Refleksi: Jangan Goyah dengan Kesusahan

Kesusahan menguatkan hatimu, menebus dosa-dosamu, dan membantu diri mengurangkan kecenderungan ke arah sombong dan bongkak. Ketika ditimpa kesusahan, seringkali manusia itu meninggalkan perkara yang bodoh, sia-sia dan mengalpakan, dan lebih mengingati Allah SWT. Apabila berdepan musibah, ramai insan yang mempamerkan belas kasihan dan menghulurkan bantuan dan diri menjadi seorang yang beruntung kerana menerima doa mereka yang soleh. 

Di saat-saat kesusahan seperti itu, diri dengan secara sukarela dan rendah hatinya menyerahkan diri kepada kehendak Allah SWT dan reda kepada segala ketetapan-Nya.

Kesengsaraan melahirkan waspada dalam jiwa dan memberikan amaran awal kepada orang yang ditimpanya agar tidak menelusuri jalan kejahatan dan kesesatan. Mereka yang ditimpa musibah dapat mempamerkan keberanian dengan kesabaran walaupun dalam keadaan serba kekurangan, tidak seperti mereka yang mabuk dengan kesenangan dunia.

Dan, keadaan ini mengizinkan mereka mempersiapkan diri bersungguh-sungguh untuk pertemuan mereka dengan Allah SWT.  Mereka juga dapat menilai dunia ini dengan adil, dan sedar bahawa dunia ini bukanlah sesuatu yang patut dikesali.

Berhenti Sejenak Untuk Memikirkan Tentang Kesusahan

Jangan bersedih, kerana kesedihan akan melemahkan azam dan mutu ibadahmu. Salah satu kesan kemurungan ialah sering menyebabkan seseorang menjadi pesimis dan mencari kesalahan orang lain. Semoga kita berlindung kepada Allah SWT daripada kemurungan dan kesedihan.

Jangan bersedih, kerana kesedihan, kepiluan, dan kebimbangan itu punca masalah mental dan punca tekanan.

Jangan bersedih, kerana di sisimu ada Al-Quran, doa, zikir dan solat. Kita mampu meringankan beban kebimbangan dengan memberi kepada orang lain, berbuat baik, dan menjadi seorang yang produktif.

Jangan bersedih hati, jangan menyerah kalah kepada kesedihan dengan menempuh jalan mudah iaitu mengalah kepada kemalasan dan kelesuan.

Sebaliknya, berdoalah, bertasbihlah kepada Allah SWT, bacalah, tulislah, teruskanlah bekerja, ziarahilah sanak saudara dan sahabat handai, dan ambillah masa untuk muhasabah.

“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

(Ghafir 40:60)

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

(Al-A’raf 7:55)

“Oleh itu maka sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya (dan menjauhi bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan kamu yang demikian).”

(Ghafir 40:14) 

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Serulah nama ” Allah” atau nama “Ar-Rahman”, yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia””.

(Al-Isra’ 17: 110)

Sumber: Don’t Be Sad, Dr A’id Al-Qarni

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑