Zubair bin Awwam, Jiran Rasulullah SAW di Syurga

Dilahirkan pada tahun 28 sebelum Hijrah. Nama sebenarnya az-Zubair bin ‘Awwam bin Khuwailid al-Qursy al-Asady. Biasa dipanggil Abu Abdullah. Beliau bergelar Hawari Rasulullah (pengikut Rasul). Nasabnya bertemu dengan nasab Rasulullah pada datuknya, Qusai. Khadijah, isteri Rasulullah, Ummul-Mukminin, adalah ibu saudaranya. Ibunya bernama Safiah binti Abdul Mutalib.

Suatu ketika Rasulullah SAW bersabda, “Zubair dan Thalhah akan menjadi jiranku di syurga.” Zubair bin Awwam merupakan menantu kepada Saidina Abu Bakar dan suami Asma binti Abu Bakar.

Zubair adalah putera Al-Awwam dan ayah kepada Abdullah. Rasulullah SAW menyebutnya sebagai hawari-Rasul, atau murid pesuruh Allah SWT. Dia merupakan seorang dari sepuluh orang sahabat yang dijanjikan masuk syurga.

Keunggulan peribadinya mungkin tergambar dari apa yang dikatakan Umar bin Khattab. Umar menyebut Zubair sebagai salah satu tiang Islam. Selain sebagai sahabat yang pertama memeluk Islam, Zubair memiliki hubungan saudara yang sangat rapat dengan Rasulullah SAW.

Zubair merupakan sepupu Rasulullah SAW dari ibu saudaranya Safiah yang juga salah seorang puteri Abdul Mutalib, Sementara Khadijah binti Khuwailid yang merupakan isteri Rasulullah SAW adalah ibu saudara Zubair, sehingga dalam hal ini Rasulullah SAW merupakan bapa saudaranya.

Kemudian Asma, puteri Abu Bakar As-Siddiq dan kakak tertua Aisyah yang kemudian menjadi isteri Rasulullah merupakan isteri Zubair, sehingga dia merupakan saudara ipar Rasulullah SAW. Selain itu, secara salasilah keturunan, Zubair bin Awwam dan Rasulullah SAW berasal dari satu nenek moyang yang sama iaitu dari Qusai putera Kilab.

Zubair, Seorang Yang Berani & Bijaksana

Ayah Zubair, Al-Awwam, meninggal dunia ketika Zubair masih kecil. Ibunya, Safiah, merupakan wanita berani yang sangat tegas yang menginginkan puteranya juga menjadi seorang yang berani. Dia memaksa Zubair belajar dan bekerja keras agar menjadi besar dan kuat. Untuk mewujudkan hal ini, Safiah selalu memukul Zubair sejak kecil tanpa belas kasihan. Suatu hari, bapa saudaranya Naufal melihat Zubair sedang dipukul oleh Safiah. Kerana kasihan, dia pun melaporkannya kepada ketua Bani Hashim, suku yang menaungi Safiah. 

Beliau menyatakan Safiah sangat kejam kerana memukul puteranya. Ketika perkara ini didengari oleh Safiah, dia mempertahankan tindakannya itu kerana ianya dilakukannya bukan kerana kebencian, melainkan untuk mendidik Zubair agar menjadi orang yang bijaksana.

Barangkali didikan inilah yang menjadikan Zubair bin Awwam sebagai salah satu sahabat paling berani. Dia sentiasa siap sedia menghadapi segala macam bahaya dan bersedia menanggung semua rasa sakit dan masalah semasa awal kehadiran Islam di Mekah.

Suatu hari apabila tersebar berita bahawa Rasulullah SAW ditangkap oleh orang Quraisy, dan baginda diberitakan syahid. Zubair yang sedang berehat dirumahnya mendengar khabar ini. Dengan segera, remaja yang baru berusia 16 tahun ini bangkit, keluar rumah dengan membawa pedang di tangannya.

Dia segera mendatangi rumah Rasulullah SAW wajah merah kerana marah. Ternyata berita itu tidak benar, kerana Rasulullah SAW sedang berada di rumah baginda tanpa berlaku apa-apa. Melihat Zubair, Rasulullah SAW pun bertanya, “Mengapa engkau membawa pedang.” Dengan gembira, Zubair berkata, “Bahawa saya bersyukur dan sangat gembira melihat tuan (Rasulullah SAW) dalam keadaan baik dan selamat.”

Mendengar berita salah tentang dirinya, Rasulullah SAW tersenyum. Rasulullah bertanya, “Jika memang ianya berlaku, apakah yang akan engkau lakukan.” Zubair berkata bahawa, “Saya sanggup untuk mati daripada hidup tanpa Rasulullah SAW.” Rasulullah bersabda “Inilah pedang pertama yang terhunus kerana Allah SWT dan Rasulnya.” 

Iman Yang Teguh

Jika masa kecil, Zubair dilimpahi kasih sayang dari bapa saudaranya, Naufal, lain pula berlaku ketika dia sudah masuk Islam. Setelah Zubair mengucapkan syahadah, Naufal yang dulu sangat menyayanginya berubah menjadi musuh yang paling kejam. Dia menjadi lebih kejam dari Safiah yang dulu selalu memukul Zubair ketika kecil. Ahli sejarah mengatakan, kebencian dan kekejaman Naufal terhadap Zubair sangat besar. Naufal seringkali membungkus seluruh badan Zubair menggunakan selimut, kemudian dia menyalakan api di sekelilingnya. Ketika Zubair tidak boleh bernafas kerana dipenuhi asap, Naufal yang kejam memaksanya untuk kembali ke ajaran nenek moyangnya.

Namun dengan berani Zubair menolak perintah bapa saudaranya. Dengan gagah, Zubair membentak, “Tidak mungkin saya melepaskan keimanan saya kepada Allah SWT. Jika saya mati, saya harus mati dalam keadaan Muslim dan bukannya sebagai seorang kafir.”

Ketika kekejaman Naufal mencapai kemuncaknya, dengan izin Rasulullah SAW, Zubair akhirnya meninggalkan Mekah dan berhijrah ke Habsyah (sekarang Ethiopia). Namun dia tidak tinggal lama di kota ini. Setelah beberapa waktu dia kembali ke Mekah dan memulakan perniagaan. Perniagan yang diceburi Zubair membuatnya kaya raya dan menjadi salah seorang sahabat terkaya, selain Uthman bin Affan dan Abdurrahman bin Auf.

Berkorban Jiwa Raga

Meskipun demikian, Zubair merupakan orang yang menginfakkan jiwa dan hartanya, untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Zubair memiliki seribu orang hamba, dan selalu membayar sewanya. Namun dia tidak pernah mengambil wang tersebut melainkan menginfakkannya di jalan Allah SWT.

Kerana kesibukan perniagaannya inilah, maka Zubair tidak ikut menyertai pemergian Rasulullah SAW ketika berhijrah dari Mekah ke Madinah. Penghijrahan Rasulullah terjadi ketika Zubair dalam perjalanan berdagang ke Syria. Ketika beliau kembali ke Mekah, beliau bertemu Rasulullah SAW dan Abu Bakar As-Siddiq yang sedang dalam perjalanan ke Madinah dari Mekah. 

Kerana ketika itu beliau berada dalam rombongan dagang, maka Zubair memutuskan untuk menunda pemergiannya bersama Rasulullah. Beliau membekalkan Rasulullah dengan pakaian dan makanan untuk perjalanan ke Madinah. Namun tidak lama kemudian, bersama ibundanya Safiah, dan isterinya Asma, Zubair pergi menyusuli Rasulullah ke Madinah. 

Di Madinah, Rasulullah SAW telah berjaya mewujudkan hubungan yang rapat berdasar Islam antara golongan Muhajirin dari Mekah dengan golongan Ansar dari Madinah. Berdasarkan hubungan ini, Zubair menjadi saudara seislam dengan Salma, putera Salama yang berasal dari Bani Ashhal, sebuah keluarga di Madinah dari suku Aus. Zubair bin Awwam meninggal dunia 33 tahun selepas hijrah. Suatu ketika Rasulullah bersabda, “Zubair dan Thalhah akan menjadi jiranku di syurga.”

Sumber: 10 Sahabat Nabi Yang Dijamin Syurga oleh Astarul Kiraam

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑