Ketahuilah bahawa dosa-dosa kecil bertukar menjadi besar dengan perbuatan yang berterusan dan kegigihan untuk terus melakukannya. Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn’ Abbad (RA) daripada Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda: “Tidak ada dosa kecil selama ianya diteruskan dan tidak ada dosa besar selama memohon ampun kepada Allah.”
Ketahuilah bahawa pengampunan dari dosa besar yang telah dilakukan, dihentikan dan tidak disusuli lebih baik daripada pengampunan untuk dosa kecil yang berterusan oleh hamba-hamba-Nya.
Ianya umpama titisan air yang berterusan jatuh ke atas batu dan melekukkan batu itu. Namun jika titisan itu turun serentak ke atas batu, kesan yang sama tentu tidak akan diperolehi. Oleh sebab itu, Nabi SAW bersabda: “Dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai Allah SWT adalah yang dikerjakan secara berterusan walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Mengganggap Dosa Kecil Sebagai Remeh
Salah satu sebab yang mendorong kepada melakukan dosa-dosa kecil adalah apabila dosa kecil itu dianggap remeh. Namun apabila dosa itu dianggap besar di sisi hamba Allah, Allah SWT akan menganggapnya kecil, dan apabila dosa itu dianggap kecil oleh hamba-Nya, Allah akan menganggapnya besar. Jika hamba Allah menganggap dosa itu besar, hati akan mula menjauhkan diri daripadanya dan tidak menyukainya.
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang mukmin (ketika) ia melihat dosa-dosanya, adalah seperti (ketika) ia duduk di lereng sebuah gunung, dan ia sangat khuatir gunung itu akan menimpanya. Sedangkan seorang fajir (orang yang selalu berbuat dosa), ketika ia melihat dosa-dosanya adalah seperti ia melihat seekor lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian ia mengusirnya seperti ini lalu terbang (ia menganggap remeh dosa).” (HR Bukhari No: 6309)
Dosa dianggap sangat besar di dalam hati seorang mukmin kerana pengetahuannya tentang Kemuliaan Allah SWT. Jika hamba melihat Allah itu Maha Besar, manusia akan melihat dosa kecil sebagai besar. Dari hadis Anas (RA): “Sungguh kalian melakukan sebuah amalan yang kalian sangka lebih ringan dari sehelai rambut, padahal kami pada zaman Rasulullah menganggap hal itu sebagai amalan yang membinasakan.“
Bilal Ibn Sa’d (RA) berkata: “Jangan melihat kepada kecilnya dosa, tetapi lihatlah kepada besarnya Dzat yang kamu durhakai.”
Bergembira Tatkala Melakukannya (Dosa Kecil)
Satu lagi punca dosa kecil menjadi besar adalah bergembira apabila melakukannya, kerana seseorang mungkin berkata “Tidakkah kamu melihat bagaimana aku telah mereka dakwaan palsu terhadap fulan? dan aku telah menyebut kesalahannya sehingga dia menjadi malu? Tidakkah kamu melihat bagaimana aku mengada-adakan tuduhan palsu terhadap fulan? Bagaimana aku telah menipunya dan bagaimana aku telah mengalahkannya?” Perkara seperti ini memburukkan lagi dosa-dosa kecil.
Tidak Mengambil Berat Tentang Dosa Yang Telah Dilakukan
Satu lagi punca dosa kecil menjadi besar adalah apabila seseorang tidak mengambil berat dengan hakikat bahawa Allah SWT telah menutup dosa-dosanya serta kesabaran Allah SWT terhadapnya, dan kelonggaran yang Dia berikan. Lantas, hamba tidak memahami bahawa ini sebenarnya boleh menjadi punca untuk dia melakukan lebih banyak dosa.
Bercerita Tentang Dosa Itu Kepada Orang Lain
Juga, apabila seseorang melakukan dosa dan mendedahkannya dengan menyebut kepada orang lain. Sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.” Riwayat Al-Bukhari (6069)
Tanggungjawab Seorang Ulama’
Juga jika orang yang berdosa itu adalah seorang ulama yang banyak penyokong, jika dosanya ditonjolkan, ia akan bertambah, seperti jika dia memakai sutera, sering bergaul dengan orang-orang zalim, menyokong sehingga menutup berita dosa mereka, bercerita tentang kehormatan orang lain dan menyibukkan diri dengan ilmu-ilmu yang tidak bermanfaat kecuali untuk reputasi seperti penghujahan retorik.
Seorang ulama, jika diikuti penyokongnya dalam dosa-dosa ini, walaupun dia meninggal dunia, kejahatannya kekal. Maka Tuba, sebatang pohon di syurga, adalah untuk mereka yang apabila meninggal dunia dan dosa-dosa mereka mati bersamanya.
“Dan barang siapa mengajak kepada kesesatan, ia berhak memikul dosa seperti dosa-dosa orang yang mengikutinya tidak mengurangi dosa-dosa mereka sedikitpun” (HR. Muslim)
Seorang ulama mempunyai dua kewajipan; pertama meninggalkan dosa dan, kedua, menyembunyikannya. Beban ulama bertambah jika dosanya diikuti oleh orang lain, begitu juga amal solehnya bertambah jika diikuti oleh orang lain. Oleh itu, seorang ulama harus sederhana dalam pakaian dan perbelanjaannya, dan berjimat cermat kerana orang memandang tinggi kepadanya.
Dia juga harus menjaga dirinya dari apa yang akan diikuti oleh orang lain, kerana apabila dia mengunjungi para penguasa dan mengumpulkan kesenangan dunia, orang lain akan mengikutinya dalam hal ini. Dia mungkin mendapat jaminan keselamatan, tetapi orang lain tidak akan memahami bagaimana dia memperolehi jaminan keselamatan tersebut.
Menurut sebuah kisah, seorang raja telah memaksa rakyatnya untuk memakan daging babi. Ketika seorang ulama’ diundang ke majlis diraja, pegawai istana berkata kepadanya: ‘Kami telah menyembelih anak kambing untukmu dan menyimpan sebahagian daripadanya untuk kau makan.’ Kemudian, apabila raja menghadiri jamuan tersebut, ulama’ itu dihidangkan daging kambing tetapi dia langsung tidak menjamahnya. Kerana itu Raja telah murka dan memerintahkan supaya ulama’ itu dihukum bunuh. Pegawai istana bertanya kepadanya: ‘Bukankah aku telah mengatakan kepadamu bahawa ia adalah anak kambing?’ Ulama’ itu menjawab: ‘Bagaimana orang-orang yang mengikutiku dapat mengetahuinya?’
Sumber: Purification of the Soul by Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi
Leave a comment