Pengasingan Diri & Kesan Positifnya

Di zaman ini di mana segalanya laju, bingit dan bising dengan segala maklumat, hiburan, arahan di hujung hari, tidak ramai yang terfikir untuk bersendirian, untuk mengasingkan diri, merawat jiwa sendiri. Mental manusia menjadi semakin hingar-bingar, tertekan dan tiada ketenangan sedangkan pengasingan diri itu berkesan dalam memberi pelbagai manfaat kepada jiwa manusia yang sebenarnya lebih selesa dengan keadaan senyap dalam pengasingan. 

Jika dilakukan dengan pemahaman yang betul, pengasingan diri boleh menjadi aktiviti yang amat bermanfaat kepada diri dan jiwa.  

Ibn Taymiyah berkata:

“Ada kalanya, seorang mukmin perlu mengasingkan diri daripada orang lain untuk beliau berdoa, mengingati Allah, membaca al-Quran, dan menilai diri serta amalnya. Pengasingan juga membolehkan seseorang berdoa, memohon keampunan, menjauhi kejahatan, dan sebagainya.”

Ibn al-Jawzi mengkhususkan tiga bab dari bukunya yang terkenal Sayd al-Khatir untuk topik ini. Beliau berkata:

“Aku tidak pernah melihat atau mendengar apa-apa yang membawa ketenangan, kehormatan, dan maruah seperti pengasingan. Ia membantu seseorang untuk menjauhi kejahatan, ia melindungi kehormatan seseorang, dan ia menjimatkan masa. Ia menjauhkan seseorang daripada mata-mata yang cemburu dan mereka yang bergembira melihat penderitaanmu. Pengasingan menggalakkan zikir akhirat, dan ia membolehkan seseorang untuk merenung pertemuannya dengan Allah SWT. Pada masa-masa bersendirian, pemikiran seseorang mungkin berkisar tentang perkara yang bermanfaat, dan perkara yang mengandungi kebijaksanaan..”.

Hanya Allah SWT yang mengetahui segala manfaat dari pengasingan, kerana ketika pengasingan, fikiran seseorang berkembang, pandangannya menjadi matang, hatinya memperoleh ketenangan, dan seseorang mendapati dirinya berada dalam suasana yang ideal untuk beramal ibadat. 

Dengan  mengasingkan diri pada masa-masa tertentu secara konsisten, seseorang menjauhkan diri daripada ujian, daripada menyanjungi susuk yang tidak sepatutnya, dan dari mata orang yang cemburu dan iri hati. Seseorang dapat diselamatkan dari keangkuhan mereka yang sombong dan daripad kebodohan golongan yang dungu. Ketika pengasingan, kesalahan, perbuatan, dan ucapan seseorang semuanya terasing di belakang tabir.

Dalam tempoh pengasingan, seseorang dapat menyelami lautan idea dan konsep. Dalam keadaan sedemikian, minda bebas untuk membentuk pendapatnya. Terpencil dari pergaulan dengan manusia lain, jiwa bebas untuk mencapai kegembiraan dan memburu pemikiran yang merangsang. 

Apabila bersendirian, seseorang tidak melakukan apa-apa untuk menunjuk-nunjuk atau mempamerkan diri, kerana tidak ada mata yang melihat dan mendengarnya kecuali Allah SWT.

Setiap orang yang genius, gergasi akal, atau penyumbang besar kepada umat manusia menyiram benih kehebatannya dari telaga pengasingan, sehingga benih itu menjadi tumbuhan dan akhirnya menjadi pokok yang teguh dan kukuh.

Al-Qadi ‘Ali ibn ‘Abdul Aziz al-Jurjani berkata:

Aku tidak pernah merasa kemanisan kehidupan sehingga aku akrab dengan rumahku dan buku-bukuku.
Tiada apa yang lebih mulia berbanding ilmu, 
Lantas, aku tidak mencari-cari sekutu yang lain. 
Sesungguhnya, satu-satu kemerosotan ialah pergaulan dengan insan.
Oleh itu, tinggalkan mereka dan hiduplah dalam cara yang mulia penuh bermaruah. 

Seorang lagi berkata:

Aku bertemu teman dalam keseorangan dan aku kekal di kediamanku, 
Agar kegembiraan kekal di sisiku dan kebahagianku berlipat-ganda, 
Aku telah memusnahkan perhubungan dengan manusia dan tidakku endah tentang itu, 
Sama ada tentera sudah berarak pergi atau presiden datang bertandang.

Ahmad ibn Khaleel al-Hanbali berkata:

Sesiapa berusaha untuk maruah dan keselesaan
Daripada kegelisahan yang panjang dan membosankan,
Biarlah dia menjadi salah seorang daripada mereka, 
Dan berpuashati dengan memiliki yang sedikit.
Selagi seseorang itu hidup secara tidak sihat ,
Bagaimana mungkin dia mencari kebahagiaan dalam kehidupan?
Antara ditekan oleh si penipu
Serta memberi sanjungan kepada si sombong,
Antara bertolak ansur dengan si cemburu
Serta bersabar dengan si bakhil,
Celakalah kerana berkenalan dengan manusia, 
dan dengan segala cara dan kedangkalan mereka.

Penyair lain berkata:

Berjumpa dengan manusia itu tidak mendatangkan faedah,
Kecuali bertambahnya, ‘telah dikatakan’, dan, “dia berkata,’ 
Maka kurangkanlah waktu berborak dengan orang lain, walaupun terasa disekat, 
Menuntut ilmu atau peningkatan keadaan diri seseorang.

Ibn Fâris berkata:

Mereka bertanyanya khabar aku, dan aku menjawab, baik, dan terima kasih,
Satu keperluan dipenuhi dan satu lagi diabaikan,
Apabila kesusahan sedemikian membuatkan hati ini menjadi sempit,
Aku katakan bahawa mungkin suatu hari nanti ia membawa sedikit bantuan,
Kawanku ialah kucingku dan teman jiwaku adalah buku-bukuku,
Dan objek cintaku adalah lampu malamku.

Solat tahajjud adalah contoh aktiviti pengasingan diri yang boleh dijadikan rutin kehidupan, yang membawa kita dekat dengan Allah Azza Wa Jalla di dalam keheningan malam yang gelap lagi sunyi. Berdampingan dengan Al-Quran sendirian juga menenangkan jiwa manusia.

Rujukan: Don’t Be Sad by Dr A’id Al-Qarni

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑