Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Marilah kita tingkatkan ketakwaan kehadrat Allah SWT iaitu menurut segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya supaya kita memperoleh keredaan dan keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.
Khutbah hari ini adalah bertajuk “Jadilah Hamba Yang Berdoa.”
Muslimin yang dirahmati Allah,
Amalan berdoa merupakan salah satu daripada elemen yang penting dalam kehidupan seseorang Muslim. Hukum berdoa adalah sunat ataupun mustahab (digalakkan). Ia merupakan pengakuan kepada kekuasaan Allah SWT. Seruan berdoa boleh dilakukan sama ada dalam keadaan senang atau susah, dikala suka mahupun duka, secara bersendirian atau berjemaah. Perintah berdoa terdapat dalam surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud:
“Dan apabila hamba-hamba-ku bertanya kepadamu mengenai aku, maka (beritahu kepada mereka) ‘Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaku’….”
(Al-Baqarah 2:186)
Menurut Imam al-Qurtubi, ayat ini menunjukkan perintah Allah SWT supaya sentiasa berdoa dan beribadah kepadanya dan dijanjikan bahawa doa-doa yang dipohon akan dikabulkan. Demikian juga Allah SWT murka terhadap orang yang tidak berdoa. Firman Allah SWT dalam surah Ghafir ayat 60 yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.”
(Ghafir 40:60)
Abu Hurairah Radiallahuanhu pula meriwayatkan tentang kelebihan berdoa seperti dalam hadis Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada sesuatu yang lebih mulia disisi Allah SWT daripada berdoa.”
(Riwayat al-Tirmizi)
Muslimin yang mulia,
Amalan saling mendoakan antara seorang dengan yang lain adalah sunnah Rasulullah SAW yang sewajarnya menjadi ikutan dan tauladan oleh setiap umatnya. Doa berperanan menjalin kasih sayang dan mengeratkan perhubungan mesra sesama insan. Sebagai contoh, Rasulullah SAW menyuruh kita mendoakan orang yang bersin.
Hadis daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah ia menyebut Alhamdulillah. Dan menjawab bagi saudara atau sahabatnya yarhamkallah (Semoga Allah merahmatimu). Maka apabila seseorang menyebut kepadanya (orang yang bersin) Yarhamkallah, maka hendaklah menyebut Yahdikumullah wa Yuslih baalakum (semoga Allah memberi petunjuk dan memperbaiki sifatmu).” (Riwayat al-Bukhari).
Ibnu Abbas Radiallahuanhuma pula menceritakan pengalamannya melalui sebuah hadis;
“Suatu ketika Nabi Muhammad SAW memasuki bilik air. Lalu aku meletakkan air untuk Baginda berwuduk. Baginda bertanya! Siapakah yang meletakkan air ini? Setelah Baginda diberitahu, Baginda pun berdoa yang bermaksud: “Ya Allah pandaikanlah dia dalam bidang agama.”
(Riwayat al-Bukhari)
Demikian juga apabila mendapat berita bahawa sahabat kita ditimpa musibah sama ada disebabkan kematian atau sebagainya, sunat kita mengucapkan takziah atau mendoakannya tanda simpati seperti berikut (إِنَّا لِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ)
Dalam kitab al-Adzkar, lafaz takziah ialah: (أعظَم اللهُ أجرَكَ, وأحسَنَ عَزاءَكَ, وغَفَرَ لِمَيتِكَ)
“Semoga Allah membesarkan pahalamu dan membaikkan kesabaranmu dan mengampunkan bagi si matimu.”
Demikianlah indahnya Islam mendorong agar umatnya saling mendoakan tanpa mengira kedudukan dan pangkat, tanpa mengira orang yang dikenali atau tidak. Amalan ini sudah pasti dapat menjalin kasih sayang dan perhubungan yang mesra sesama umat. Lebih-lebih lagi mendoakan orang tanpa pengetahuannya itu adalah antara doa yang tidak akan terhalang.
Hadirin yang dirahmati Allah SWT,
Sesungguhnya setiap doa atau permohonan kepada Allah SWT itu hendaklah diiringi dengan sifat takwa, iaitu menunaikan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya, supaya doa itu dimakbulkan, tidak tergantung-gantung atau ditolak.
Dalam kitab Al-Majalis Al-Saniyyah, seorang ahli Sufi bernama Ibrahim bin Adham, ketika berjalan di pasar Bashrah, orang ramai datang mengerumuninya, diantara mereka ada yang bertanya; “Kami sudah berdoa, tetapi kenapa doa kami tidak dikabulkan?” Ibrahim bin Adham lantas menjawab; “Doa kamu tidak dimakbulkan kerana hati-hati kamu telah mati, dengan beberapa sebab;
1. Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak menyempurnakan haknya.
2. Kamu menyangka kamu mencintai Rasulullah SAW, tetapi kamu meninggalkan sunnahnya.
3. Kamu membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
4. Kamu makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak bersyukur kepadanya.
5. Kamu katakan bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuknya.
Daripada kata-kata tersebut, jelas membayangkan betapa doa itu adalah berkait rapat dengan hati, iaitu hati yang hidup dengan amalan serta iman dan takwa, yang akan memperolehi kemurahan dan perkenan Allah SWT.
Muslimin yang dirahmati Allah SWT,
Para Ulama menyatakan, orang yang wajar didoakan antaranya;
1. Mendoakan Nabi Muhamad SAW dengan mengucapkan selawat kepada baginda. Hadis daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Siapa yang mengucapkan selawat untukku satu kali, Allah akan memberinya rahmat sepuluh kali ganda.” (Riwayat Muslim).
2. Mendoakan Ahli keluarga Rasulullah SAW, Para Sahabat dan pengikut Baginda, selepas sempurna mengucapkan doa dan selawat keatas Baginda.
3. Medoakan ibu bapa kita, sebagai membalas jasa keduanya yang memelihara dan mendidiknya diwaktu kecil, dengan doa memohon Allah SWT memberi keampunan dosa-dosa mereka.
4. Mendoakan anak supaya menjadi anak yang soleh sebagaimana Nabi Ibrahim Alaihissalam mendoakan anakya dalam surah al-Saffat ayat 100:
رَبِّ هَبْ لِى مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
“Wahai Tuhanku ! kurniakan kepadaku anak yang tergolong daripada orang-orang yang soleh”
(Al-Saffat 37:100)
5. Mendoakan ulama dan guru yang mengajar kita ilmu yang bermanfaat. Ia merupakan adab terhadap guru, semoga ilmu yang diajar itu mendapat keberkatan.
6. Mendoakan Orang yang berbuah baik kepada kita. Rasulullah SAW menyuruh berdoa;
جَزاكَ اللهُ خَـيْراً
Maksudnya; “semoga Allah membalasmu dengan kebaikan.”
(Riwayat Ibnu Hibban)
7. Mendoakan orang yang memusuhi kita termasuk yang bukan Islam dengan doa:

“Allahummahdi qaumi fainnahum la ya’lamun”
8. Selain daripada itu, menurut Fudhail bin ‘Iyadh, sekiranya aku mempunyai doa yang mustajab, nescaya orang yang pertama aku doakan ialah pemimpin aku, kerana jika pemimpin itu baik, nescaya baiklah rakyat dan sejahteralah negara.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Walau bagaimanapun, kita diingatkan jangan sesekali memohon sesuatu doa yang tidak baik keatas diri sendiri, anak, harta benda, atau ke atas sesiapa sahaja dari hamba Allah seperti mendoakan seseorang supaya dilaknat Allah SWT, dipendekkan usia, ditimpakan bala bencana, dimusnahkan harta benda dan lain-lain perkara buruk.
Islam mengajar kita sekiranya dizalimi oleh seseorang maka hendaklah menyerahkan perkara itu kepada Allah SWT. Menurut Aishah Radiallahuanha bahawa Rasulullah SAW suka memilih doa-doa yang lengkap dan padat yang menghimpunkan perkara penting mengenai urusan dunia dan akhirat.
Antara doa-doa baginda adalah:

“Ya Allah aku memohon keselamatan di dunia dan di akhirat, Ya Allah, berilah kami rezeki yang baik (halal) dan jadikan kami seorang yang soleh (baik amalan). Ya Allah, aku memohon petunjuk, takwa, kesucian diri, dan bergantung pada diri sendiri.”
Demikian juga seseorang yang berdoa itu disaran supaya memelihara dirinya daripada makan minum yang haram, kerana yang demikian itu adalah salah satu syarat yang terpenting bagi penerimaan doa.
Para Ulama berkata; “Doa itu laksana kunci, dan anak kuncinya ialah makanan yang halal.”
Saudara-saudara muslimin yang mulia,
Bagi mengakhiri khutbah ini, marilah kita menghayati saranan berikut;
1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa Allah SWT berkuasa mengabulkan doa hamba-Nya, sama ada menyegerakan atau menangguhkannya.
2. Umat Islam hendaklah saling mendoakan antara satu sama lain supaya selamat daripada kemurkaan Allah SWT dan selamat daripada azab api neraka.
3. Umat Islam dilarang mendoakan sesiapa sahaja hamba Allah akan sesuatu perkara yang tidak baik walaupun kepada diri sendiri.
4. Umat Islam hendaklah berdoa dengan harapan tertanamlah sifat mahmudah dan terbuanglah sifat mazmumah yang bermaksud:
“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”
(al-A’raf 7:55)
Tarikh Dibaca: 29 Sept 2023M l 13 Rabi’ul Awwal 1445H
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment