Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa terpelihara, dipayungi rahmat dan dipandu dengan hidayah Allah SWT. Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang disampaikan dan tidak melakukan perkara-perkara yang melalaikan seperti menggunakan telefon atau berbual-bual. Semoga amal ibadah kita diterima Allah SWT.
Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Jauhi Zina, Pelihara Nasab”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Antara maqasid al-Syariah iaitu tujuan-tujuan syariat diturunkan adalah untuk menjaga nasab keturunan. Secara fitrah, nasab keturunan menjadi satu elemen penting dalam menentukan kesinambungan susur galur, keturunan dan salasilah manusia. Nasab keturunan inilah yang menjadi asas kemuliaan maruah seseorang insan yang wajib dijaga dan dipelihara.
Ia tidak hanya memberikan kesan kepada individu itu sahaja, sebaliknya melibatkan generasi sebelum dan selepasnya. Islam memberikan perhatian khusus kepada perihal pentingnya nasab keturunan manusia. Firman Allah SWT menerusi surah al-Furqan, ayat 54 yang dibacakan tadi membawa maksud:
“Dan Dialah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan penalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya Tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya).”
(Al-Furqan 25:54)
Demi memelihara kesejahteraan zuriat dan keturunan, Islam telah menghalalkan nikah dan mengharamkan zina bahkan melarang kita daripada perbuatan-perbuatan yang boleh menjurus kepada perzinaan termasuklah seperti hubungan luar tabi’i. Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra’, ayat 32 bermaksud:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Al-Isra’ 17:32)
Perbuatan zina mengundang pelbagai kerosakan dan kemudaratan seperti merosakkan nasab keturunan dengan lahirnya anak luar nikah iaitu anak tidak sah taraf, mengundang kepada penyakit-penyakit berbahaya seperti HIV/AIDS, sifilis dan seumpamanya, pergaduhan antara suami dan isteri sehingga boleh meranapkan kebahagiaan sesebuah institusi kekeluargaan bahkan menyebabkan terjadinya pembunuhan.
Justeru, sebagai ibu bapa, janganlah biarkan diri kita, keluarga dan anak-anak yang kita sayangi terdedah kepada ruang dan peluang untuk berlaku zina seperti berdua-duaan di antara lelaki dan wanita bukan mahram, menonton pornografi, pergaulan bebas dan sebagainya. Dalam hal ini, semua pihak mestilah berganding bahu, memainkan peranan aktif membendung gejala zina dan perbuatan-perbuatan yang menghampirinya dengan membudayakan amar makruf dan nahi munkar dalam masyarakat.
Anak-anak muda yang telah cukup syarat untuk berkahwin, berkeinginan memiliki pasangan hidup dan mampu untuk menjadi ketua keluarga, bersegeralah untuk berkahwin. Inilah jalan terbaik untuk mengelakkan berlakunya perzinaan. Para suami juga diingatkan, tunaikan tanggungjawab memenuhi nafkah zahir dan batin kepada isteri. Janganlah sekali-kali terlibat dengan dosa maksiat yang boleh membawa kepada zina.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Dalam mendepani permasalahan sosial dalam kalangan masyarakat, isu nasab keturunan berkaitan anak tidak sah taraf amat dititikberatkan dalam Islam. Hakikatnya syariat Islam sangat mementingkan pemeliharaan nasab bahkan termasuk dalam salah satu aspek maqasid al-Syariah kerana ia akan memberi kesan kepada hukum-hukum yang lain termasuk perwalian, perwarisan harta pusaka, perkahwinan, nafkah dan lain-lain.
Syariat Islam telah menetapkan bahawa anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan ibu itu mengandungkan anak tersebut. Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 31 Julai 2017 telah memutuskan bahawa anak yang tidak sah taraf tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada ayah biologinya, selaras dengan pandangan jumhur ulama. Penamaan anak tidak sah taraf di negara ini adalah jelas sebagaimana Garis Panduan Penamaan dan Kedudukan Anak Tidak Sah Taraf Dari Segi Syarak yang telah diputuskan dan dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang pada 25 Jun 1998.
Jabatan Pendaftaran Negara mempunyai kuasa melalui Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) menetapkan beberapa prosedur pendaftaran anak tidak sah taraf iaitu;
Pertama: Pendaftaran anak tidak sah taraf bagi pasangan beragama Islam boleh dilaksanakan dengan syarat orang yang mengaku bapa hadir bersama ibu di hadapan Pendaftar bagi menandatangani Daftar Kelahiran. Namun, anak tersebut TIDAK DIBENARKAN dibinkan atau dibintikan kepada nama bapa biologi atau nama orang yang mengaku bapa.
Kedua: Nama anak tidak sah taraf boleh didaftarkan dengan nama kanak-kanak sahaja, atau nama kanak-kanak yang dinasabkan kepada Abdullah atau dengan pilihan nama Asmaul Husna. Jika lelaki yang menyebabkan kelahiran tersebut bernama Abdullah, maka kanak-kanak tersebut mestilah dinasabkan kepada pilihan nama Asmaul Husna yang lain dengan menyertakan perkataan Abdul di pangkal nama seperti Abdul Rahman atau Abdul Rahim. Nama kanak-kanak tersebut akan menjadi namanya sepenuhnya dan tidak boleh dipinda jika umurnya telah melebihi satu tahun.
Kita mestilah faham dan maklum bahawa penamaan anak tidak sah taraf ini tertakluk kepada fatwa yang digazetkan di negeri pendaftaran kelahiran tersebut. Bagi fatwa Wilayah Persekutuan, nama kanak-kanak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya atau suami ibunya.
Ketiga: Anak tidak sah taraf yang didaftarkan dengan maklumat ibu sahaja akan didaftarkan dengan nama kanak-kanak tanpa nasab. Walau bagaimanapun, Pendaftar boleh memasukkan nasab Abdullah atau dengan pilihan nama Asmaul Husna jika mendapat permohonan daripada ibu kanak-kanak tersebut.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Sebagai umat Islam, kita diajar supaya tidak menyakiti dan melukakan perasaan orang yang tidak bersalah, apa lagi menganiayai mereka. Oleh yang demikian, umat Islam dinasihatkan agar tidak memandang serong dan hina terhadap anak-anak tidak sah taraf. Sesungguhnya mereka tidak bersalah dan tidak mewarisi dosa daripada perbuatan zina ibunya. Justeru, mereka wajar diberikan perhatian, pendidikan, layanan dan kasih sayang yang sama dengan anak-anak yang lain.
Marilah kita menjadi masyarakat yang prihatin, cakna dan bertanggungjawab. Sentiasalah bersikap proaktif, saling memberikan nasihat dan teguran ke arah pembentukan masyarakat dan institusi keluarga yang terpelihara daripada gejala-gejala sosial yang meruntuhkan akidah dan akhlak Islam. Marilah kita bersama mencegah kemungkaran dan mengekang gejala pergaulan bebas dalam kalangan masyarakat khususnya para remaja. Islam bukanlah agama yang anti sosial, namun Islam menyuruh umatnya berdisiplin, beradab dan beretika dalam bersosial.
Islam itu agama yang tegas. Namun Islam juga penuh rahmat, kasih sayang dan ihsan dalam menyantuni umatnya.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Nasab keturunan manusia yang mulia adalah merupakan anugerah Allah SWT yang wajib dijaga dan dipelihara oleh setiap umat Islam.
Kedua: Peliharalah diri dan maruah daripada perbuatan-perbuatan yang menghampiri zina dan didiklah anak-anak agar tidak terlibat dengan perbuatan dosa yang besar ini.
Ketiga: Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab dan saling melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar supaya masyarakat Islam tidak terlibat dengan perlakuan yang boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan Islam.
Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah an-Nuur, ayat 30 bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”
(An-Nur 24:30)
Tarikh Dibaca: 20 Rabiulawal 1445H/6 Oktober 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment