Teks Khutbah Jumaat (WP): Solidariti Pertahankan Palestin

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Semoga Allah SWT mengurniakan kerahmatan dan keberkatan di dalam kehidupan kita. Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang disampaikan dan tidak melakukan perkara-perkara yang melalaikan seperti menggunakan telefon atau berbual-bual. Semoga segala amal ibadah yang kita lakukan diterima Allah SWT.

Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Solidariti Pertahankan Palestin”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Apabila kita menyingkap kembali sejarah bumi Palestin, kita dapat menyaksikan pelbagai kisah duka dan pertumpahan darah yang berlaku terhadap rakyat Palestin. Sejak pendudukan haram Zionis-Israel di bumi Palestin bermula pada tahun 1948, selama 75 tahun rakyat Palestin saban hari ditindas, dinafikan hak kemanusiaan dan dizalimi apabila banyak wilayah mereka telah dirampas pendatang haram Israel. Hakikatnya, golongan Zionis ini sememangnya rakus dan tamak sehingga sanggup melanggar nilai-nilai kemanusiaan. Allah SWT berfirman mengenai sifat orang-orang Yahudi di dalam surah al-Baqarah, ayat 96 yang dibacakan di awal khutbah tadi yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya ia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.”

(Al-Baqarah 2:96)

Sesungguhnya Islam tidak pernah menzalimi sesiapa pun. Sejak dari zaman Rasulullah SAW, semua masyarakat termasuk orang-orang Yahudi yang tinggal di kota Madinah mendapat perlindungan dan jaminan keselamatan. Sebenarnya mereka yang bertindak melanggar batas-batas yang ditetapkan di dalam Piagam Madinah.

Mereka telah mengikat janji setia dengan Rasulullah SAW tetapi melanggarnya dengan mengadakan pakatan sulit bersama kafir Quraisy untuk menentang dan menjatuhkan kerajaan Islam Madinah di dalam peperangan Ahzab. Disebabkan oleh pengkhianatan tersebut, mereka akhirnya diusir dari kota Madinah. Inilah sifat mereka yang kita masih dapat saksikan pada hari ini apabila konflik di antara mereka dengan rakyat Palestin masih berpanjangan dan berlarutan. 

Renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 120 :

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ ٱلْيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعْتَ أَهْوَآءَهُم بَعْدَ ٱلَّذِى جَآءَكَ مِنَ ٱلْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّۢ وَلَا نَصِيرٍ (١٢٠)

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.”

(Al-Baqarah 2: 120)

Kuasa-kuasa besar dunia seolah-olah menutup mata terhadap kejahatan mereka, tetapi bagaikan merestui penjajahan dan penjarahan yang dilakukan rejim Zionis-Israel terhadap rakyat Palestin. Keganasan mereka dianggap sebagai mempertahankan diri sedangkan tindakan balas oleh rakyat Palestin dianggap sebagai keganasan. Siri-siri keganasan yang dicetuskan oleh penjajah ini selama puluhan tahun sehingga mencemarkan dan merosakkan kesucian Masjid Al-Aqsa, telah mencetuskan tindakan balas dan kebangkitan kemarahan rakyat Palestin baru-baru ini.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya Islam telah mengajar kita bahawa setiap umat Islam adalah bersaudara. Justeru, menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim untuk saling membantu antara satu sama lain. Isu umat Islam dan rakyat Palestin mesti kita fahami dengan jelas. Isu Palestin merupakan isu umat Islam sejagat. Maka, adakah kita sebagai umat Islam di negara ini hanya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa? Adakah kita mahu membiarkan sahaja saudara kita di Palestin terus ditindas dan dinafikan hak terhadap tanah air mereka sendiri?

Mimbar menyeru seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia, marilah kita memberikan sokongan dan solidariti kepada mereka. Kita mungkin tidak mampu mengangkat senjata, tetapi kita masih mempunyai kekuatan daripada aspek kewangan. Infakkanlah untuk membantu mereka sebagai tanda simpati di atas kesusahan yang dihadapi akibat peperangan. Mereka telah kehilangan ramai saudara-mara yang telah terkorban, malah turut mengalami kemusnahan harta benda dan tempat tinggal. Pada hari ini seluruh masjid dan surau jumaat di Wilayah Persekutuan akan membuat kutipan derma untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin melalui kerajaan Malaysia. Marilah kita mengambil peluang untuk membantu mereka.

Di samping kita membantu dari sudut kewangan, marilah kita memanjatkan doa kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa terhadap setiap makhluk-Nya melalui solat hajat dan Qunut Nazilah, agar Allah SWT memberikan kekuatan, ketabahan dan kemenangan terhadap umat Islam dan rakyat Palestin. Kita mengharapkan agar umat Islam di seluruh dunia dan di Wilayah Persekutuan ini dapat bersama-sama menitipkan doa buat mereka di samping menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada mereka. Semoga bumi Palestin kembali aman dan makmur di bawah rahmat Allah SWT.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kita seharusnya mengambil iktibar dan pengajaran terhadap apa yang berlaku kepada negara Palestin dan negara-negara lain yang sedang bergolak. Palestin jatuh ke tangan musuh Islam kerana umat Islam pada ketika itu tidak dapat bersatu. Melihat kepada naratif yang berlaku ini, sabagai umat Islam dan warganegara Malaysia yang cintakan keamanan, marilah kita kembali mengukuhkan perpaduan sesama kita, tepislah segala perbalahan yang merugikan dan bersatulah atas dasar Islam yang menekankan agar umat Islam saling mengukuhkan antara satu sama lain.

Imam al-Tirmidzi meriwayatkan hadis daripada Abu Musa al-‘Asy’ari bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Antara seorang mukmin dan mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang saling menguatkan satu sama lain.”

Sesungguhnya perpaduan yang kuat di antara kita yang dibina atas dasar agama yang suci berpaksikan al-Quran dan al-Hadis akan menjadi benteng daripada digugat oleh musuh-musuh Islam. Semoga negara kita sentiasa di bawah pemeliharaan Allah SWT.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Semua umat Islam itu bersaudara dan saling memerlukan antara satu sama lain. Hulurkanlah sumbangan kewangan dalam membantu rakyat Palestin.

Kedua: Ambillah iktibar terhadap peristiwa pergolakan yang berlaku di negara-negara lain dan kukuhkan perpaduan sesama umat Islam agar kemakmuran dan kesejahteraan negara dapat dipelihara.

Ketiga: Sesungguhnya doa itu ialah senjata orang beriman. Panjatkan doa kepada Allah SWT agar memberikan kekuatan, ketabahan dan kemenangan terhadap umat Islam dan rakyat Palestin.

Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal, ayat 55 hingga 56:

   إِنَّ شَرَّ ٱلدَّوَآبِّ عِندَ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ  (٥٥)

ٱلَّذِينَ عَـٰهَدتَّ مِنْهُمْ ثُمَّ يَنقُضُونَ عَهْدَهُمْ فِى كُلِّ مَرَّةٍۢ وَهُمْ لَا يَتَّقُونَ  (٥٦)

Maksudnya: “Sesungguhnya sejahat-jahat (makhluk) yang melata di sisi (hukum dan ketetapan) Allah ialah orang-orang yang kafir (yang degil dengan kekufurannya). Sebab itu mereka tidak (mahu) beriman. (Iaitu) orang-orang yang engkau telah mengikat perjanjian setia dengan mereka, kemudian mereka mencabuli perjanjian setianya pada tiap-tiap kali, sedang mereka tidak mahu memelihara dirinya (dari keaiban mencabuli perjanjian itu).”

(An-Anfal 8:55-56)

Tarikh Dibaca: 27 Rabiulawal 1445H/13 Oktober 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑