Menipu, berbohong, dan minum arak adalah perkara biasa di negeri-negeri Khalifah sebelum pelantikan ‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz sebagai khalifah. Sebelum pemerintahan ‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz, para penguasa mempunyai tabiat merampas kekayaan rakyat bahkan membunuh mereka dengan alasan yang semborono.
Kedatangan ‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz mengubah semua itu. Pengorbanannya beserta iman yang teguh serta keazaman yang kukuh membolehkan beliau membuat perubahan yang diperlukan.
Selalunya, impian seseorang didorong oleh ideologi politik yang menghalang keupayaan mereka untuk berkembang, lantas mengehadkan impaknya kepada orang di sekeliling. Ada juga yang bersikap sebaliknya dengan terlalu mementingkan kerohanian sehingga mengabaikan penderitaan dan masalah orang lain. Kedua-dua ekstrem ini membuahkan hasil yang terhad dan tidak memberangsangkan.
Sahabat-sahabat Nabi SAW belajar daripada Rasulullah SAW, khususnya yang digariskan dalam Surah al-Muzzammil dan al-Muddaththir, bahawa untuk mengubah masyarakat, perlunya ada keseimbangan di antara pertumbuhan peribadi, penyucian diri, pembaharuan sosial dan perubahan.
‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz adalah salah seorang daripada mereka yang mencapai keseimbangan yang jarang seperti itu. Pengorbanan dan kemurahan hatinya memberi kesan kepada semua orang di sekelilingnya, terutamanya keluarganya. Sebelum beliau dilantik sebagai khalifah, beliau sangat bermurah hati dengan mengagihkan semua hadiah yang diterima daripada ayahandanya.
Tetapi setelah beliau menjadi khalifah, bukan sahaja beliau mendermakan semua hartanya sendiri, tetapi juga meminta isterinya melakukan perkara yang sama, walaupun isterinya itu berhak sepenuhnya kepada semua harta benda miliknya sendiri.
Menurut Ibn Kathir, tidak ada wanita yang diberi emas sebanyak Fatimah pada hari perkahwinannya. Namun, sebagai seorang wanita yang kuat dan solehah yang percaya kepada suaminya dan apa yang ingin dicapainya, dia dengan sepenuh hati menyatakan bahawa dia akan memilihnya berbanding segunung emas. Sesungguhnya, ini tidak mengejutkan kerana kedua-duanya adalah penjelmaan sebenar ayat:
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللهِ
Maksudnya: “Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.“
(Al-Baqarah 2:207)
Mereka adalah jenis individu yang lebih suka meninggalkan semua kekayaan dan kemewahan dunia untuk melihat Rasulullah SAW tersenyum kepada mereka di Hari Akhirat kelak.
Diriwayatkan bahawa suatu ketika menjelangnya hari raya, isteri ‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz memintanya untuk mengambil gaji pendahuluan sebulan untuk membeli pakaian baru untuk anak-anaknya. Mereka sudah lama memakai pakaian lusuh yang sama dan isterinya tidak mahu mereka dimalukan di hadapan saudara mara. ‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz kemudian pergi kepada bendaharanya, Muzähim, dan meminta kepadanya gaji sebulan lebih awal, tetapi bendaharanya menjawab, “Wahai Pemimpin orang-orang mukmin! Bolehkah kau menjamin bahawa kau akan hidup selama sebulan lagi untuk membayar balik jumlah wang ini?“
Terkejut dengan jawapan bendaharanya, ‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz berkata bahawa beliau tidak dapat memberi jaminan seperti itu.
Pada hari raya, kaum kerabat, pegawai, dan lain-lain datang menziarahi ‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz dan disambut oleh anak-anaknya yang memakai pakaian lama yang sama. Kemudian pada hari itu, ‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz menitiskan air mata apabila berhadapan dengan anak-anaknya dan memohon maaf kepada mereka kerana tidak mampu memberi mereka pakaian yang baru. Tetapi anak sulungnya, ‘Abd al-Malik, menjawab: “Wahai ayah, janganlah meminta maaf. Hari ini adalah salah satu hari yang paling menggembirakan dalam hidup kami. Tidak pernah kita dapat mengangkat kepala lebih tinggi daripada hari ini. Hari ini, kita memberitahu dunia bahawa ayahanda kita, pemimpin orang-orang yang beriman, tidak akan mengambil walaupun satu dirham yang bukan haknya. Ayahanda kami hanya memberi kami yang dibenarkan dan halal.“
Hari ini, sukar untuk kita membayangkan seseorang yang memerintah seluruh tanah Islam menjalani kehidupan dengan penuh jimat cermat dan kepasrahan. ‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz tidak mempunyai wang yang cukup untuk pergi haji. Kadang-kadang beliau terlewat untuk solat Jumaat kerana terpaksa menunggu baju yang dibasuhnya kering kerana dia tidak mempunyai baju lain untuk dipakai.
Dia juga berhati-hati untuk tidak menggunakan keistimewaan yang ditawarkan oleh negeri untuk urusan peribadinya. Apabila dia membincangkan hal ehwal negara, dia menyalakan lilin yang disediakan oleh negara, jika tidak, dia menyalakan lilin kepunyaannya sendiri.
حدَّثَنَا عَمْرُو ْبنُ مُهَاجِرٍ : أَنْ عُمَرَ بنَ عَبْدِ العَزِيزِ كَانَ تُسْرِجُ عَلَيْهِ الشَّمْعَةُ مَا كَانَ فِي حَوَائِجِ المُسْلِمِينَ، فَإِذَا فَرَغَ أَطْفَأَهَا، وَأَسْرَجَ عَلَيْهِ مِرَاجَهُ.
‘Amr ibn Muhajir berkata: “Sebatang lilin dinyalakan untuk ‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz selama dia berurusan dengan orang ramai. Apabila dia selesai berurusan dengan hal-ehwal itu, dia memadamkan lilin tersebut dan menyalakan lilin miliknya.”
Isteri ‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz juga bersaksi bahawa dia sering berdiri untuk solat malam dan menangis di dalam doanya kepada Allah SWT, ketika kebanyakan orang sedang berehat atau menghabiskan masa bersama pasangan mereka. Semasa pemerintahannya, begitu ramai orang bukan Islam memeluk Islam hasil daripada pemerintahan dan pembaharuannya yang adil. ‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz merumuskan dengan baik tentang kekuatan yang mendorongnya dalam kehidupan apabila dia berkata:
«أَيُّها النَّاسُ، إِنَّ لى نَفْسًا تَوَّاقَةً لَا تُعْطَى شَيْئًا إِلَّا تَاقَتْ إِلَى مَا هُوَ لي أَعْلَ مِنْهُ، وَإنّي لَمَّا أُعْطِيتُ الخِلَافَةَ تَاقَتْ نَفْسِي إِلَى مَا هُوَ أَعْلَى مِنْهَا وَهِيَ الجَنَّةُ، فَأَعِينُونِ عَلَيْهَا يَرْحَمَكُمُ الله) .
“Wahai manusia! Aku mempunyai jiwa yang tidak pernah puas dan bercita-cita tinggi; setiap kali aku memperoleh sesuatu, aku mendambakan sesuatu yang lebih tinggi daripadanya. Dan sekarang aku telah diberi khalifah, jiwaku merindui yang lebih tinggi daripada ini, iaitu Syurga, maka bantulah aku untuk mencapainya, semoga Allah merahmatimu.”
Ketika beliau muda, beliau memiliki semua harta dunia yang diimpikan setiap orang pada zamannya. Sebagai Khalifah, dia meninggalkan dunia sama sekali dan mengarahkan pandangannya ke Jannah dan ini telah membentuk ucapan dan tindakannya. Apabila beberapa orang menasihatinya untuk hidup seperti raja, dia membacakan mereka ayat ini:
قُلْ إِنِّي أَخَافُ إِنْ عَصَيْتُ رَبِّي عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ
Maksudnya: Katakanlah: “Sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan) azab hari yang besar (hari kiamat)“
(Al-An’am 6:15)
Leave a comment