يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضٍۢ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًۭا(٢٩)
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”
(Al-Nisa’ 4 : 29)
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(Ali-Imran 3:102)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua.
Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Jangan Mengundang Kemurkaan Allah.”
Hadirin yang dirahmati Allah,
Bunuh diri atau dalam bahasa Arab biasa disebut sebagai “qatlun nafs” adalah satu tindakan mengakhiri hidup dengan menggunakan atau tanpa menggunakan sebarang alat pun. Antara kaedah yang digunakan untuk membunuh diri adalah menggantung diri, sesak nafas, meracun diri sendiri, melemaskan diri, terjun dari tempat tinggi atau menggunakan bahan mudah terbakar dan membakar diri. Membunuh diri merupakan tindakan yang ditegah dalam ajaran Islam dan perbuatannya mengundang kemurkaan Allah.
Hal ini ditegaskan oleh Allah dalam ayat al-Quran yang telah dibacakan pada permulaan khutbah tadi dalam surah An-Nisa’ ayat 29 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu.”
(An-Nisa’ 4:29)
Berdasarkan kepada ayat tersebut, nyawa adalah milik Allah. Dialah yang menghidup dan mematikan seseorang. Manusia tidak layak dan tidak mempunyai hak untuk menentukan hidup matinya dengan cara membunuh diri sendiri.
Mengikut laporan PDRM pada 1 Julai 2021, sebanyak 609 kes dilaporkan pada tahun 2019 dan meningkat kepada 631 kepada tahun 2020. Manakala untuk tempoh Januari hingga Mei 2021 sahaja, sebanyak 468 kes telah direkodkan. Daripada 1708 kes bunuh diri untuk tahun 2019 hingga 2021, sebanyak 872 kes melibatkan mangsa berumur 15-18 tahun dan 668 kes melibatkan mangsa berumur 19-40 tahun.
Menurut laporan PDRM, tiga punca utama kes bunuh diri adalah disebabkan masalah keluarga, tekanan perasaan dan kewangan. Ini semua menggambarkan kerapuhan iman dan kurangnya penghayatan keagamaan sehingga sanggup mengambil tindakan membunuh diri akibat tekanan hidup yang dialami.
Muslimin sekalian,
Kenapakah perkara ini boleh terjadi sedangkan kita umat yang mengaku beriman dan percaya kepada perkara-perkara ghaib. Pelbagai sebab boleh menjadi faktor timbulnya keinginan seperti ini. Antaranya:
1. Masalah kesihatan mental, hampir kebanyakan mereka yang melakukan perbuatan bunuh diri memiliki masalah kesihatan mental yang serius seperti depresi, gangguan bipolar atau skizofrenia yang mendorong dan berisiko tinggi untuk melakukan perbuatan bunuh diri. Lebih-lebih lagi mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental tidak mendapat bantuan dan akses rawatan kesihatan mental untuk mengawal penyakit tersebut. Mereka yang berjuang dengan masalah penyakit mental perlu mencari bantuan melalui kaunselor, terapi, ubat-ubatan serta sokongan keluarga dan masyarakat agar isu ini dapat dibendung.
2. Stres dan tekanan, beban emosional atau stres yang luar biasa seperti masalah kewangan, tekanan kerja, konflik rumahtangga, krisis peribadi merasakan keseorangan dan kesepian dapat meningkatkan risiko keinginan bunuh diri dengan mengambil jalan mudah tanpa memikirkan kesan tindakan dan perbuatan tersebut.
3. Akses kepada alat bunuh diri, ketersediaan alat bunuh diri yang berada dipersekitaran kita seperti senjata api, alat dan senjata tajam atau ubat-ubatan dapat meningkatkan risiko keinginan bunuh diri. Individu yang mengalami tekanan akibat masalah yang timbul mungkin merasakan tiada sesiapa yang peduli dan dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Situasi yang berlaku hari ini perlu ditangani dengan bijak kerana terdapat pertambahan kes pada saban tahun. Sebagai Muslim kita perlu berfikir bagaimana perbuatan ini dapat dikekang agar tidak menjadi barah dalam masyarakat.
Dalam hal ini, bagi orang yang beriman perlu berasa cemas dan takut dengan ancaman dosa membunuh diri yang kekal selamanya berada di neraka Jahanam. Ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahuanhu yang bermaksud:
“Dan barangsiapa terjun dari (atas) gunung, sehingga dia mati, maka kelak dia akan terjun (dari tempat tinggi) di neraka Jahanam dan dia kekal di dalamnya selama-lamanya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan kepada hadis Nabi tersebut, bunuh diri merupakan perbuatan terkutuk yang dilarang Allah. Pelakunya akan diazabkan Allah pada hari akhirat dan tiada sesiapapun akan terlepas dari azab-Nya.
Hadirin yang dikasihi Allah sekalian,
Bagaimana kita dapat memastikan keturunan kita tidak termasuk dalam golongan mereka yang mempunyai keinginan untuk melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah. Jawapannya, kita perlu sentiasa bersabar dan bersyukur dengan setiap ujian, menjaga solat dan memelihara hati daripada perasaan yang tidak selayaknya sebagai hamba Allah.
Individu Muslim perlu memantapkan ilmu tauhid dan keimanan agar cetusan keinginan bunuh diri tidak menjadi jalan penyelesaian kepada masalah kehidupan duniawi. Setiap Muslim hendaklah sedar bahawa kehidupan di dunia hanyalah sementara, kehidupan akhirat itulah yang abadi dan kekal selamanya. Dunia ini adalah medan ujian sama ada kesenangan mahupun kesusahan untuk menentukan sejauh mana tahap keimanan dan kesabaran manusia ketika mengharunginya.
Pelbagai bentuk ujian ditimpakan kepada manusia sama ada dengan kelaparan, kesusahan hidup, bencana alam dan lain-lain lagi sebagai menguji sejauh mana kita meletakkan pergantungan dan keredaan kepada Allah SWT. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka maka bersabarlah. Belum tentu ia suatu keburukan malah setiap ujian dan dugaan hidup perlu dihadapi dengan sabar. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 155:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍۢ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍۢ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ (١٥٥)
“Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
(Al-Baqarah 2:155)
Hadirin yang berbahagia,
Sentiasalah hidup dalam berzikir lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan ujian kerana dengan berzikir akan hadir ketenangan hati serta menghilangkan kegelisahan jiwa bahkan dapat mengelakkan diri dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Syariat. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 156-157 yang bermaksud:
“…(iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun’. Mereka itulah orang yang mendapat keberkatan sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.”
(Al-Baqarah 2:156-157)
Rawatlah rasa dukacita dengan amalan doa-doa. Nabi SAW pernah mengajarkan beberapa doa yang masyhur kepada para sahabat Radiallahuanhum bagi menghilangkan kesedihan dan dukacita. Antara doa yang dibaca oleh Nabi SAW sepertimana direkodkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radiallahuanhu:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ، وَقَهْرِ الرِّجَالِ
“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari (hal yang) menyedihkan dan menyusahkan, lemah dan malas, penakut dan bakhil, lilitan hutang dan penindasan orang.”
(Riwayat al-Bukhari)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT,
Berdampinglah dengan para alim ulama dan mengajukan sebarang permasalahan hidup kepada ahli keluarga yang terdekat, sanak saudara dan sahabat handai berbincang untuk mendapatkan nasihat dan panduan terbaik. Semua pihak perlu memainkan peranan penting dan melibatkan diri memberikan sokongan kepada individu yang berada di bawah tekanan hidup supaya tidak cenderung melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah.
Oleh itu, pimpinan setempat, agensi kerajaan, ketua masyarakat dan komuniti, badan NGO dan individu perlu tampil dengan usaha dan idea untuk membantu dan menyokong usaha dan program yang dijalankan oleh manamana pertubuhan dan organisasi agar perbuatan dan tindakan ini dapat dikekang sepenuhnya pada masa akan datang. Usaha dan tanggungjawab mencegah kemungkaran adalah suatu tugas dan amanah yang sangat besar. Ia tidak mampu untuk dilaksanakan secara berseorangan sebaliknya menjadi tanggungjawab kita bersama ibarat serumpun bak serai, sesusun bak sirih.
Hadirin sekalian,
Mengakhiri khutbah ini, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran dan penghayatan agar dijadikan pedoman dan panduan kita. Antaranya ialah:
1. Umat Islam hendaklah memantapkan ilmu akidah Islamiah dengan meyakini bahawa ujian yang diberikan oleh Allah SWT adalah suatu tanda kurniaan darjat yang lebih tinggi kepada hamba-hamba-Nya.
2. Umat Islam perlu meyakini bahawa kehidupan di dunia ini adalah kehidupan sementara dan segala amalan perbuatan didunia akan dihisab pada hari akhirat kelak.
3. Umat Islam hendaklah sedar bahawa membunuh diri adalah satu perbuatan yang dilarang oleh Islam dan mengundang kemurkaan Allah SWT.
4. Umat Islam hendaklah berusaha mengambil langkah-langkah positif dalam menyelesaikan masalah kehidupan dengan merujuk kepada pihak yang berautoriti.
قُلْ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسْرَفُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا۟ مِن رَّحْمَةِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ (٥٣)
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Al-Zumar 39:53)
Tarikh Dibaca: 27 Rabiulawal 1445H/13 Oktober 2023M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment