Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 1 – Pahala Amal Bergantung Niat

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsah, Umar bin al-Khatab RA berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إنَّمَا الْأَعْمَالُ بالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِى مَا نَوَى.

فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ؛ فَهَجْرَتُهُ إلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ. وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا، أَوِ امْرَأَةٍ

يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ. ؛

Maksudnya: “Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung pada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dia akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah menuju dunia yang akan diperolehnya atau menuju wanita yang hendak dinikahinya, dia akan mendapatkan apa yang diniatkannya.”

(Riwayat al-Bukhari no. 1, Muslim no. 1907)

Huraian

1. Dalam hadis ini disebutkan kalimah “Diterima amal perbuatan itu bergantung pada niatnya.” Amal di sini ialah semua jenis amal yang dibenarkan syariat. Lantas, segala jenis amal yang dibenarkan syariat yang dilakukan tanpa niat, menjadi tidak bernilai apa-apa menurut agama. Misalnya wuduk, mandi wajib, tayamum, solat, zakat, puasa, haji, iktikaf dan ibadah-ibadah lain.

Bagaimanapun, ada segolongan ulama yang berpendapat bahawa wuduk dan mandi tetap sah sekalipun tanpa niat. Ini kerana para ulama berbeza pendapat tentang maksud kalimah tersebut. Sebahagian memahami niat itu sebagai syarat, iaitu amal itu sah hanya apabila disertai niat dan sebahagian yang laim memahami niat itu sebagai penyempurna. Maksudnya amal itu menjadi sempurna apabila disertai niat.

2. Kalimah “Sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya.” Menurut al-Khatthabi menunjukkan pengertian yang berbeza daripada sebelumnya, iaitu menegaskan bahawa sah atau tidaknya amal itu bergantung pada niatnya. Syeikh Muhyidin al-Nawawi juga menerangkan bahawa niat itu menjadi syarat sah sesuatu amal.

Sekiranya seseorang mengqada solatnya yang telah luput, dinilai tidak sah tanpa niat qada. Dia juga harus berniat jenis solat sama ada solat zuhur, asar atau lain-lain. Sekiranya kalimah kedua di atas menetapkan pengertian seperti yang pertama, nescaya dibenarkan mencukupkan niat tanpa mengkhu suskan perbuatannya, atau asal sudah berniat solat sahaja.

3. Berhubung kalimah “Sesiapa berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dia akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya,” ahli bahasa Arab menetapkan bahawa kalimah “syarat dan jawabnya”, begitu juga “mubtada” (subjek) dan “khabar” (predikat) haruslah berbeza. Sedangkan dalam kalimah di atas ternyata kedua-duanya sama. Oleh sebab itu, kalimah syaratnya bermakna niat atau maksud, baik secara bahasa mahupun syariat. Maksudnya, sesiapa berhijrah dengan niat kerana Allah dan Rasul-Nya, maka akan mendapat pahala daripada hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya itu.

4. Perbuatan yang di luar lingkungan ibadah iaitu perbuatan yang menjadi tabiat hidup manusia seperti makan, minum, tidur dan sebagainya turut mendapat pahala jika diniatkan untuk memelihara keselamatan dan kesihatan tubuh badan supaya dapat beribadah.

5. ‘Ali bin al-Husain membahagikan amal ibadah kepada tiga:

  • Ibadah Hamba: Ibadah orang yang takut kepada Allah.
  • Ibadah Saudagar: Ibadah orang yang hendak mendapatkan syurga dan pahala.
  • Ibadah Merdeka: Ibadah yang sebenar kerana menunaikan tanggungjawab, rasa syukur dan berasa malu kepada Allah.

6. Kita hendaklah ikhlas dalam amal ibadah dan setiap pekerjaan agar mendapat kemudahan dan kebahagiaan di dunia dan mendapat pahala di akhirat.

Latarbelakang Hadis: Hadis ini dikatakan turun kerana seorang lelaki yang mengikut Rasulullah SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah kerana ingin mengahwini seorang perempuan bernama Ummu Qais. Dia berhijrah bukan untuk mendapatkan pahala hijrah. Oleh sebab itu dia digelar Muhajir Ummu Qais.

Rujukan: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

One thought on “Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 1 – Pahala Amal Bergantung Niat

Add yours

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑