Refleksi Diri: Jangan Dilayan Keinginan Pelik dan Sia-Sia

Salah satu cara terbaik untuk mengawal kecenderungan kita yang pelik dan sia-sia, adalah dengan mengabaikan dan mengasingkannya. Kita perlu melakukan pengasingan ini dengan tidak mengikutkan kehendak diri sendiri. Apabila tidak dilayan, keinginan tadi akan melemah dan tidak menyerlah. Namun, apabila kita memikirkan tentangnya dengan akal kita, atau menggunakan tangan kita, kaki kita, mata kita, atau telinga kita untuk tujuan keinginan tersebut, kita akan memperkasakannya. Tanpa bantuan dari diri kita sendiri, keinginan tersebut tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Kita mesti sedar tentang perkara ini dan berusaha untuk mengasingkan keinginan dan kemahuan diri kita yang pelik dan sia-sia itu. Apabila kemahuan ini diasingkan, ianya akan mati begitu sahaja.

Proses pengasingan ini bertunjang daripada ketakutan dan ketakwaan kita kepada Tuhan. Allah SWT berfirman di dalam Al-Qur’an yang bermaksud:

Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.

(An-Naziat 79:40-41)

Ketakutan dan ketakwaan itu muncul daripada pengetahuan kita tentang Allah SWT. Atas sebab ini, Imam al-Muhasibi, telah memperkenalkan  perbincangan tentang rasa takut kepada Allah SWT dan keadaan-keadaan berikutnya.

Kita jangan berpuas hati dengan menunggu kebaikan untuk hadir dalam hidup kita. Kita juga harus mencuba sedaya upaya mengelakkan diri daripada menjadi pusat perhatian. Kita perlu sentiasa bersyukur kepada Allah SWT dan sentiasa memohon keampunan-Nya. 

Renungkanlah ke dalam fikiranmu, dan bersiap siagalah untuk mendepani cabaran dengan ilmu yang baik dan berguna.

Pengajarannya di sini ialah agar kita perlu proaktif dalam mencari kebaikan untuk jiwa kita dan dalam menangkis kejahatan. Ini semua memerlukan ilmu pengetahuan.

Salah satu bidang ilmu yang paling berfaedah dalam hal ini ialah pengetahuan tentang pelbagai cara kita boleh melakukan kebaikan untuk jiwa kita. Allah SWT mengingatkan kita tentang banyak jalan menuju kebaikan yang Dia buka di hadapan kita, dan kesediaan-Nya untuk menerima apa sahaja yang kita lakukan untuk mengejar kebaikan itu. 

Firman Allah, sebagai contoh,

Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).

(Al-Baqarah 2:215)

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

(Al-Zalzalah 99:7)

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri,” 

(Fussilat 41:46)

Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda,

“Janganlah kau memandang rendah suatu kebaikan pun, meski kau sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang berseri-seri.”

(HR Abu Daud 4084)

Sebagai orang Islam, kita mesti menjadi penyampai kebaikan dan kebaikan itu harus meninggalkan kesan yang kekal kepada masyarakat yang kita santuni.

Salah satu bentuk pengetahuan terbaik yang boleh kita miliki ialah pengetahuan tentang alam dunia. Seseorang yang mengetahui sifat dunia, sedar bahawa dunia ini hanyalah tempat tinggal yang sarat ujian dan penuh dengan kesusahan.

Allah SWT mengingatkan kita dengan Firman-Nya,

Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).

(Al-Mulk 67:1-2)

Sumber: Treaties for the Seekers of Guidance, Al-Muhasibi’s Risala Al-Mustarshidin

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑