Refleksi: Mengambil Kira Setiap Cetusan Pemikiran

Setiap kali kita melakukan sesuatu yang penting dan ketara, kita harus berundur ke belakang dan menilainya. Adakah tindakan kita itu betul? Adakah perbuatan itu sah? Patutkah kita meneruskannya? Penilaian diri sebegini adalah satu proses yang mampu memartabatkan diri kita. 

Sebaliknya, jika kita gagal untuk mengambil kira atau menilai pemikiran dan tindakan kita, kita akan dengan mudahnya tergelincir ke lembah yang penuh dengan kejahilan dan pembaziran. Dan, lembah yang hina ini sebenarnya bermula dengan perkara kecil (yang diabaikan).

Sesuatu yang berpotensi merosakkan diri kita bermula sebagai cetusan pemikiran. Jika kita tidak menghalang pemikiran ini mekar di dalam minda kita, ia akan bertukar menjadi kebiasaan. Dan apabila pemikiran tersebut sudah menjadi kelaziman, adalah amat sukar untuk dibuang dan dibendung. Oleh itu, kita diingatkan untuk menghentikannya (cetusan pemikiran) di awal “kitaran hayat”nya dengan mengingati Allah SWT, sebelum pemikiran yang merosak tersebut menguasai diri kita.

Imam al-Muhasibi menetapkan piawaian yang sangat tinggi untuk kita dengan mencadangkan bahawa penilaian kita harus dilakukan tidak sekadar ke atas keputusan dan tindakan, ia juga harus mencakupi pemikiran kita. Ketegasan beliau dalam menilai dirinya sendiri telah membawa kepada nama gelarannya, “al-Muhasibi,” yang bermaksud orang yang sentiasa mengambil kira dirinya sendiri.

Ingatlah bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi kita dengan setiap nafas yang dihembus.

Seperti yang nyatakan oleh Ibn ‘Ata Allah dalam kata-kata mutiaranya, “Tiada nafas yang kamu hembus melainkan ada takdir yang diturunkan oleh Allah SWT.”

Oleh itu, kita haruslah mencuba untuk mengambil kira setiap detik kita bernafas, bermakna kita harus memantau masa kita supaya kita tidak mengejar sesuatu yang sia-sia, atau membenarkan sesuatu yang memudharatkan berlaku kepada diri ketika kita bernafas disebabkan kecuaian kita sendiri.

Sumber: Treaties for the Seekers of Guidance, Al-Muhasibi’s Risala Al-Mustarshidin (Terjemahan: Mymuslimin.com)

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑