Refleksi: Bebaskan Diri Daripada Sangka Buruk, Cemburu dan Sombong

Lindungi Hati Daripada Bersangka Buruk Dengan Mengandaikan Yang Terbaik 

Mempunyai sangkaan yang baik tentang orang lain adalah sebahagian daripada Islam. Kita hendaklah sentiasa bersangka baik tentang tindak-tanduk orang lain untuk membayangkan kemantapan mereka dalam agama dan kedudukan mereka yang baik di sisi Allah SWT. 

Berfikir sebaliknya akan mendedahkan diri kita kepada pendapat yang akan membayangkan dosa dan kekufuran. Di sini Imam al-Muhasibi memberi amaran kepada kita terhadap kecenderungan berfikiran sedemikian dengan mengingatkan kita untuk bersikap murah hati dan seliberal mungkin dalam menafsirkan perbuatan meragukan yang kita lihat pada saudara atau saudari seIslam kita.

Dengan menutup aib orang Islam yang lain, kita memohon Allah SWT  agar menutup aib diri kita sendiri. Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seorang hamba menutup aib orang lain di dunia ini melainkan Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat.”

(HR Bukhari 2442)

Sebaliknya, mereka yang mempunyai seburuk-buruk sangkaan terhadap saudara seagama mereka dan berusaha untuk mencari dan menyiarkan kesalahan mereka diberi amaran oleh Allah SWT dalam Firman-Nya yang bermaksud: 

Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). 

(An-Nur 24:19)

Menolak Cemburu dengan Kurang Berharap Kepada Dunia

Imam al-Muhasibi menyebut salah satu faedah yang besar daripada tidak mengharapkan kepada dunia ialah ia boleh menjadi alat untuk kita menolak hasad dengki. Apabila seseorang tidak menjangkakan untuk hidup lama di dunia, tidak mungkin dia memikirkan kenikmatan yang diperolehi daripada rezeki yang diambil dari seseorang yang kita iri hati dan kemudian diberikan kepada kita. Kita juga tidak akan mengendahkan rezeki yang dinikmati oleh orang lain jika kita tidak rasa kita akan hidup lama di dunia ini. Kedua-dua situasi ini akan membunuh motivasi utama untuk cemburu.

Satu lagi cara terbaik untuk menangkis rasa cemburu daripada diri sendiri ialah dengan berdoa agar Allah SWT menambah rezeki mereka yang anda cemburui dalam bentuk kualiti atau kuantiti harta yang mereka ada. Jika anda cemburu dengan kereta seseorang, misalnya, berdoalah kepada  Allah SWT untuk mengurniakan dia kereta yang lebih mantap lagi. Hidup ini sebenarnya terlalu singkat untuk dipenuhkan dengan cemburu dan melakukan usaha yang sia-sia. 

Hindari Sombong dengan Mengingati Kekuasaan Allah

Setiap kali diri kita merasa sombong, tinggi diri, pergilah berdiri di tepi gunung. Jika itu membuatkan anda berasa kecili, fikirkanlah kehebatan kuasa Allah SWT yang mencipta gunung dan segala-galanya di alam semesta. Kemudian renungkan hakikat bahawa Dia yang telah mencipta semua yang kita lihat atau bayangkan di bawah kekuasaan-Nya. Betapa luasnya kuasa Allah SWT? Dalam kekuasaan-Nya yang luas itu, kita ini siapa sebenarnya? Berapa banyak ruang yang kita penuhkan? Berapa banyak masa yang terlibat dalam kehidupan kita di dunia ini berbanding dengan masa yang telah mendahului kita dan masa yang kekal dari keabadian yang datang selepas kematian kita?

Jika kita melihat segalanya dalam perspektif yang betul, kita ini sebenarnya kecil sekali. Namun, kita ini sifatnya angkuh dan enggan menyedari keterbatasan kita. Kita tiada kehebatan tanpa Allah SWT. Datangnya kita ke dunia ini dalam keadaan tidak berdaya dan jahil sama sekali. Kasih dan belas yang Allah SWT letakkan di dalam hati orang lain membuatkan memberi ingin menjaga kita, memberikan pakaian, perlindungan, makanan, dan pelajaran. Namun kita membesar dan kurang  menghargai belas kasihan Tuhan. Lebih teruk lagi, kita menolak Tuhan itu sendiri! 

Allah meringkaskan keadaan yang celaka ini dengan Firman-Nya di dalam al-Quran, 

Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati), Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”

(Yasin 36:77-78) 

Manusia sering lupa bahawa hadirnya ke dunia ini adalah melalui saluran yang sama dengan air kencing yang keluar dari tubuh kita.

Sumber: Treaties for the Seekers of Guidance, Al-Muhasibi’s Risala Al-Mustarshidin

Terjemahan: Mymuslimin.com

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑