Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Dunia Sementara, Akhirat Selamanya

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا لَعِبٌۭ وَلَهْوٌۭ وَزِينَةٌۭ وَتَفَاخُرٌۢ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌۭ فِى ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَوْلَـٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ ٱلْكُفَّارَ نَبَاتُهُۥ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَىٰهُ مُصْفَرًّۭا ثُمَّ يَكُونُ حُطَـٰمًۭا ۖ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ عَذَابٌۭ شَدِيدٌۭ وَمَغْفِرَةٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنٌۭ ۚ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ(٢٠)

(Al-Hadid 57:20)

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

(Ali Imran 3:102)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua. 

Khatib ingin mengajak para jemaah sekelian untuk sama-sama menghayati khutbah pada hari ini yang bertajuk “Dunia Sementara, Akhirat Selamanya” 

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT

Allah SWT berfirman dalam surah al-Ankabut, ayat 64 mengingatkan manusia tentang kehidupan dunia yang maksudnya: 

Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” 

(Al-Ankabut 29:64)

Ayat ini mengajarkan kepada kita hakikat sebenar kehidupan di dunia. Suatu kehidupan yang diumpamakan seperti kesenangan yang sedikit atau kesenangan yang menipu jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat. 

Satu hari di akhirat bersamaan dengan seribu tahun di dunia.

Umur umat Nabi Muhammad pula antara 60 tahun hingga 70 tahun sahaja. Tempoh hidup di alam barzakh lebih lama berbanding tempoh hidup di dunia. Umat-umat terdahulu, banyak daripada kalangan mereka yang mendustakan para rasul lalu di manakah mereka sekarang? Sekarang mereka sedang berada di alam barzakh dan sedang ‘menikmati’ apa yang telah mereka lakukan dalam kehidupan dunia yang lalu. 

Hadirin Jumaat yang dimuliakan

Lantaran itu, Allah SWT beritakan kepada kita seperti yang dinukilkan dalam kitab Tafsir al-Munir Juzuk 17 dirujuk kepada mafhum ayat 112 hingga 114 Surah al-Mukminun mengenai dialog Allah dengan orang kafir selaku penghuni neraka dengan mafhum firman Allah SWT: 

“Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): “Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?” Mereka menjawab: “Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung. Allah berfirman: “Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia).”  

(Al-Mukminun 23: 112-114)

Maka berbaloikah kita melakukan kederhakaan kepada Allah SWT dalam kehidupan yang singkat ini!? Tepuk dada, tanyalah iman. 

Luqman al-Hakim pernah memberikan nasihat dengan katanya: “Belilah akhiratmu dengan duniamu.” Satu nasihat mengenai perniagaan yang bermodalkan dunia, iaitu tukarlah duniamu dengan akhiratmu, engkau akan beruntung, dapat keduanya, sebaliknya: “Jangan sampai engkau jual akhiratmu untuk mendapatkan kenikmatan dunia.” Engkau akan rugi keduanya. Nasihat Luqman itu jika di hayati memang benar, bahawa taat kepada Allah adalah kunci seseorang dalam meraih kejayaan. Kejayaan ini tentu tidak hanya diukur dengan nilaian kebendaan, melainkan lebih kepada balasan daripada Allah SWT di akhirat kelak. Dengan itu ingatlah wahai saudaraku sekalian, belilah akhiratmu dengan menjual duniamu. Kita akan untung kedua-duanya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Qasas ayat 77:

وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ (٧٧)

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” 

(Al-Qasas 28:77)

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT memerintahkan kita supaya mengutamakan akhirat daripada dunia. 

Manakala Rasulullah SAW pula mengingatkan dalam hadis, khusus kepada manusia yang menjadikan dunia ini sesuatu yang besar di hatinya melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

 “Siapa yang dunia menjadi keinginan terbesar di hatinya, maka Allah akan cerai beraikan urusannya. Dan Allah jadikan kefakiran di antara kedua matanya. Dan dunia tidak mendatanginya kecuali yang dituliskan saja untuknya. Dan siapa yang akhirat itu menjadi niat utamanya (keinginan terbesar di hatinya akhirat), Allah akan kumpulkan urusannya, dan Allah akan jadikan kekayaan di hatinya dan dunia akan mendatanginya dalam keadaan dunia itu hina di matanya.”

(Riwayat Ibnu Majah)

Hadirin Jumaat yang dimuliakan

Rasulullah SAW mencela orang yang keinginan terbesar di hatinya kepada dunia. Apa yang terjadi kepada orang seperti ini? Allah akan ceraiberaikan urusannya. Apa maksudnya? Ertinya Allah cerai beraikan kekuatan hamba tersebut. Orang ini akan mudah putus asa ketika ditimpa musibah. Hatinya akan penuh dengan penyakit-penyakit hati seperti cinta dunia yang berlebihan, penyakit dengki, tamak bahkan sampai peringkat menghalalkan yang haram demi untuk mendapatkan dunia. Allah berfirman dalam surah Hud ayat 15 -16 yang bermaksud: 

“Sesiapa yang menginginkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami akan membalas hasil usaha mereka di dunia dengan sempurna dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Mereka itulah orang yang tidak mendapat sesuatu pun pada hari akhirat kelak selain daripada azab Neraka dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.” 

(Hud 11:15-16)

Pernah sahabat kesayangan Baginda iaitu Umar al-Khattab Radiallahuanhu menangis, melihat susahnya hidup Nabi SAW, lalu Nabi bersabda yang bermaksud: 

“Aku tidak memiliki kecenderungan (kecintaan) terhadap dunia. Keberadaanku di dalam dunia seperti seorang musafir yang berteduh di bawah pohon, kemudian pergi dan meninggalkan pohon tersebut.” 

(Riwayat al-Tirmizi)

Manfaatkanlah peluang ini sebaiknya dengan memperbaiki diri serta memperbanyakkan bekalan untuk dibawa ke destinasi kehidupan hakiki. Kehidupan di dunia ini sifatnya fana. Setiap makhluk yang bernyawa pasti akan menemui ajalnya. Berapa lama sekalipun umur seseorang, dunia tetap akan berakhir baginya. Hakikatnya, kita semua sedang menunggu giliran untuk menuju kehidupan abadi yang akan menjemput setiap insan tanpa mengenal usia, kesihatan serta tidak dapat diduga di mana dan bilakah saat kematian mereka akan tiba. 

Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 34 yang bermaksud:

“Dan tiada seseorang pun yang mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (samada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.” 

(Luqman 31:34)

Hadirin Jumaat yang berbahagia

Hadis ini pula memberikan peringatan kepada kita agar tidak memperpanjang angan-angan tentang dunia. Daripada Ibnu Umar Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Rasulullah SAW memegang kedua-dua bahu saya sambil bersabda; “Hiduplah engkau di dunia seolah-olah orang asing atau pengembara.” Ibnu Umar berkata: “Jika kamu berada di petang hari, jangan tunggu pagi hari, dan jika kamu berada di pagi hari jangan tunggu petang hari, gunakanlah kesihatanmu untuk (persiapan semasa) sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu.”

(Riwayat al-Bukhari)

Dunia seharusnya dimanfaatkan sebagai bekal menuju akhirat. Dunia umpama ladang persemaian dan akhiratlah tempat menuainya. Semailah sebanyak-banyaknya amal ibadah dan amalan soleh agar dapat dimanfaatkan kelak sekembalinya kita ke akhirat nanti, menjadi bekalan agar selamat melepasi titian sirat. 

Lantaran itu, hadis di atas mengingatkan kita agar sentiasa bersedia dan memanfaatkan waktu yang ada serta jangan melengah-lengahkannya. Dunia ini adalah jambatan yang menjadi penghubung menuju akhirat. Maka, sentiasalah bersedia sebagaimana seorang pengembara yang sedang dalam perjalanan menuju ke satu destinasi. Pastinya perjalanan tersebut diawali dengan persiapan yang rapi seperti persediaan ilmu yang mantap dan bekalan yang mencukupi agar tidak tersesat dan tersasar dari landasannya serta berjaya sampai ke destinasi dengan selamat. 

Hadirin Jumaat yang dikasihi sekalian

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa inti pati khutbah sebagai panduan kita bersama iaitu: 

1. Kita hendaklah meyakini bahawa kehidupan dunia adalah sebentar dan sementara sahaja manakala akhirat adalah negeri yang kekal abadi. 

2. Kita hendaklah memastikan perjalanan kehidupan di dunia ini sentiasa terpandu untuk mendapat keuntungan di akhirat. 

3. Kita hendaklah berusaha agar tidak terperangkap dengan dunia yang sifatnya menipu, penuh sandiwara dan permainan semata.

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٰتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلْبَنِينَ وَٱلْقَنَـٰطِيرِ ٱلْمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلْفِضَّةِ وَٱلْخَيْلِ ٱلْمُسَوَّمَةِ وَٱلْأَنْعَـٰمِ وَٱلْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَـٰعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسْنُ ٱلْمَـَٔابِ(١٤)

Dihiaskan indah pada (pandangan) manusia: Kesukaan kepada bendabenda yang diingini, iaitu perempuan-perempuan dan anak-anak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun dari emas dan perak; kuda peliharaan, binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”

(Ali-Imran ayat 14)

Tarikh Dibaca: 12 Rabiulakhir 1445H/27 Oktober 2023M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑