Oleh Mymuslimin.com
Mencari tempat makan yang sedap memang cabaran kepada ketua keluarga kerana kalau tak sedap, bukan sahaja duit melayang, penat badan memandu, dan akhirnya ahli keluarga pun tak teruja. Untuk memudahkan para ibu bapa, atau kepada anak-anak yang ingin belanja ayah bonda, kami tampilkan 12 restoran yang sedap untuk dicuba di Kota Darul Ehsan ini.
Mymuslimin.com menyenaraikan 12 tempat makan sedap di Selangor:
1. Beriani Asif Taman Nirwana – 9-2B, Jalan Nirwana 38, Taman Nirwana, Ampang



Dibuka semenjak 17 tahun yang lalu, Restoran Beriani Asif ialah restoran yang menawarkan masakan Pakistan yang lazat dan sesuai dengan selera masyarakat Malaysia. Berlokasi di Taman Nirwana, Ampang Jaya, Selangor, tentu sekali Beriani Asif terkenal dengan hidangan berianinya.
2. Sate Yus – Taman Ramal Indah, Kajang



Alhamdulillah, kami bagi 5 bintang untuk sate daging di Sate Yus Kajang. Dagingnya cukup lembut, diperap sedap dengan rempah ratus sate, dan kuah satenya lebih sedap berbanding sate popular di Kajang ini, tidak perlu ditambah sambal. Ianya tidak berminyak, cukup berkacang dan sedap!
3. Faridah Mentarang Bakar – Pasir Panjang, Sekinchan



Apakah mentarang? Mentarang ialah sejenis makanan laut bercengkerang yang unik kepada kawasan Sekinchan. Kalau ditanya tim Mymuslimin, kita beri thumbs-up kepada mentarang bakar dan kami menikmatinya di Restoran Faridah Mentarang Bakar dengan harga sekitar RM20 untuk 400gm. Selain mentarang bakar, boleh cuba mentarang masak lemak dan masakan lain.
4. Kopimeo Cafe La Carne – 33, Jalan Tengku Ampuan Zabedah B 9/B, Seksyen 9, Shah Alam



Peruvian Grilled Chicken di Kopimeo Cafe La Carne diperkatakan ramai. Dihidang panas-panas, daging Peruvian Grilled Chicken di sini memang lembut, berempah dan berperisa! Hidangan ini datang dengan seekor ayam dara yang diperap herba Peru, kentang bakar, bawang karamel, sos putih dan secarik lemon.
5. Restoran Al-Ehsan – 17, Jalan 20/14, Taman Paramount, Petaling Jaya



Masuk sahaja ke restoran ini, pelanggan akan disaji dengan visual timbunan ayam goreng panas super crispy yang begitu menyelerakan. Dan apabila membaca ulasan para pengunjung ke restoran ini, rata-rata mereka akan bercerita tentang ayam gorengnya yang sangat lazat.
6. Restoran Lontong Klang – 20, Jalan Zirkon E7/E, Seksyen 7, Shah Alam


Lontong Klang membawa pelanggan menikmati lontong dengan cara yang berbeza dan begitu lazat sekali. Di sini pelanggan ditawarkan dengan set hidangan lontong dengan kuah yang berbeza berbanding lodeh. Kuah di sini kurang kuning seperti lodeh, lebih kepada kemerahan.
7. Restoran Sederhana (Masakan Padang) – 21-G, Daju 5 Darul Ihsan, Jalan Barat, Seksyen 8 Petaling Jaya



Lauk-lauk di restoran Sederhana ini semuanya dimasak dengan rasa yang ‘ringan’, tiada salah satu rasa yang menonjol seperti masakan Melayu biasa yang ada masanya terlalu pedas, manis atau masin. Tiada masakan yang masin, masam, pedasnya menyerlah di Sederhana. Ini membuatkan pengalaman makan masakan Padang di sini nyaman sekali walaupun lauknya berjenis-jenis.
8. Sate 7 Pagi – 3244, Jalan 18/37, Taman Sri Serdang, 43300 Seri Kembangan



Bertempat di Seri Kembangan, Selangor, Sate 7 Pagi dibuka tepat 7 pagi sehingga 2 petang dan restoran ini hanya menghidangkan juadah sarapan pagi. Sate 7 Pagi menyediakan menu hidangan Johor beraneka pilihan hanya beberapa kilometer sahaja dari bandaraya Kuala Lumpur.
9. PitBoy BBQ – No 47-G, Jln BP 7/2, Bandar Bukit Puchong, Puchong



Di PitBoy BBQ, masakannya diinspirasi oleh resepi bbq Texas, Amerika, dan mereka menggunakan daging halal berkualiti dari Australia yang bukan sahaja lazat tetapi dijual dengan harga berpatutan.
10. Ayam Kampung Publika – 22 Jalan PJU 8/3, Perdana Business Centre, Petaling Jaya



Peminat ayam kampung di Kuala Lumpur bolehlah mencuba restoran Ayam Kampung Publika yang terletak di Damansara Perdana ini. Restoran ini tidak berkompromi dengan jenis ayam yang dihidangkan, mereka hanya menghidangkan ayam kampung sahaja.
11. Nasi Kandar Basikal – 52, Jalan Lp 7/4 Taman Lestari Perdana, Bandar Putera Permai, Seri Kembangan



Restoran Nasi Kandar Basikal ini terletak di Taman Lestari Perdana, Bandar Putera Permai Seri Kembangan. Restoran ini menyediakan lebih 20 pilihan lauk-pauk yang menyelerakan kepada pelanggan-pelanggannya yang tidak putus-putus.
12. Flyen Duck Co. – F-G-03, Jalan Vita 1, Plaza Crystalville, Lingkaran Cyber Point Timur, Cyber 12, Cyberjaya



Dahulunya dikenali sebagai Halal Duck Co. kini telah ditukar nama ke Flyen Duck Co., restoran ini menghidangkan sajian itik panggang gaya Hong Kong yang halal dan sedap! Untuk peminat itik seperti kami ini, berbaloi-baloi makan di sini kerana rasanya yang sedap serta harganya juga berpatutan.
Leave a comment