Sarapan Kari di Kafe Suhaimi, Ipoh, Perak

Oleh Mymuslimin.com

Mencari sarapan memang sesuatu yang ditunggu-tunggu apabila melancong. Sarapan di hotel itu sekadar kemudahan, menjejak sarapan pagi tempatan itu cabaran! Ipoh memang terkenal dengan berjenis-jenis kafe artisan serta hidangan dim sumnya tetapi untuk mencari restoran yang dibuka seawal 7 pagi, Kafe Suhaimi ialah di antara pilihan terbaik di sini. 

Kafe Suhaimi ini memang viral, seawal pagi lagi memang sudah dipenuhi orang ramai yang menanti dan sepanjang kami di sana, barisan pengunjung tidak pernah reda. Namun, jangan cepat berputus-asa kerana masa menunggunya tidaklah selama mana dan kerusi-kerusi tersedia di hadapan kedai untuk keselesaan pelanggan.

Cafe ini berkonsepkan gabungan kopitiam dan sarapan barat. Ditawarkan roti-roti bakar, roti telur goyang, roti separuh masak termasuk mi kari ayam, kuetiau kari, nasi kari ayam, juga terdapat kacang pool bersama roti beggali. 

Untuk hidangan barat ditawarkan spageti cheese, spageti carbonara, spageti tomato dan western breakfast. Senarai minumannya panjang termasuk yang menarik kopi Vietnam, minuman Nestum, serta puding karamel dan sago gula melaka sebagai pilihan manisan. 

Alhamdulillah hidangan kari di Kafe Suhaimi ini sedap! Kami memilih mi kari yang kuahnya ringan, tidak begitu berlemak tetapi berperisa. Mi kari ini didatangkan dengan beberapa keping kek ikan berlainan tekstur, serta sambal tambahan untuk menambah kepedasan. 

Kari ayam yang dihidang bersama roti benggali pula dimasak cara berbeza, pekat dan bersari, sesuai untuk dicecah dengan roti. Roti benggali ini teksturnya sedikit liat, mungkin kerana itu ianya sesuai untuk dimakan sebegini. Selain itu, kami juga memesan Roti Bun Bakar dan Roti Telur Goyang Seri Kaya sebagai pilihan sarapan kami. 

Kerana semua pesanan menggunakan kertas chit, minuman yang disediakan manis sekali walaupun yang ditempah itu O. Untuk yang berkesempatan bermalam di Ipoh, singgahlah di Kafe Suhaimi untuk pengalaman bersarapan di restoran viral. 

Kafe Suhaimi
Jalan Kledang Raya 22, Taman Alkaff, 30100 Ipoh, Perak
Dibuka: 745am – 1 tengahari setiap hari

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑