Adakah Al-Quran Tidak Perlu Dibaca Dalam Bahasa Arab? Cukup Sekadar Memahami Maksudnya? 

Oleh Muhammad Fuad Bin Ibrahim untuk PMWP

Soalan

Terbaca satu kenyataan berkenaan tiada ayat yang menyatakan keperluan untuk membaca al-Quran dalam Bahasa Arab, cukup sekadar memahami sahaja. Adakah ini benar? 

Penjelasan

Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari akhirat.

Terlebih dahulu perlu difahami definisi al-Quran yang mana ia merupakan kalamullah yang diturunkan kepada Rasulullah SAW dalam sebagai petunjuk dan panduan kepada umat Islam. 

Berdasarkan persoalan yang diutarakan, perlu difahami terlebih dahulu maksud ayat dari surah Ibrahim:

(٤) وَمَا أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ ۖ فَيُضِلُّ اللَّهُ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: “Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki oleh-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki oleh-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah Ibrahim 14:4)

Berdasarkan ayat berikut, diutuskan para rasul mengikut jenis dan bahasa sesebuah kaum adalah sebagai penerang dan penyampai kepada kaum tersebut. Ibnu Kathir telah menafsirkan lagi ayat berikut di dalam karyanya bahawa ia adalah salah satu dari rahmat dan kasih sayang Allah SWT dengan mengutuskan seseorang rasul mengikut bangsa dan kaumnya supaya dapat memberi kefahaman dari apa yang ingin disampaikan oleh-Nya.1

Oleh sebab itu, turunnya wahyu Allah SWT dalam bahasa arab kerana Rasulullah SAW lahir dari masyarakat Arab dan berperanan sebagai pemberi kefahaman kepada masyarakat tersebut. Sesungguhnya Allah SWT juga telah menyatakan tujuan penurunan al-Quran dalam bahasa arab sebagai penerang dan penjelas di dalam firmannya:

(٣) كِتَابٌ فُصِّلَتْ آيَاتُهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لِّقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu: iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya”.

(Surah Fussilat 41:3)

Berdasarkan ayat di atas, al-Quran yang diturunkan mempunyai fungsinya dalam memberi penerangan kepada pembacanya. Ibn Kathir telah menafsirkan ayat tersebut bahawa al-Quran itu berperanan dalam menjelaskan makna dan hukum-hukum bagi sesuatu ayat.2 (Rujuk Tafsir al Quran al ‘Azim: 7/161)

Oleh itu, di dalam isu ini membaca al-Quran hendaklah dibaca dalam bahasa Arab kerana al-Quran diturun dalam bahasa tersebut. Imam Nawawi ada menyatakan hukum membaca al-Quran selain dari bahasa Arab sama ada seseorang itu mahir atau kurang mahir di dalam bahasa berkenaan meskipun diluar solat adalah tidak harus.3 (Rujuk Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab: 3/379)

Meskipun begitu, tidak menjadi satu masalah bagi mereka yang ingin membaca terjemahan al-Quran untuk memahami maksud bagi sesuatu ayat. Namun membaca terjemahan tidak seperti membaca al-Quran kerana terjemahan tidak dianggap sebagai mushaf. Bahkan membaca al-Quran dalam bahasa Arab juga perlu menitik beratkan beberapa aspek seperti hukum tajwid, waqaf dan sifat bagi sesuatu huruf supaya terpelihara maknanya. Sesungguhnya perkara ini telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmanNya:

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا

Maksudnya: “Dan bacalah Al-Quran dengan Tartil.”

(Surah al-Muzammil 73:4)

Menurut Imam al-Mawardi tentang membaca al-Quran secara tartil ialah membaca al-Quran mengikut susunan dan turutan tanpa mengubah lafaz serta tidak mendahulukan ayat yang akhir pada yang awal.4 Dengan kata lain, membaca al-Quran secara tertib dan mengikut hukum tajwid di dalam al-Quran.5 (Rujuk Tafsir Al-Mawardi: h892)

Oleh sebab itu, menjadi ibadat kepada mereka yang membaca al-Quran yang mana orang yang membacanya akan diberi ganjaran bagi setiap satu huruf dengan sepuluh ganjaran kebaikan.6 Hal ini juga sama seperti mana dalam hadis riwayat Abdullah bin Mas’ud:

من قرأ حرفا من كتاب الله تعالى فله حسنة والحسنة بعشر أمثالها لا أقول ألم حرف ولكن ألف حرف ولام حرف وميم حرف

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan, dan setiap kebaikan itu dengan sepuluh ganjaran yang seumpama dengannya, aku tidak mengatakan (الم) itu satu perkataan akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” 7

(Sunan Tirmidhi: 2910)

Kesimpulan

Dari sudut hukum tidak boleh membaca al-Quran dengan bahasa lain selain bahasa Arab. Hal ini kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab dan mendapat pahala apabila dibaca dalam bahasa Arab walaupun tidak memahami maknanya. Adapun merujuk terjemahan adalah sekadar untuk memahami maksud ayat yang dibaca dan tidak mendapat pahala dari segi bacaan atau tilawah jika sekadar membaca terjemahan tersebut. Bahkan tidak sah solat sekiranya membaca terjemahan di dalam ibadat tersebut.

Wallahu A’lam.

Nota Kaki:

  1. Al-Qurasyi, Abu al-Fida’ bin Ismail bin Kathir. (1420H/1999M) Tafsir Al-Quran Al-‘Azim. Tahqiq: Sami bin Muhammad Al-Salamah. Cetakan2. Dar Tayyibah. J4 h477. Teks asal:
    هَذَا مِنْ لُطْفِهِ تَعَالَى بِخَلْقِهِ: أَنَّهُ يُرْسِلُ إِلَيْهِمْ رُسُلًا (3) مِنْهُمْ بِلُغَاتِهِمْ لِيَفْهَمُوا عَنْهُمْ مَا يُرِيدُونَ وَمَا أُرْسِلُوا بِهِ إِلَيْهِمْ
    ↩︎
  2. Ibid J7 h161. Teks Asal : بُينت مَعَانِيهِ وَأُحْكِمَتْ أَحْكَامُهُ ↩︎
  3. An-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Sharaf. Al-Majmuk Syarh Al-Muhazzab. Dar al-fikr. J3, H379. Teks Asal: مذهبنا أنه لا يجوز قراءة القرآن بغير لسان العرب سواء أمكنه العربية أو عجز عنها ↩︎
  4. Al-Mawardi, Abu al-Hassan ‘Ali bin Muhammad bin Muhammad bin Habib al-Basri al-Baghdadi. (T.T) Al-Nakt wa al-‘Uyun. Tahqiq: al-Sayyid Ibn ‘Abd al-Maqsud bin Abd Rahim. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. J6 H126. Teks Asal: أن تقرأه على نظمه وتواليه , لا تغير لفظاً ولا تقدم مؤخرا ↩︎
  5. https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=tartil di akses pada: 20 Feb 2022. ↩︎
  6. Al-Bakri, Muhammad Ali bin Muhammad bin Ilan bin Ibrahim. (1425H/2004M). Dalil al-Falihin Lituruq Riyadh al-Solihin. Tahqiq: Khalil Ma’mun Syaihan. Beirut: Dar al-Ma’rifat. Cetakan ke-4. J6 h482. Teks asal: المتعبد بتلاوته (فله حسنة) هي ذلك الحرف المقروء (والحسنة) مجزية (بعشر أمثالها) فالقارىء مجازى عن الحرف الواحد بعشر حسنات ↩︎
  7. At-Tirmidhi, Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa bin Dhuhak. (1998M). Sunan Al-Tirmizi. Tahqiq: Basyar ‘Iwadh Ma’ruf. Beirut: Dar al-Ghurub al-Islami. J5 h25. ↩︎

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑