فَلْيَضْحَكُوا۟ قَلِيلًۭا وَلْيَبْكُوا۟ كَثِيرًۭا جَزَآءًۢ بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ (٨٢)
“Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.”
(Al-Taubah 9:82)
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ(١٠٢)
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(Ali-Imran 3:102)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua.
Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT sekalian, Golongan asnaf Al-Riqab adalah salah satu golongan yang berhak menerima zakat. Allah SWT telah menetapkan lapan golongan yang layak mendapat zakat melalui firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 60:
إِنَّمَا ٱلصَّدَقَـٰتُ لِلْفُقَرَآءِ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱلْعَـٰمِلِينَ عَلَيْهَا وَٱلْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَٱلْغَـٰرِمِينَ وَفِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةًۭ مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌۭ(٦٠)
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orangorang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
(Al-Taubah 9:60)
Hadirin yang berbahagia sekalian,
Setelah meneliti perbezaan pandangan oleh para fuqaha’ dalam mentafsirkan golongan yang layak menerima zakat di bawah al-Riqab dan menilai kemaslahatan umat Islam pada masa kini, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah mengharuskan penggunaan wang zakat untuk membantu asnaf Al-Riqab yang terbelenggu dengan masalah sosial dan akidah. Fatwa Jenis Penerima Asnaf al-Riqab Negeri Selangor Dan Apa-ApaYang Berkaitan Dengannya telah diwartakan pada 7 Jun 2012 bagi memperincikan individu yang layak menerima zakat al-Riqab.
Antara golongan yang berada dibawah kategori masalah sosial adalah golongan yang terbelenggu dengan dadah, masalah jenayah syariah, amalan bertentangan ajaran Islam seperti meninggalkan solat dan puasa, gaya hidup songsang, kes juvana dan lain-lain.
Manakala golongan yang berada di bawah kategori masalah akidah adalah golongan yang terbelenggu dengan masalah syirik dan khurafat serta individu yang terpesong daripada akidah Islam sebenar. Ini jelas menunjukkan bahawa Islam tidak meminggirkan golongangolongan ini walaupun secara lumrahnya dipandang enteng oleh masyarakat.
Malah, beberapa bantuan juga telah disalurkan kepada golongan asnaf al-Riqab ini bertujuan untuk mendidik dan membimbing mereka menjadi mukmin yang diredai Allah. Bagi mengenali lebih mendalam lagi asnaf al-Riqab, pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menganjurkan bulan pembebasan golongan asnaf al-Riqab untuk memberikan pendedahan kepada orang awam khususnya golongan muda tentang realiti bahayanya gejala sosial terhadap individu dan impaknya terhadap agama, bangsa dan negara.
Muslimin yang berbahagia sekalian,
Bercakap mengenai asnaf al-Riqab ini sudah pasti kita akan membicarakan tentang gejala sosial yang semakin seperti zina, dadah, LGBT, rogol, kes-kes juvana dan salah laku dalam Islam dan perlu diberi perhatian serius oleh seluruh lapisan masyarakat.
Oleh itu, beberapa langkah perlu diambil untuk menangani gejala sosial dalam kalangan masyarakat. Antaranya ialah;
1. Anak-anak perlu diberikan perhatian sepenuhnya dan secara konsisten oleh ibubapa seperti memastikan anak-anak diberikan persediaan menghadapi sebarang masalah dan tekanan emosi, menerima dengan baik sesuatu keputusan, membentuk sikap positif dan mengenali rakan-rakan anak agar tidak terjerumus ke lembah maksiat dan sifat-sifat mazmumah.
2. Penekanan didikan agama perlu dititikberatkan oleh seluruh lapisan masyarakat. Penglibatan dalam kuliah pengajian agama, budaya mengajak orang ramai bersolat jemaah perlu digalakkan agar dapat memupuk rasa cinta kepada agama. Rasa cinta kepada agama akan menimbulkan perasaan gerun dan takut untuk melakukan maksiat sebagaimana ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sebuah hadis daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahuanhu yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat dosa-dosanya seolah-olah dia duduk di bawah gunung yang ditakuti akan menimpanya, sebaliknya seorang yang fajir (pelaku dosa) melihat dosanya hanya seumpama seekor lalat yang hinggap di hidungnya.” (Riwayat al-Bukhari)
3. Sesi kaunseling, program pembangunan sahsiah diri pelajar di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi perlu dilakukan secara konsisten dan diberi pembaharuan sesuai dengan peredaran zaman bagi memastikan langkah-langkah pencegahan gejala sosial dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
4. Penguatkuasaan Undang-Undang perlu seiring dengan programprogram kesedaran. Undang-undang yang telus akan membantu mencegah maksiat dan kemungkaran. Aspek pencegahan adalah untuk mencegah manusia daripada melakukan kejahatan. Pencegahan akan berhasil apabila timbul rasa takut dalam kalangan masyarakat terhadap hukuman yang dikenakan.
5. Isu-isu ibadah perlu diambil berat tidak kira siapa dan perlu diberi keutamaan bermula dari institusi keluarga. Hal ini kerana, individu-individu yang menjaga ibadahnya lebih terjamin akidahnya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ankabut ayat 45:
ٱتْلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيْكَ مِنَ ٱلْكِتَـٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ ٱللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ(٤٥)
“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”
(Al-Ankabut 29:45)
Hadirin yang berbahagia sekalian,
Kesimpulan yang dapat diambil dari khutbah Jumaat ini ialah:
1. Membantu golongan asnaf al-Riqab adalah perintah Allah SWT dan bukti keprihatinan Islam terhadap seluruh umat manusia tidak kira latar belakang individu tersebut.
2. Islam sentiasa memberikan peluang kepada setiap manusia untuk menginsafi kesalahan dan menjadi seorang mukmin yang diredai Allah SWT.
3. Umat Islam hendaklah bersikap positif dan bukannya terus menghakimi seseorang yang terlanjur melakukan kesalahan itu.
4. Umat Islam hendaklah sedar bahawa pergaulan bebas dan luar batasan Islam merupakan salah satu punca berlakunya gejala sosial dalam kalangan generasi muda pada hari ini.
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ تُوبُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ تَوْبَةًۭ نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّـَٔاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّـٰتٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ يَوْمَ لَا يُخْزِى ٱللَّهُ ٱلنَّبِىَّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ ۖ نُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَـٰنِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَٱغْفِرْ لَنَآ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ(٨)
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
(Surah al-Tahrim 66:8)
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor
Tarikh Dibaca: 06 Okt 2023m L 20 Rabi’ul Awwal 1445h
Leave a comment