Solat Tahajjud: Maksud & Cara Melakukannya

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Firman Allah SWT:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

(Surah al-Isra’ 17:79)

Maksud Tahajjud

Allah SWT berfirman: (فَتَهَجَّدْ بِهِ). Ayat ini bermaksud berjagalah di waktu malam. Perkataan “الْهُجُودُ” membawa maksud tidur, manakala perkataan “التَّهَجُّدُ” adalah dalam wazan (timbangan kata) “تَفَعُّلٌ” yang membawa maksud mengusahakan perbuatan itu dan mensabitkannya sebagaimana asalnya.

Adakalanya timbangan perkataan atas wazan ini membawa erti menafikan perbuatan tersebut. Tetapi hanya segelintir perkataan sahaja yang membawa pengertian penafian ini.

Keseluruhannya ada tujuh perkataan yang wazan “تَفَعُّلٌ” baginya membawa erti menafikan perbuatan tersebut, iaitu “تَهَجَّدَ” yang membawa maksud menafikan “الْهُجُودَ” (tidur). (Lihat Ahkam al-Quran oleh Ibn al-‘Arabi, 5/372)

Cara Tahajjud

Dalam hal ini, ada tiga pendapat:

  • Pada mulanya tidur, kemudian solat, kemudian tidur dan kemudiannya solat.
  • Bersolat setelah tidur terlebih dahulu.
  • Dilakukan selepas solat Isya’.

Inilah dakwaan oleh para ulama’ tabi’in berkaitan cara tahajjud. Boleh jadi mereka melandaskan pandangan itu kepada perbuatan Nabi SAW yang tidur dan solat, kemudian tidur, dan bangun bersolat.

Lantaran itu, mereka menjadikan perbuatan Baginda SAW itu sebagai menunjukkan bagaimana menjunjung perintah dalam ayat al-Quran terbabit. Jika demikian halnya, maka tidak jauh kemungkinan benarnya pendapat tersebut.

Sabda Nabi SAW:

 أفضل الصلوات بعد المفروضة صلاة الليل

Maksudnya: Sebaik-baik solat selepas solat fardhu ialah solat malam (Tahajjud).”

(Hadis Riwayat Abu Hurairah)

Solat Tahajjud amat dituntut oleh syarak sebagaimana nas di atas. Solat ini juga merupakan antara solat sunat yang terbaik berbanding dengan solat-solat sunat yang lain. Antara sebabnya ialah ianya dikerjakan tatkala manusia lain dibuai mimpi indah dalam tidur dan ibadah ini antara ibadah yang memerlukan semangat dan kesungguhan yang jitu untuk mengerjakannya.

Hanya mereka yang benar-benar beriman dan yakin dengan janji Allah S.W.T sahaja yang mampu melaksanakannya walaupun sekadar dua rakaat.

Firman Allah S.W.T:

 كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ ◌ وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

Maksudnya: Mereka sedikit sekali tidur waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah).”

(Surah az-Zariyat, ayat 17-18)

Berdasarkan nas Kitab al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, jilid 1, muka surat 388, karangan Dr. Muhammad az-Zuhaili: Sekurang-kurangnya Solat Tahajjud ialah dua rakaat, tiada had paling banyaknya. Ianya didirikan selepas bangun daripada tidur dan sebelum Subuh.

Solat di pertengahan malam lebih afdal daripada solat di awal malam dan solat pada dua pertiga malam lebih afdal dari waktu lainnya.

Sabda Nabi SAW:

أحب الصلاة الى الله صلاة داود عليه السلام، كان ينام نصف الليل ويقوم ثلثه وينام سدسه

Maksudnya:Solat yang paling disukai oleh Allah S.W.T ialah solat Nabi Daud a.s. Baginda tidur seperdua malam kemudian bangun sepertiganya dan tidur kembali satu perenam malam.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Kesimpulannya, waktu paling afdal Solat Tahajjud ialah pada dua pertiga malam. Walau bagaimanapun, ianya tetap sah dan boleh dilakukan pada awal malam dengan syarat selepas bangkit daripada tidur.

Mengapa Qiyamullail menjadi sebab untuk mencapai maqam yang terpuji?

Dalam hal ini, ada dua pendapat dalam kalangan ulama’:

  • Allah menjadikan apa sahaja yang Dia mahu sebagai sebab untuk mendapatkan kurnia-Nya sama ada diketahui hikmah di sebaliknya ataupun tidak.
  • Dalam qiyamullail mempunyai unsur bersunyi-sunyian dan bermunajat dengan Allah SWT tanpa pembabitan manusia lain. Justeru, Nabi dianugerahkan dapat bersunyi-sunyian dan bermunajat dengan Allah SWT pada hari Kiamat. Maka itulah maqam yang terpuji.

Manakala sekalian manusia yang lain tidak sama darjat masing-masing. Darjat yang paling tinggi dicapai ialah oleh Nabi Muhammad SAW, kerana Baginda SAW dianugerahkan pelbagai kepujian yang tidak dianugerahkan kepada seorang pun, dan Baginda SAW dapat memberikan syafaat tertentu yang tidak dapat diberikan oleh orang lain.

Semoga kita dapat menjadikan amalan qiamullai sebagai satu kelaziman dalam hidup sehingga kita mampu.

Wallahua’lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Mufti Negeri Terengganu

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑