Daripada Umar RA berkata yang maksudnya: “Pada suatu hari ketika kami sedang duduk di dalam satu majlis bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba tampillah di hadapan kami seorang lelaki yang berpakaian serba putih, berambut sangat hitam, tidak terlihat padanya tanda-tanda bekas perjalanan, dan tidak seorang pun antara kami yang mengenalinya. Lalu duduklah dia di hadapan Nabi, kemudian menyandarkan lututnya pada lutut Nabi dan meletakkan tangannya di atas paha Nabi. Selanjutnya dia berkata: ‘Hai Muhammad, beritahukan kepadaku tentang Islam! Rasulullah SAW menjawab Islam itu, engkau bersaksi bahawa sesungguhnya tiada tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah, engkau mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan, dan menunaikan haji jika engkau mampu melakukannya. Orang itu berkata: ‘Engkau benar.’ Kami pun berasa hairan, kerana dia bertanya lalu membenarkan. Orang itu berkata lagi: ‘Beritahukan kepadaku tentang iman!”
Nabi menjawab: ‘Engkau beriman kepada Allah, kepada para malaikat-Nya, kepada kitab-kitab-Nya, kepada utusan-utusan-Nya, kepada hari kiamat, dan kepada takdir, yang baik mahupun yang buruk.’ Berkatalah orang tadi: ‘Engkau benar:’ Orang itu berkata lagi: ‘Beritahukan kepadaku tentang ihsan.’ Nabi berkata: ‘Engkau beribadah kepada Allah, seakan-akan engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia pasti melihatmu.’ Orang itu berkata lagi: ‘Beritahukan kepadaku tentang kiamat.’ Nabi menjawab: ‘Orang yang ditanya tentang itu tidak lebih tahu daripada yang bertanya.’ Selanjutnya orang itu berkata lagi: ‘Beritahukan kepadaku tentang tanda-tandanya.’ Nabi menjawab: Jika hamba perempuan telah melahirkan tuannya, jika engkau melihat orang yang tidak beralas kaki, tidak berbaju, miskin dan penggembala kambing berlumba-lumba dalam mendirikan bangunan. Kemudian orang tersebut pun beredar tetapi aku masih diam tercengang (beberapa lama). Kemudian Nabi SAW bersabda (kepadaku): Wahai Umar, tahukah engkau siapakah yang bertanya itu?’ Aku menjawab: ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.’ Nabi SAW berkata: ‘Dia ialah Jibril. Dia datang kepada kamu untuk mengajarkan kepada kamu agama kamu.” (Riwayat Muslim No. 8)
Huraian
Daripada hadis ini dapat difahami bahawa “Islam” dan “iman” ialah dua hal yang berbeza, baik secara bahasa mahupun syariat. Inilah pengertian asal daripada dua istilah tersebut. Namun begitu, dalam pengertian syariat istilah “Islam” terkadang dipakai dengan makna “iman” atau sebaliknya.
Kalimah Satu
Kalimah “Kami pun berasa hairan, kerana dia bertanya lalu membenarkan” bermaksud para sahabat menjadi hairan atas kejadian itu, kerana orang yang datang kepada Nabi SAW itu hanya dikenali oleh Baginda SAW sendiri dan orang itu belum pernah mereka ketahui bertemu dengan Nabi SAW dan mendengar sabda Baginda SAW. Kemudian dia mengajukan pertanyaan yang dia sendiri sudah tahu jawapannya bahkan membenarkannya. Oleh sebab itu, orang lain menjadi hairan dengan kejadian ini.
Kalimah Dua
Kalimah “Engkau beriman kepada Allah, kepada para malaikat-Nya, kepada kitab-kitab-Nya, kepada utusan-utusan-Nya, kepada hari kiamat, dan kepada takdir, yang baik mahupun yang buruk.“
BERIMAN KEPADA ALLAH
Maksud “Beriman kepada Allah” ialah mengakui bahawa Allah SWT itu ada dan mempunyai sifat-sifat agung serta sempurna, bersih daripada sifat kekurangan, Dia tunggal, benar, memenuhi segala keperluan makhluk-Nya, tidak ada yang setara dengan Dia, Pencipta segala makhluk, bertindak sesuai dengan kehendak-Nya, dan melakukan segala kekuasaan-Nya sesuai dengan keinginan-Nya.
BERIMAN KEPADA MALAIKAT
Maksud “Beriman kepada para malaikat” ialah mengakui bahawa para malaikat itu ialah hamba-hamba Allah yang mulia, tidak pernah mahu mendahului sebelum ada perintah, dan sentiasa melaksanakan apa yang diperintahkan kepada mereka.
BERIMAN KEPADA KITAB
Maksud “Beriman kepada kitab-kitab-Nya” ialah wajib mengakui Allah menurunkan empat kitab-Nya iaitu:
- Zabur kepada Nabi Daud
- Taurat kepada Nabi Musa
- Injil kepada Nabi Isa
- Al-Quran kepada Nabi Muhammad
BERIMAN KEPADA UTUSAN-NYA
Maksud “Beriman kepada utusan-utusan-Nya” ialah mengakui bahawa para rasul itu jujur dalam menyampaikan segala ajaran yang diterima daripada Allah dan mereka diberi mukjizat-mukjizat yang mengukuhkan kebenarannya. Mereka menjelaskan kepada orang mukalaf apa-apa yang Allah perintahkan kepada mereka. Para rasul itu wajib dimuliakan dan tidak boleh dibanding-bandingkan.
BERIMAN KEPADA HARI KIAMAT
Maksud “Beriman kepada hari kiamat” ialah mengakui adanya hari kiamat, termasuk dalamnya hidup kembali setelah mati, berkumpul di Padang Mahsyar, perhitungan dan timbangan amal, menempuh jambatan antara syurga dengan neraka yang kedua-dua tempat ini merupakan tempat pemberian pahala bagi orang yang beramal soleh dan seksa bagi orang yang berdosa. Wajib juga mempercayai hal-hal lain tentang kiamat yang tersebut dalam al-Quran dan al-Hadis.
BERIMAN KEPADA TAKDIR
Maksudnya “Beriman kepada takdir, yang baik mahupun yang buruk.“
Firman Allah yang maksudnya: “Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam Kitab (lohmahfuz) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (Surah al-Hadid 57:22)
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Sungguh segala sesuatu telah Kami ciptakan dengan ukuran tertentu.” (Surah al-Qamar 54:49)
Sabda Rasulullah SAW dalam hadis daripada Ibn Abbas yang bermaksud: “Ketahuilah, sekiranya semua umat berkumpul untuk memberikan sesuatu keuntungan kepadamu, tidak akan kamu peroleh selain daripada apa yang telah Allah tetapkan untuk dirimu. Sekiranya mereka berkumpul pula untuk melakukan sesuatu yang membahayakan kamu, nescaya tidak memudaratkan kamu kecuali apa yang telah Allah tetapkan untuk dirimu. Semua pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering dakwatnya.” (Riwayat at-Tirmizi, no. 2516)
Mazhab salaf dan para imam khalaf mengatakan, sesiapa yang membenarkan semua urusan bersungguh-sungguh lagi penuh keyakinan dan tidak sedikit pun terlintas keraguan, maka dia ialah Mukmin sejati. Baik hal itu dia peroleh daripada bukti-bukti yang pasti atau sekadar daripada keyakinan yang kuat.
Kalimah Tiga
Kalimah “Beritahukan kepadaku tentang tanda-tandanya.” Sabda Baginda: ‘Jika hamba perempuan telah melahirkan tuannya.”
Beberapa Rumusan Ayat
- Kaum Muslim kelak akan menguasai negeri-negeri kufar, sehingga banyak tawanan. Maka hamba sahaya perempuan banyak yang melahirkan anak tuannya. Anak ini akhirnya akan menempati kedudukan sebagai majikan kerana kedudukan bapanya.
- Hal sebegini menjadi sebahagian daripada tanda-tanda akan datangnya kiamat, iaitu kaum Muslimin mengalahkan kaum Musyrik dan banyaknya kemenangan serta tawanan yang diperoleh kaum Muslimin.
- Munculnya kerosakan umat manusia, sehingga orang-orang terhormat menjual hamba sahaya yang menjadi ibu daripada anak-anak mereka sehingga menjadi barang yang berpindah-pindah daripada tangan seorang pembeli kepada pembeli yang lain. Ada kemungkinan jatuh ke tangan anak kandungnya tanpa disedari. Ini mengisyaratkan munculnya salah satu tanda hampir kiamat. Hal ini terjadi kerana luasnya kejahilan tentang haram berjual beli ibu daripada anak-anak sebagai hamba.
Hadis ini juga menyatakan adanya larangan berlumba-lumba meninggikan bangunan yang sama sekali tidak diperlukan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Anak Adam diberi pahala untuk setiap belanja yang dikeluarkannya kecuali belanja untuk mendirikan bangunan.” (Riwayat at-Tirmizi, no. 2483)
Hadis ini memberi kefahaman bahawa tiada kebaikan dalam berlumba-lumba meninggikan bangunan sebaliknya membangunkan bangunan berdasarkan keperluan sahaja.
Kalimah Empat
Kalimah “penggembala kambing” disebutkan secara khusus, kerana merekalah yang merupakan golongan Badwi yang paling lemah. Maksudnya, keadaan mereka itu miskin. Secara umumnya mereka tidak mampu mendirikan bangunan. Berbeza dengan para pemilik unta yang umumnya ialah orang yang berharta.
Kalimah Lima
Kalimah “Dia datang kepada kamu untuk mengajarkan kepada kamu agama kamu” bermaksud Jibril datang untuk mengajarkan asas-asas agama secara umum menurut Syeikh Muhyidin al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim. Isi hadis ini yang terpenting ialah penjelasan tentang Islam, iman dan ihsan, serta kewajipan beriman kepada ketetapan takdir Allah.
Diriwayatkan daripada Abu Husain yang dikenali sebagai Ibn Bathal al-Maliki, beliau berkata:
“Pendapat golongan ahli sunah baik yang salaf mahupun yang khalaf me- nyatakan bahawa iman itu berupa perkataan dan perbuatan yang terkadang bertambah, terkadang berkurang seperti firman Allah yang maksudnya: “Untuk menambah keimanan mereka pada keimanan yang sudah ada sebelumnya.“(Surah al-Fath 48:4)
Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria