Kenali Raja Mansa Musa – Orang Terkaya Di Dunia!

Di zaman ini, apabila bercerita tentang sosok terkaya di dunia, nama-nama seperti Elon Musk, Bill Gates, Sultan Brunei akan muncul di minda. Namun, tahukah anda menurut sejarah siapakah orang yang paling kaya di dunia? Kenali Raja Mansa Musa, seorang pemerintah kerajaan Mali yang juga dikenali sebagai Musa Keita I. 

Baginda memerintah kerajaan Mali bermula pada tahun 1312 sehingga 1337 dan semasa pemerintahannya, Mali merupakan salah satu kerajaan yang paling kaya di Afrika. Kerajaan Mali dahulukala bukanlah seperti yang kita tahu sekarang ini. Kerajaan Mali purba ini merentasi 24 buah kota dan wilayah di sekitarnya. Dianggarkan kekayaannya mencecah nilai sehingga USD400-USD500 billion.

Raja Mansa Musa menaiki takhta pada tahun 1312 selepas raja sebelumnya hilang ketika meneroka Lautan Atlantik. Walaupun baginda mewarisi kerajaan yang sudah kaya, kebijaksanaan dan kewibawaannya dalam mengembangkan perdagangan telah menjadikan Mali sebagai kerajaan paling kaya di benua Afrika.

Kekayaan Mali ini datangnya dari perlombongan garam, deposit emas serta perdagangan gading gajah. Selain bijaksana dalam berdagang, Raja Mansa Musa juga memberi perhatian dalam pembentukan bangunan-bangunan baharu di bandarnya dengan mengumpulkan arkitek terkenal dari Timur Tengah dan seluruh Afrika. Di bawah pentadbirannya, Mansa Musa telah mengubah kerajaan Mali menjadi pusat pembelajaran yang canggih di dunia Islam.

Ketika Raja Mansa Musa menunaikan haji ke Mekah, beliau telah merentasi negara Mesir dan kedatangannya telah menjadi berita yang menggemparkan! Pada waktu itu kerajaan Mali tidak begitu dikenali di luar Afrika Barat sehinggalah terjadinya peristiwa ini. Seorang penulis Arab pada masa itu menulis bahawa Mansa mengembara dengan rombongan puluhan ribu orang dan berpuluh-puluh unta serta membawa bersamanya 136 kilogram emas bersamaan USD8 juta. Semasa keberadaan beliau di Kaherah, Mansa telah bertemu dengan Sultan Mesir, dan kafilahnya telah membelanjakan dan memberi begitu banyak emas sehingga Mesir mengalami inflasi emas selama 12 tahun berikutnya. 

Kisah kekayaannya yang luar biasa juga telah tersebar sehingga ke Eropah di mana pada tahun 1375, Catalan Atlas, seorang kartografer (pelukis peta) Sepanyol, menunjukkan Afrika Barat didominasi oleh Raja Mansa Musa yang sedang duduk di atas takhta sambil memegang ketulan emas di sebelah tangan dan tongkat emas di tangan yang lain. Selepas penerbitan atlas ini, Raja Mansa Musa dikenali di seluruh dunia sebagai tokoh yang mempunyai kekayaan luar biasa.

Selepas pulang dari Mekah, Raja Mansa Musa telah menghidupkan semula kota-kota dalam kerajaannya dan membina masjid-masjid dan bangunan-bangunan awam yang besar di bandar seperti Gao dan Timbuktu. Timbuktu menjadi masyhur sebagai pusat universiti Islam utama pada abad ke-14 disebabkan sokongan dari Raja Mansa. Kerajaan Mali menjadi sebuah kerajaan yang sibuk makmur, dan kaya berkat perluasan dan pentadbiran baginda.

Universiti Timbaktu, Mali yang dibina oleh Raja Mansa Musa

Pada tahun 1337, Mansa Musa meninggal dunia dan digantikan oleh anak-anaknya. Baginda telah mewariskan empayarnya yang kaya-raya kepada keturunannya, namun akhirnya, empayar itu runtuh kerana tidak mampan.

Raja Mansa Musa telah dikenali di seluruh dunia sebagai simbol kekayaan yang luar biasa dan juga terkena kerana kekuatan Islamnya, promosi pembiayaannya, dan naungan budaya yang dipamerkannya di Mali.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑