Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 110:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ (١١٠)
Maksudnya: “Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar, dan kamu beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman kepada Allah, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq.”
(Ali-Imran 3:110)
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(Ali-Imran 3:102)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua.
Pada hari yang mulia ini, khatib akan membicarakan khutbah bertajuk “Menjadi Umat Terbaik.”
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah,
Umat yang terbaik adalah umat yang mempunyai dua sifat utama iaitu umat yang mengajak kepada kebaikan serta mencegah daripada kemungkaran malah hati sentiasa tunduk dan beriman kepada Allah SWT. Tidak dinafikan umat dan generasi yang terbaik adalah generasi yang berada pada zaman Rasulullah SAW. Hadis daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah pada generasiku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Selari dengan arus pemodenan semasa, ciri umat terbaik adalah umat yang berintegriti, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan berkasih sayang.
Sifat ini boleh diterjemahkan melalui keperibadian dan tingkah laku dalam amalan kehidupan seharian. Amalan ini perlu diperluaskan dalam kerangka kehidupan manusia merangkumi kebajikan rakyat berbilang kaum, pembelaan golongan wanita, kanak-kanak, warga emas, golongan fakir dan miskin, anak yatim, mualaf, orang kelainan upaya (OKU), para pesakit dan gelandangan. Ini bermaksud, umat yang terbina tanpa mengira kaum dan agama perlu bersama-sama berganding bahu menjaga keharmonian dan membangunkan negara.
Disamping itu, bagi merealisasikan momentum umat terbaik tercapai kita perlu menerapkan beberapa kriteria dalam masyarakat, komuniti dan institusi yang merangkumi aspek aman, harmoni, mesra, santuni, alami, hormat dan berkasih sayang antaranya:
1. Jauhi sebarang bentuk fitnah dan penyebaran maklumat palsu. Sejak akhir-akhir ini penyebaran fitnah dan maklumat palsu dilihat menjadi trend dan kebiasaan dalam masyarakat. Senario buruk ini berkembang dengan pantas seiring dengan kecanggihan perkembangan teknologi maklumat dalam dunia tiada sempadan. Situasi ini amat membimbangkan kerana penyebaran fitnah dan maklumat palsu boleh mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat serta negara. Firman Allah SWT dalam surah al-Qalam ayat 10-11:
( وَلَا تُطِعْ كُلَّ حَلَّافٍۢ مَّهِينٍ (١٠
هَمَّازٍۢ مَّشَّآءٍۭ بِنَمِيمٍۢ (١١)
Maksudnya: “Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya). Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai).”
(Al-Qalam 68:10-11)
2. Hindarkan diri daripada persepsi dan tanggapan negatif dengan mencetuskan sentimen fanatik perkauman, hasutan, penghinaan serta unsur-unsur yang bercanggah dengan nilai Islam. Pupuklah nilai perdamaian dalam hubungan sesama manusia dengan tujuan saling memahami dan menghormati antara satu sama lain ibarat bukit sama didaki lurah sama dituruni. Ini dapat dilihat, ketika kedatangan risalah Islam di Mekah, Rasulullah SAW telah mendukung dan memartabatkan hak-hak umat di Mekah dan Madinah sehingga berjaya membebaskan musyrikin Mekah daripada kezaliman dan kegelapan jahiliyyah kepada cahaya keadilan Islam, jauh dari sifat fanatik, malah mendamaikan puak-puak yang bermusuhan serta mempamerkan keindahan Islam. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang menganjurkan sifat rahmah dan kasih sayang antara sesama insan sebagaimana hadis riwayat daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Wahai Manusia! Sesungguhnya aku ialah rahmat yang dihadiahkan kepada kamu.”
(Riwayat al-Hakim)
3. Momentum umat terbaik perlu konsisten menyeru manusia beriman ke arah melakukan kebaikan dan menjauhi perbuatan mungkar. Sebagai umat pilihan, pamerkanlah contoh teladan terbaik kepada bangsa dan penganut lain dengan akhlak mulia supaya Islam dan umat Islam itu disanjung dan dihormati. Sentiasalah menjaga izzah umat dan agama Islam kerana ianya akan menjadi penentu kepada kejayaan sebuah tamadun atau negara. Allah SWT berfirman dalam surah al-Munafiqun ayat 8:
يَقُولُونَ لَئِن رَّجَعْنَآ إِلَى ٱلْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ ٱلْأَعَزُّ مِنْهَا ٱلْأَذَلَّ ۚ وَلِلَّهِ ٱلْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِۦ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَـٰكِنَّ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ لَا يَعْلَمُونَ(٨)
Maksudnya: “Mereka berkata lagi: “Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam)”. Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
(Al-Munafiqun 63:8)
4. Umat terbaik perlu bersama-sama menggembleng tenaga tanpa prejudis atau sebarang konspirasi demi menjamin kesejahteraan dan keharmonian. Negara tidak akan berdaya saing dan maju ke hadapan sekiranya kita masih terbelenggu dengan tabiat ‘tidak kisah’ dan ‘tidak ambil peduli’ terhadap isu-isu yang melibatkan kepentingan negara. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌۭ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ. (١٠٤)
Maksudnya:“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada perkara yang makruf, dan mencegah daripada perkara yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.”
(Ali-Imran 3:104)
Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Dalam membina momentum umat terbaik mulakan langkah menyantuni masyarakat tanpa mengira kaum dan agama dalam aspek kebersamaan dengan penekanan elemen keharmonian, toleransi dan perpaduan. Dalam hubungan masyarakat majmuk, Rasulullah istiqamah berlaku adil dengan non-Muslim. Baginda mempamerkan nilai kemanusiaan yang tinggi dalam aspek interaksi sosial. Ini menunjukkan Islam meletakkan penghormatan yang mulia dan tinggi kepada manusia tanpa mengira warna kulit, jantina, keturunan atau bangsa seseorang itu.
Ketika Asma’ Radiallahuanha didatangi oleh ibunya yang masih belum beriman Rasulullah berpesan kepada Asma’ supaya melayani ibunya dengan baik. Malah, apabila delegasi Kristian Najran datang ingin berdialog dengan Rasulullah mereka dilayan dengan penuh hormat. Namun begitu, dalam menerapkan nilai umat terbaik, Rasulullah juga meletakkan sempadan yang jelas apabila melibatkan soal akidah dan kesucian agama Islam.
Umat yang terbaik perlulah menjauhi sifat sombong dan takabbur agar terbina minda dan jiwa yang positif hingga membentuk umat yang berakhlak mulia kesan menjiwai agama yang luhur. Sifat ini amat penting, selaras dengan prinsip toleransi yang diamalkan dalam masyarakat di negara kita. Saling menghormati pegangan agama masing-masing untuk mencapai keharmonian antara kaum. Yang penting, setiap orang Islam dan bukan Islam haruslah memahami dasar-dasar toleransi Islam dan dasar-dasar hidup bersama di antara pelbagai kaum dan agama.
Ini kerana Islam bukan agama berasaskan paksaan ataupun agama yang menekan sesuatu golongan tertentu kerana dalam sejarah Islam, tidak ada satu pun peristiwa yang menunjukkan bahawa Islam memaksa atau menekan golongan bukan Islam. Sebagai contoh, sikap toleransi ini telah dijelmakan oleh masyarakat Muslim dan Non-Muslim di Malaysia dalam amalan rumah terbuka ketika berhari raya untuk mencapai perpaduan antara kaum.
Hadirin yang dikasihi Allah SWT sekalian,
Bagi mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita sama-sama hayati pengajaran berikut:
1. Umat Islam hendaklah menjadi umat yang terbaik dengan beriman kepada Allah SWT dan mentaati Rasulullah SAW.
2. Umat Islam yang tidak mencegah kemungkaran dengan cara yang baik akan menjadi hina disisi Allah SWT.
3. Umat Islam hendaklah segera melakukan kebaikan dan amalamal soleh supaya menjadi umat yang terbaik dan berjaya di dunia dan akhirat.
يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَيُسَـٰرِعُونَ فِى ٱلْخَيْرَٰتِ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ(١١٤)
Maksudnya: “Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.”
(Ali Imran 3: 114)
Tarikh Dibaca: 5 Rabiulakhir 1445H/ 20 Oktober 2023M
Disediakan oleh: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment