Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 4 – Tahap Penciptaan Manusia, Ketentuan & Kesudahannya

Daripada Abi Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud berkata, bahawa Rasulullah yang benar lagi dibenarkan (dipercayai) telah bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya setiap kalian dikumpulkan penciptaan di dalam rahim ibu selama 40  hari dalam bentuk sperma (nuthfah), kemudian menjadi segumpal darah (‘alaqah) selama itu juga, kemudian menjadi mudghah (segumpal daging) selama itu juga, kemudian diutuskan malaikat untuk meniupkan roh kepadanya. Lalu diperintahkan untuk menuliskan empat perkara; rezekinya, ajalnya, amal perbuatannya dan sengsara atau bahagianya. Maka demi Allah yang tiada tuhan selain-Nya, ada seseorang antara kamu mengerjakan amalan ahli syurga, sehingga tidak ada jarak antara dirinya dengan syurga kecuali sehasta sahaja. Maka dahuluilah atasnya takdir Allah, lalu dia melakukan perbuatan ahli neraka hingga ia masuk ke dalamnya. Ada seseorang antara kamu mengerjakan amalan ahli neraka, sehingga tidak ada lagi jarak antara dirinya dengan neraka kecuali sehasta sahaja. Maka dahuluilah ketentuan Allah, lalu dia melakukan perbuatan ahli syurga, dia pun masuk ke dalam syurga.”

(Riwayat al-Bukhari no. 3208 dan Muslim no. 2643)

Huraian

Kalimah Satu

Kalimah “...yang jujur, benar lagi dibenarkan” bermaksud bahawa Rasulullah SAW ialah seorang yang sentiasa jujur dan benar. Apa yang diturunkan kepada Baginda benar-benar wahyu Allah.

Sebahagian ulama berkata bahawa maksud kalimah “Sesungguhnya dikumpulkan penciptaan setiap kamu di dalam rahim ibu” ialah pertemuan air mani (sperma) yang terpancar ke dalam rahim, lalu Allah pertemukan dengan telur dalam rahim tersebut selama empat puluh hari.

Diriwayatkan daripada as-Suddiy bahawa dia mentafsirkan kalimah di atas dengan menyatakan:

Nuthfah yang dipancarkan ke dalam rahim apabila Allah mengkehendaki untuk menjadi seorang manusia, maka nuthfah tersebut mengalir pada seluruh pembuluh darah perempuan hingga sampai kepada kuku dan rambut kepalanya. Kemudian tinggal selama empat puluh hari, lalu berubah menjadi darah yang terletak di dalam rahim. Itulah yang dimaksudkan dengan “…dikumpulkan penciptaan setiap kamu.” Setelah 40 hari, nuthfah kemudian menjadi alaqah (segumpal darah).” (Direkodkan dalam Tafsir Ibn Abi Hatim no. 3156)

Kalimah Dua

Kalimah “… kemudian diutuskan malaikat untuk meniupkan roh kepadanya” ialah malaikat yang mengurus rahim.

Kalimah Tiga

Kalimah “Ada seseorang antara kamu mengerjakan amalan ahli syurga…” secara jelasnya menunjukkan bahawa orang tersebut melakukan amalan yang benar dan amal itu mendekatkan pelakunya ke syurga sehingga dia hampir dapat masuk ke syurga dengan jarak yang terlalu hampir iaitu kurang daripada satu hasta. Ibnu Hajar al-Haitami menyatakan pengakhiran yang buruk terjadi kerana helah dalaman yang disorok oleh seseorang sedang amalan zahirnya adalah baik.

Akan tetapi, apabila ternyata pada akhirnya tertutup dengan amal buruk, maka seperti yang dikatakan dalam hadis yang bermaksud:

“Segala amal perbuatan itu perhitungannya bergantung pada amal terakhirnya.”

(Riwayat al-Bukhari, no. 6607)

Maksudnya, situasi seperti ini terbatas untuk orang tertentu dan dalam keadaan tertentu sahaja.

Adapun hadis yang disebut Imam Muslim dalam Kitabul Iman daripada kitab sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Seseorang melakukan amalan ahli syurga pada pandangan manusia, tetapi sebenarnya dia ialah ahli neraka.”

(Riwayat Muslim no. 112)

Ini menunjukkan bahawa perbuatan yang dilakukannya itu pada dasarnya tidak benar. Dia melakukannya semata-mata untuk mendapat pujian atau menjadi terkenal.

Hadis tersebut menunjukkan bahawa yang perlu diperhatikan ialah niat pelakunya dan bukan zahir perbuatannya. Orang yang selamat daripada riyak adalah semata-mata kerana kurniaan dan rahmat Allah.

Kalimah Empat

Kalimah “Maka demi Allah yang tiadaTuhan selain-Nya, ada seseorang antara kamu mengerjakan amalan ahli syurga… lalu dia melakukan perbuatan ahli neraka hingga ia masuk ke dalamnya” adalah suatu kejadian yang jarang-jarang berlaku dan bukan merupakan hal yang umum.

Perkara ini disebabkan kemurahan, keluasan dan rahmat Allah kepada manusia hingga apa yang lebih banyak terjadi ialah manusia yang tidak baik berubah menjadi baik. Amat jarang-jarang sekali orang yang baik berubah menjadi tidak baik. Segala puji dan kurniaan adalah milik Allah semata-mata.

Biarpun manusia tidak mengetahui apa yang ditetapkan kepadanya, namun manusia diseru untuk terus berdoa dan berusaha agar Allah memberikan kebaikan dalam hidup sebagaimana doa yang diajarkan oleh Rasulullah:

الهُم رَحْمَتَكَ أَرْجُو، فَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنِ، وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ

Maksudnya: “Ya Allah, rahmat-Mu yang aku harapkan, maka jangan Engkau tinggalkan diriku walau sekelip mata sekalipun, dan perbaikilah keadaanku seluruhnya.”

(Riwayat Abu Daud no. 5090)

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

One thought on “Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 4 – Tahap Penciptaan Manusia, Ketentuan & Kesudahannya

Add yours

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑