam bidang perniagaan. Urusan muamalah atau perniagaan menjadi keperluan hidup kita dalam memenuhi kehendak sama ada terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan. Bagi mereka yang melaksanakan aktiviti perniagaan dengan jujur dan amanah, mereka dijanjikan balasan syurga bersama para nabi, orang soleh dan syuhada’.
Namun demikian, sekiranya ia dilaksanakan dengan cara melanggar batasan syariat Islam seperti wujudnya unsur-unsur penipuan dan mengurangkan timbangan maka ia tidak lagi menjadi ibadah, tetapi lebih berat lagi ia mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT. Allah SWT menegaskan perkara ini menerusi firman-Nya dalam surah an-Nisa’, ayat 29 yang dibacakan di permulaan khutbah tadi yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”
(An-Nisa’ 4:29)
Renungkan bersama sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu yang memberi amaran yang keras kepada golongan yang melakukan penipuan ini yang maksudnya:
“Sesiapa yang mengangkat senjata ke atas kami, bukanlah daripada golongan kami, dan siapa yang menipu kami, bukan daripada golongan kami”.
(Hadis Riwayat Imam Muslim)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Sejak kebelakangan ini terlalu banyak kes-kes penipuan terutamanya penipuan dalam talian. Terdapat beberapa jenis penipuan dalam talian termasuklah Macau scam, parcel scam, love scam, money game, skim cepat kaya, bahkan terdapat juga penipuan dalam bentuk pelaburan syariah. Pelbagai cara yang digunakan oleh sindiket ini untuk menipu dan memperdaya masyarakat bagi mendapatkan wang secara tidak halal.
Bagi kes penipuan dalam pelaburan contohnya, statistik Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah menunjukkan peningkatan yang ketara ke atas bilangan aduan yang diterima. Untuk 6 bulan pertama tahun 2023 sahaja, terdapt sebanyak 1,160 aduan telah diterima. Jumlah ini melebihi jumlah aduan yang diterima sepanjang tahun 2022 iaitu 1,124 aduan. Apa yang menggusarkan ialah majoriti pengadu adalah dalam kalangan orang Islam.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menunjukkan kes-kes jenayah komersial pada tahun lalu menurun kepada 30,536 kes membabitkan kerugian RM1.73 bilion berbanding 31,490 kes pada 2021 dengan jumlah kerugian RM2.20 bilion. Bagi statistik kes jenayah penipuan dalam talian, jumlah kes yang dilaporkan pada tahun lalu telah mencatat sedikit penurunan iaitu 20,041 kes berbanding 20,701 kes pada tahun 2021. Walaupun jumlah kes dilaporkan menurun, namun jumlah kerugian akibat jenayah itu telah meningkat kepada RM684.5 juta tahun lalu berbanding jumlah kerugian dicatatkan pada tahun 2021 iaitu sebanyak RM560.8 juta.
Apa yang menggusarkan ialah, modus operandi yang digunakan oleh mereka sentiasa berubah-ubah dan licik. Sebagai contoh, mereka telah memperdaya umat Islam untuk melaburkan duit simpanan mereka ke pelaburan yang kononnya patuh syariah, sedangkan ianya tidak wujud. Mereka juga telah mengeksploitasi gambar-gambar tokoh, selebriti, pempengaruh bahkan agamawan supaya masyarakat yakin dengan pelaburan mereka. Berdasarkan kenyataan akhbar pihak Polis Diraja Malaysia, sepanjang 1 Januari hingga 11 Ogos 2023, sejumlah 216 kes penipuan pelaburan ‘patuh syariah’ sedang disiasat oleh PDRM melibatkan kerugian RM11,291,872.04.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Realiti yang berlaku ialah kita terlalu mudah terpedaya dan tertipu kerana mereka yang melakukan kegiatan ini menggunakan bahasa dan tutur kata yang mampu menggoda dan melembutkan hati pengguna sehingga kita gagal untuk menyiasat atau tabayyun terlebih dahulu perkara tersebut.
Justeru, mimbar ingin menasihatkan seluruh masyarakat agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati supaya kita dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kepada jenayah-jenayah atas talian ini. Ambillah tahu mengenai pendedahan-pendedahan yang diberikan oleh pihak berkuasa mengenai jenayah penipuan yang berlaku di dalam negara. Bagi mereka yang mempunyai simpanan wang yang banyak khususnya kepada golongan pesara, sentiasalah peka dan bijak untuk menilai sesuatu tawaran atau skim yang melibatkan transaksi kewangan terutama melalui panggilan telefon, pesanan khidmat ringkas dan sebagainya.
Dalam memastikan kita tidak menjadi mangsa kepada jenayah penipuan ini, terdapat beberapa langkah yang perlu diambil, antaranya:
Pertama: Berwaspada dengan skim pelaburan dan perniagaan yang menjanjikan keuntungan luar biasa yang ditawarkan di platform media sosial.
Kedua: Tidak mendepositkan wang ke dalam akaun bank milik individu yang tidak dikenali dan boleh diragui kesahihannya.
Ketiga: Hanya membuat pembayaran ke akaun bank entiti yang berlesen atau berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Keempat: Merujuk pihak berkuasa atau pihak berautoriti seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mimbar ingin mengingatkan kepada para jemaah sekalian, janganlah sama sekali terlibat dan bersubahat dengan aktiviti-aktiviti jenayah penipuan sebegini. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW tidak mengaku umat bagi orang yang menipu orang lain. Mimbar juga mengingatkan kepada umat Islam supaya tidak terlibat dengan permainan judi dalam talian dan seumpamanya
terutama di media-media sosial. Ingatlah bahawa judi itu adalah haram dan berdosa besar walaupun dengan nilai yang sedikit. Sebagai ibu bapa, sentiasalah memberi nasihat dan peringatan kepada anak-anak supaya tidak terjebak dengan sebarang bentuk permainan di media sosial yang mempunyai unsur-unsur perjudian. Semoga Allah SWT memelihara kita dan anak-anak daripada perbuatan dosa dan maksiat.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Islam sangat menggalakkan aktiviti perniagaan kerana ia dianggap sebagai salah satu punca rezeki yang paling banyak.
Kedua: Kita perlu sentiasa berhati-hati dengan setiap tawaran atau peluang yang ditawarkan terutamanya di platform media sosial.
Ketiga: Hindarilah dari terlibat dengan aktiviti-aktiviti penipuan yang bukan sahaja merugikan diri sendiri, bahkan merugikan orang lain juga.
Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 168 bermaksud:
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Al-Baqarah 2:168)
Tarikh Dibaca: 6 Rabiulawal 1445H/22 September 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment