Salahuddin Al-Ayyubi Membebaskan Baitulmaqdis

Perang Salib 

Ancaman utama umat Islam di zaman Salahuddin Al-Ayyubi RA ialah Perang Salib Eropah Kristian. Beberapa faktor yang menyumbang kepada pelancaran perang salib ini untuk menawan Jerusalem, Tanah Suci, Baitulmaqdis. Pertama, ia adalah satu cara untuk menyatukan Eropah yang bertelagah menentang satu ancaman. Kedua, penawanan semula tempat yang mereka anggap sebagai tapak suci, termasuk tempat kelahiran Jesus Christ bagi penganut Kristian dan penaklukan ini akan memberi kemenangan besar bagi pihak berkuasa agama Eropah. Ketiga, untuk menghancurkan empayar Islam yang menjadi ancaman berterusan di sempadan Empayar Byzantine dan ini akan menjadi kemenangan strategik yang luar biasa.

Eropah mengesan kelemahan dalam dunia Islam akibat pertelingkahan di antara pemerintah Islam yang menguasai bahagian-bahagian yang berlainan di wilayah-wilayah Islam yang luas dan tidak bersatu. Beberapa pemerintah Islam bahkan meminta bantuan ke Eropah untuk mengalahkan pesaing mereka.

Perang salib pertama adalah pada 490H/1096M, hampir empat puluh tahun sebelum kelahiran Salahuddin Al-Ayyubi RA. Tentera Salib dengan pantasnya telah menawan Palestin yang lebih besar dan juga pantai Levant. Mereka menawan kota Jerusalem pada 493AH/1099CE dan membunuh penduduk tempatannya dengan pedang. Catatan tangan pertama selepas peristiwa itu menerangkannya seperti berikut:

“Dahsyat sekali digambarkan, pembunuhan beramai-ramai yang terjadi, sehingga kuda-kuda tentera salib yang ditunggang ke masjid Omar tenggelam di dalam aliran darah sehingga ke paras lutut. Bayi-bayi diangkat dengan kaki mereka dan dihempas ke dinding atau dihayun ke atas benteng, manakala orang Yahudi semuanya dibakar hidup-hidup di rumah ibadat mereka…kemudian pembunuhan beramai-ramai berlaku di mana mayat lelaki, wanita dan kanak-kanak ditetak dan dikapak sehingga cebisan mereka dibaling dan ditimbunkan. Kerja-kerja penyembelihan berakhir, dan jalan-jalan di kota itu dibasuh oleh banduan Saracen.”

Dianggarkan 70,000 orang Islam terbunuh ketika Baitulmaqdis mula-mula jatuh ke tangan tentera Salib. Persaingan dan pertelingkahan yang berterusan di antara pemimpin Islam mengakibatkan pencerobohan ke atas tanah Suci oleh tentera Salib. 

Selepas menguasai Mesir Raya dan Syria, Salahuddin Al-Ayyubi RA menyediakan tenteranya untuk mengusir tentera Salib dari tanah Suci Baitulmaqdis. Beliau menunggu masa yang sesuai untuk berbuat demikian. Masa yang ditunggu tiba diakibatkan kelakuan tidak senonoh dan kecuaian salah seorang musuh ketat Islam iaitu Reginald of Châtillon. Dia, seorang tentera salib dari Eropah, telah berkahwin dengan Constance, seorang puteri dari sebuah negara tentera salib yang kemudiannya dipanggil Antioch. Reginald ialah seorang putera yang kejam lagi ganas yang berperang menentang Byzantine dan orang Islam.

Reginald of Châtillon telah ditangkap oleh gabenor Muslim Aleppo pada 556/557 AH 1160/1161 CE dan berkahwin dengan dibebaskan lima belas tahun kemudiannya. Dia kemudian bepergian ke Jerusalem dan berkahwin dengan Stephanie of Milly yang membolehkan beliau untuk menguasai wilayah Kerak di barat Jordan, wilayah yang kerap didatangi karavan Muslim. Di Kerak, Reginald melanggar gencatan senjata yang telah ditandatangani oleh Salahuddin Al-Ayyubi RA apabila dia menyerang dan menyamun karavan Muslim yang melalui kawasan itu.   

Dalam serangan ini, dia mengejek orang Islam dengan menyuruh mereka meminta Nabi SAW datang untuk membantu mereka dan membunuh sebahagian besar kumpulan yang mengembara dengan kafilah itu. Reginald juga cuba menyerang kota Makkah dan mengancam untuk memindahkan kubur Rasulullah SAW. Salahuddin Al-Ayyubi RA menggunakan peluang ini dan mengumpulkan tenteranya untuk menawan semula Baitulmaqdis.

Sepanjang Perang Salib, umat Islam pada umumnya berada dalam keadaan bertahan terhadap serangan Eropah Kristian. Sama seperti Penaklukan Makkah, Penaklukan Baitulmaqdis dicetuskan oleh pelanggaran Reginald terhadap perjanjian yang ditandatanganinya dengan umat Islam. Islam mengajar umatnya untuk tidak mencetuskan pergolakan atau menyerang orang lain melainkan mereka dizalimi.

Pertempuran Hattin Dan Penaklukan Jerusalem

Pertempuran Hattin dan penaklukan Baitulmaqdis seterusnya adalah salah satu kemenangan terbesar umat Islam ke atas musuh mereka. Salahuddin Al-Ayyubi RA menghantar penasihatnya mengelilingi wilayah-wilayah tersebut dan akhirnya mengumpulkan tentera yang terdiri daripada 20,000 hingga 30,000 tentera. 

Tentera Islam bermula dengan mengepung sebuah bandar tentera Salib bernama Tiberias dan menetap di sana dan menguasai tasik berhampiran untuk bekalan air. Tentera Salib bertindak balas dengan menghantar tentera mereka dan cuba membina kem di tepi mata air Hattin tetapi tentera Islam menghalang akses mereka ke sumber air di kawasan itu. Cuaca panas telah memberi kesan kepada tentera salib tersebut.

Apabila tentera Salib mendirikan khemah, tentera Islam mengepungnya dan memanah ke arah kawasan tersebut sehingga membakar rumput kering di sekelilingnya. Tentera Salahuddin Al-Ayyubi RA dengan mudahnya mengalahkan tentera Salib dan Raja Jerusalem, Guy dari Lusignan, bersama Reginald dari Châtillon, Humphrey IV dari Toron dan tentera Salib berpangkat tinggi yang lain berjaya ditawan.

Disebabkan jenayah kejamnya terhadap jemaah haji Islam yang tidak bersalah, Salahuddin Al-Ayyubi RA sendiri secara peribadi telah menjalankan hukuman bunuh terhadap Reginald Châtillon manakala hampir semua banduan lain telah diampunkan dan akhirnya dibebaskan. 

Dengan bilangan pasukan Perang Salib di Baitulmaqdis dan kawasan jiran yang susut teruk, kemenangan di Hattin telah memberi laluan yang jelas kepada Salahuddin Al-Ayyubi RA ke arah Baitulmaqdis.

Salahuddin Al-Ayyubi RA menggunakan strategi pengepungan untuk mengeluarkan tentera Salib daripada Jerusalem dan bukan bermula dengan cara menyerang. Beliau menghantar utusan kepada tentera Salib meminta mereka menyerah diri demi menjaga tempat-tempat suci dan keselamatan orang awam di kota itu. Tentera Salib enggan menyerah dan ini menyebabkan Salahuddin Al-Ayyubi RA tiada pilihan selain menyerang mereka. 

Seminggu kemudian, tentera Salib menyerah kalah dengan syarat bahawa mereka akan meninggalkan Baitulmaqdis dalam masa empat puluh hari dan membayar tebusan sepuluh keping emas untuk setiap lelaki mereka, lima untuk setiap wanita mereka dan dua untuk setiap anak lelaki mereka. Salahuddin Al-Ayyubi RA boleh sahaja memilih untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai seperti yang mereka lakukan terhadap penduduk Muslim dan Yahudi di Baitulmaqdis apabila mereka menaklukinya buat kali pertama. Namun, Salahuddin Al-Ayyubi RA menunjukkan tahap kawalan diri yang paling tinggi dan memaafkan mereka. 

Beliau bukan sahaja memaafkan musuhnya, tetapi beliau juga membantu orang tua yang meninggalkan bandar dengan memberikan mereka wang dan tunggangan untuk membawa barang-barang mereka. Selain itu beliau juga membenarkan banduan untuk disatukan semula dengan keluarga mereka. Orang tua, orang kurang upaya, orang miskin dan ahli agama mereka juga dibenarkan meninggalkan Baitulmaqdis dengan aman tanpa membayar sebarang tebusan. 

Orang Islam juga membeli barang-barang yang tidak dapat dibawa oleh mereka yang meninggalkan kota. Akhirnya, ramai yang dibenarkan meninggalkan Baitulmaqdis tanpa membayar sebarang wang tebusan. 

Perbezaan yang ketara dalam layanan orang Islam dan Yahudi dalam Perang Salib pertama dan orang Kristian selepas penaklukan Islam di Baitulmaqdis menggambarkan toleransi Islam dan keadilan yang mengatasi dendam dan kemarahan. Ia merupakan kemenangan yang luar biasa bagi Salahuddin Al-Ayyubi RA dan umat Islam.  Penaklukan Baitul Maqdis berlaku pada hari Jumaat, 27 Rajab 583 H/1183 M,  hari yang sama ketika Nabi SAW mengimami semua nabi dalam solat sebelum baginda SAW naik ke syurga.  

Ibn Shaddad berkata:

“Itu adalah kemenangan di atas kemenangan… Laungan gembira ‘Allah Maha Besar’, dan ‘Tiada Tuhan selain Allah’ membelah langit. Selepas sembilan puluh tahun, solat Jumaat sekali lagi ditunaikan di Baitulmaqdis,

Ciri-Ciri Perwatakan Salahuddin Al-Ayyubi

Pemimpin dan jeneral tentera biasanya dikenang kerana kehebatan politik dan ketenteraan mereka dan Salahuddin Al-Ayyubi RA tidak terkecuali dalam hal ini. Bagaimanapun, Salahuddin Al-Ayyubi RA lebih daripada seorang pemimpin politik yang licik dan ahli strategi ketenteraan yang bijak. 

Rekod sejarah telah menyerlahkan kemurahan hati dan sifatnya yang tidak duniawi yang luar biasa walaupun ketika dia berada di puncak kuasanya. Sememangnya jarang kitaitemui pemimpin dunia yang mampu memimpin bangsa dan negara sambil menjaga ketaqwaan kepada Allah SWT. Salahuddin Al-Ayyubi RA sudah pasti salah seorang daripada individu yang jarang ditemui ini dan salah seorang lelaki Islam yang paling hebat.

Salahuddin Al-Ayyubi RA mempamerkan kepentingan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan keazamannya dalam hal ini ditonjolkan oleh Ibn Shaddad yang menulis:

“Beliau adalah seorang yang patuh dalam ibadahnya. Dia pernah memberitahu saya, ‘Aku tidak pernah meninggalkan satu solat berjemaah pun dalam beberapa tahun yang lalu.’ Semasa sakit pun, dia akan memanggil Imam dan memaksa dirinya untuk menunaikan solat di belakangnya… Dia sentiasa berpuasa pada bulan Ramadhan….. Dia seronok mendengar al-Quran dibacakan kepadanya dan dia sering mendengar tiga atau empat bab Kitab Suci daripada pengawal benteng yang kadang-kadang dikunjunginya pada waktu malam. Dia mendengar Al-Quran dengan sepenuh hati dan jiwanya sehingga air mata menitis di pipinya… Sultan mempunyai kepercayaan dan keyakinan yang tidak berbelah bagi terhadap kemurahan Allah SWT. Beliau sering berpaling dengan hati dan jiwanya kepada Tuhan di saat-saat kesukaran.”

Pada tahun-tahun terakhirnya, beliau bergelut dengan puasa kerana ditimpa penyakit. Namun, dia akan mencatat hari-hari yang dia terlepas puasa supaya dia boleh menggantinya apabila ada sedikit peluang. Beliau menggalakkan orang-orang di sekelilingnya untuk berada di kalangan para ulama’, terutama yang meriwayatkan hadis Nabi. Dia sering menangis kerana cintanya kepada Islam dan merasa berbesar hati kerana Allah SWT telah mengizinkan beliau untuk menyatukan umat Rasulullah SAW.

Sumber: Our Legends, Mufti Abdul Wahab Waheed & Mustafa Rasheed (Terjemahan mymuslimin.com)

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑