Teks Khutbah Jumaat: Hakikat Cinta Rasul SAW 

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. 

Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam naungan Allah SWT. Khatib mengingatkan para jemaah agar memberi sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara-perkara yang lagha seperti menggunakan telefon dan berbual-bual. Tumpukan perhatian pada khutbah yang akan disampaikan, mudah-mudahan kita semua mendapat hidayah dan taufiq daripada Allah SWT.

Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Hakikat Cinta Rasul SAW”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kini kita berada di bulan Rabiulawal iaitu bulan kelahiran insan teragung. Saidatina Aminah telah melahirkannya di hening pagi Isnin 12 Rabiulawal, pembawa berita gembira dan rahmat untuk sekalian alam iaitu Nabi Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Muthalib, SAW. Berita kelahiran Nabi Muhammad SAW telah dirakam dalam al-Quran al-Karim sebagaimana telah khatib bacakan di awal khutbah tadi di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”

(Surah at-Taubah, ayat 128)

Pada firman Allah SWT ini, jelas bahawa kelahiran Nabi SAW adalah nikmat terbesar kepada manusia sejagat. Baginda telah diutuskan daripada kalangan manusia, dan berbangsa arab supaya manusia dapat mengikuti jejak langkah dan memahami risalah yang disampaikannya. Tambahan lagi, baginda seorang yang amat pengasih kepada kita dan bersedih dengan kesusahan yang menimpa kita. Demikianlah cinta Rasulullah SAW terhadap kita umatnya.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Mencintai Rasulullah SAW adalah salah satu tonggak keimanan kepada Nabi Utusan Allah. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku (Rasulullah SAW) lebihlah kamu cinta daripada orang tuanya dan anaknya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Untuk menambah kecintaan umat kepada Rasulullah SAW, para salafussoleh semenjak kurun kelima dan keenam hijrah telah menganjurkan sambutan Maulidurrasul, dengan melakukan amal soleh berupa jamuan makan, membaca al-Quran dan berzikir serta memuji-muji Nabi SAW melalui syair dan puisi yang mengambarkan perihal kemuliaan Nabi SAW.

Dalam hubungan ini, al-Hafiz Ibn Hajar mengharuskan sambutan Maulidurrasul dengan berhujahkan pada perbuatan Nabi SAW yang berpuasa pada hari Isnin dan baginda juga berpuasa pada hari ‘Asyura kerana bersyukur Nabi Musa diselamatkan Allah SWT daripada Firaun.

Para ulama’ lain seperti al-Suyuti, Ibn Jauzi, Ibn Kathir dan lain-lainnya menyenaraikan begitu banyak hujah keharusan dan menggalakkan umat Islam menyambut kelahiran Nabi SAW. Justeru, Imam al-Qastalani menukilkan daripada Imam Jazari, bahawasanya mereka yang menyambut Maulidurrasul akan mendapat ketenangan yang berpanjangan dan menggerunkan hati orang yang tidak beriman.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Rasulullah SAW diciptakan dengan penuh kesempurnaan serta keindahan pada diri dan akhlak Baginda SAW. Kesempurnaan akhlak Baginda SAW telah ditegaskan oleh al-Quran sebagaimana firman Allah SWT bermaksudnya:

“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”

(Surah al-Qalam 68:4)

Dalam hubungan ini juga, Rasulullah SAW telah bersabda sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahuanhu, Nabi SAW bersabda yang maksudnya:

“Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.”

(Riwayat Imam Ahmad)

Justeru, khatib ingin mengambil kesempatan pada hari yang mulia ini untuk mengingatkan kaum Muslimin sekalian agar kita meningkatkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dan seterusnya menzahirkan kecintaan tersebut dengan meningkatkan penghayatan terhadap akhlak Baginda yang mulia.

Sesungguhnya banyak akhlak mulia Rasulullah SAW yang mesti kita terapkan dalam kehidupan kita selaku seorang Muslim pada hari ini. Antara akhlak mulia tersebut ialah agar kita bersama-sama ‘mentakzim’ atau mengagungkan dan memuliakan Umat Nabi Muhammad SAW.

Dalam hubungan ini, maksud ‘mentakzim’ umat Nabi Muhammad SAW boleh difahami sebagai amalan dan tindakan bersegera bagi menjaga kebajikan mereka dan seterusnya menyatupadu dan mengharmonikan sesama umat Islam. Mentakzim umat Nabi Muhammad SAW juga bererti kita umat Islam mesti saling memelihara dan menjaga maruah dan harta benda mereka.

Tanggungjawab memuliakan umat Nabi Muhammad SAW telah terzahir sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahuanhu, Baginda SAW bersabda yang bermaksudnya:

Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Lalu para sahabat bertanya: Apakah perkara-perkara tersebut wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang Allah haramkan melainkan dengan adanya hak, makan riba, makan harta anak yatim, berpaling dari medan perang, dan menuduh wanita yang telah berkahwin yang beriman melakukan zina yakni qazaf.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Bersempena dengan sambutan hari Kelahiran Rasulullah SAW pada tahun ini, Khatib ingin mengajak diri dan seluruh umat Islam untuk bersama-sama meningkatkan kualiti akhlak yang mulia dan menjadikan Nabi Muhammad SAW suri teladan terbaik.

Bagi tujuan itu juga, kita selaku umat yang berkeperibadian mulia mesti menjauhi diri dari terlibat dengan amalan-amalan yang bersifat keji dan mungkar sama ada dalam bentuk lisan dan perbuatan yang akan merendahkan kemuliaan diri kita selaku umat Nabi Muhammad SAW.

Di dunia yang serba canggih pada hari ini, marilah kita menjauhkan diri dari perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah sesama umat Islam, tuduh menuduh secara melulu dengan mengatakan sesat dan kufur ke atas orang Islam, mencaci-maki sehingga boleh terjebak dalam perbuatan jenayah qazaf yang amat berat dosa dan hukuman di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang keji ke atas orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat, dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).”

(Surah an-Nur, 24:19)

Bagi mengakhiri khutbah, khatib ingin mengajak beberapa perkara:

Pertama: Marilah kita menzahirkan kegembiraan di atas kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW.

Kedua: Sambutan Maulidur Rasul adalah manifestasi cinta seseorang kepada Nabi SAW dan mampu mengukukuhkan keimanan kepada Baginda Nabi SAW.

Ketiga: Marilah kita mengikut suri tauladan Baginda SAW supaya terzahir hakikat cinta sebenar kepada Rasulullah SAW dengan menyatupadukan umat baginda SAW.

Tarikh Dibaca: 13 Rabiulawal 1445H/29 September 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑