Refleksi: Tanda-Tanda Seorang Hamba Yang Sebenar

Hasil tuaian terbaik daripada Al-Quran adalah pemahaman yang baik. Nabi SAW bersabda,

Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan, niscaya Dia memberikan kepadanya pemahaman yang benar tentang agama…”

(HR Bukhari 71) 

Salah satu perkara penting yang boleh kita fahami tentang agama ini, terutamanya di zaman ini yang penuh dengan manusia yang kurang akal dan berniat jahat, yang kerap menyerang hukum agama Islam yang dilihat tidak logik dan menindas, sedangkan hukumnya, seperti yang telah ditekankan oleh Imam al-Muhasibi, adalah asas sebenar kecemerlangan, kebaikan dan kesucian manusia. Allah SWT berfirman di dalam Al-Qur’an:

Maksudnya:Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”

(Al-Maidah 5:6)

Apakah tanda-tanda yang terdapat pada seorang hamba yang sebenar? Apabila dia belajar dia merenung; apabila dia diam dia mencermin diri sendiri; apabila dia bercakap dia menyebut Tuhannya; apabila sesuatu dinafikan darinya dia bersabar; apabila dia diberi sesuatu dia bersyukur; apabila dia diuji [dengan kematian] dia berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”(Al-Baqarah 2:156); jika seseorang berkelakuan buruk dengannya dia menanggung penderaan mereka; apabila dia belajar sesuatu dia merendahkan diri; apabila dia mengajar sesuatu dia melakukannya dengan lemah lembut; dan apabila disoal dia menjawab dengan sepenuh pengetahuannya.

Semua perkara yang disebutkan di sini menggambarkan sikap yang baik. Maknanya jelas dan tidak perlu diulas.  Disenaraikan di sini beberapa nasihat Rasulullah SAW ke arah akhlak yang baik.

“Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada, iringilah keburukan dengan kebaikan, pasti ia boleh menghapuskannya dan bergaullah manusia dengan akhlak yang baik.”

(HR Tirmizi 1987)

Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang paling baik akhlaknya ialah yang paling baik perlakuannya terhadap isterinya.

(HR Tirmizi 1162)

Aku akan menjamin rumah di tepi syurga bagi seseorang yang meninggalkan perdebatan meskipun dia berada dalam kebenaran. Aku juga menjamin rumah di tengah syurga bagi seseorang yang meninggalkan kedustaan meskipun bersifat gurau. Dan aku juga menjamin rumah di syurga yang paling tinggi bagi seseorang yang berakhlak baik.”

(HR Abu Daud 4800)

Seorang mukmin sesungguhnya akan dapat meraih keutamaan darjat orang yang rajin berpuasa dan rajin solat malam disebabkan dengan akhlaknya yang baik 

(HR Abu Daud 4798)

“Kebenaran adalah akhlak yang baik.”

(HR Muslim 2553)

Rasulullah SAW ditanya mengenai perkara yang banyak memasukkan seseorang ke dalam syurga, Baginda menjawab, “Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik.”

(HR Tirmizi 2004)

Tidak ada sesuatu pun yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin selain akhlak yang baik. Sungguh, Allah membenci orang yang berkata keji dan kotor.”

(HR Tirmizi 2002)

Insan yang baik ialah penyembuh bagi orang yang mencarinya, penolong bagi mereka yang menghendaki petunjuk, sekutu yang benar bagi orang yang jujur, dan tempat perlindungan bagi orang yang takut. Dia seorang yang warak, mudah redha tentang haknya, sangat menyempurnakan hak Allah SWT, Tuhan Yang Maha Tinggi.

Inilah cara yang sepatutnya kita lakukan jika kita seorang hamba yang sebenar. Apabila seseorang meminta bantuan, kita harus melakukan yang terbaik untuk membantu mereka terutama jika mereka mencari bantuan dalam agama dan kita berdaya membantu mereka.

Kita harus menjadi sekutu bagi mereka yang ingin berjuang menentang dunia yang semakin bergelumang dengan kebatilan. Kita hendaklah berusaha untuk menjaga diri kita di kalangan mereka yang benar dan komited untuk membela kebenaran dengan melaksanakan perintah Allah SWT. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.”

(At-Taubah 9:119)

Kita tidak perlu takut atau malu berjuang kerana kebenaran. Kita tidak seharusnya menuntut hak kita sepenuhnya, untuk dibayar balik sejumlah wang, sebagai contoh, jika kita menghadapi bahaya akibat mengabaikan hak tersebut. Sebaliknya, kita harus menyempurnakan hak orang lain dan terutamanya hak Allah SWT.

Sumber: Treaties for the Seekers of Guidance, Al-Muhasibi’s Risala Al-Mustarshidin

Terjemahan: Mymuslimin.com

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑