أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَوْلَـٰدَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَـٰقٍۢ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْـًۭٔا كَبِيرًۭا (٣١) وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةًۭ وَسَآءَ سَبِيلًۭا (٣٢) وَلَا تَقْتُلُوا۟ ٱلنَّفْسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًۭا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِۦ سُلْطَـٰنًۭا فَلَا يُسْرِف فِّى ٱلْقَتْلِ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ مَنصُورًۭا(٣٣)
(Al-Isra’ 17 : 31-33)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Semoga Allah SWT mengurniakan kerahmatan dan keberkatan di dalam kehidupan kita. Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan berhenti daripada melakukan perkara yang lalai dan sia-sia seperti menggunakan telefon atau berbual-bual. Semoga segala amal ibadah yang kita lakukan diterima Allah SWT.
Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Sayangi Kanak-Kanak”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Isu pembuangan bayi kerap diperkatakan di dada akhbar dan di media sosial. Dalam suasana Malaysia sedang mencapai negara maju, seluruh masyarakat mesti memiliki kefahaman agama yang baik dan sifat kemanusiaan yang tinggi bagi menangani gejala-gejala sosial. Salah satu bentuk gejala sosial yang mesti kita ambil peduli ialah isu pembuangan bayi yang dilakukan oleh individu yang tidak berperikemanusiaan, selain kes-kes penderaan terhadap kanak-kanak yang turut menjadi barah dalam masyarakat.
Keadaan ini menggambarkan bahawa keruntuhan akhlak dan moral dalam masyarakat sedang kita hadapi.
Betapa sedih dan menyayat hati apabila melihat bayi yang tidak berdosa ini dijumpai di bawah pokok, di dalam longkang, tandas, tong sampah, beg plastik dan tempat pembuangan sampah bahkan turut ditinggalkan di tepi surau atau masjid dengan anggapan pasti akan ada orang yang baik hati akan mengambilnya.
Berdasarkan rekod yang diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah kes pembuangan bayi dan kanak-kanak pada tahun ini iaitu sehingga bulan Mei 2023 ialah sebanyak 120 kes. Bagi kes penderaan kanak-kanak pula, jumlah kes yang direkodkan pada tahun ini iaitu sehingga bulan Mei 2023 ialah sebanyak 2959 kes. Angka ini sesuatu yang membimbangkan dan perlu dianggap serius.
Renungkan Firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 31 hingga 33 yang dibacakan tadi membawa maksud:
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar. Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).”
(Al-Isra’ 17 : 31-33)
Penzinaan atau seks bebas, pembunuhan serta pembuangan bayi akan merosakkan agama, jiwa dan keturunan. Sedangkan Islam menjaga perkara-perkara tersebut dengan menghalalkan perkahwinan, mengharamkan pembunuhan serta mengharamkan perbuatan buang anak yang jelas melanggar aturan agama.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mimbar juga ingin mengingatkan kepada semua umat Islam tentang dosa perbuatan mendera kanak-kanak. Pelbagai bentuk penderaan yang berlaku sama ada dari sudut emosi, fizikal dan seksual. Penderaan kanak-kanak secara fizikal adalah satu perbuatan zalim yang dilakukan oleh ibu bapa, penjaga atau sesiapa sahaja yang bertanggungjawab melindungi kanak-kanak berkenaan dengan tujuan untuk menyakiti mangsa.
Perbuatan mendera boleh menyebabkan kecederaan fizikal dan mental malah boleh menyebabkan kematian. Pelbagai bentuk penderaan kanak-kanak telah dilakukan seperti memukul, mencucuh dengan puntung rokok atau dengan benda panas, menyepak, menumbuk, mencubit sehingga melukakan, menyimbah air panas, merantai dan merendam ke dalam air.
Selain itu, penderaan emosi turut dilakukan terhadap kanak-kanak sehingga menyebabkan gangguan psikologi dari segi mental dan emosi. Penderaan ini juga meliputi perbuatan pengabaian dan tidak memberi kasih sayang yang secukupnya kepada kanak-kanak. Mereka ini dimarahi, diejek, ditengking dan disekat sehingga menyebabkan kanak-kanak ini merasa sedih, marah dan murung.
Bagi penderaan seksual pula, ia berlaku apabila kanak-kanak dieksploitasi untuk kepuasan seks orang dewasa. Penderaan seksual membabitkan kanak-kanak adalah dengan cara mencabul kehormatannya, merogol bahkan ada yang dipaksa melacur. Penderaan seksual yang membabitkan kanak-kanak perempuan semakin membimbangkan manakala bilangan kanak-kanak lelaki yang didera secara seksual juga tidak kurang seriusnya.
Sesungguhnya anak-anak adalah amanah Allah SWT yang perlu disayangi dan dilindungi. Sedangkan binatangpun Allah SWT melarang kita menzaliminya, apatah lagi seorang manusia seperti kanak-kanak. Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.”
Sebagai ibu bapa atau penjaga, kita perlu sedar bahawa tanggungjawab kita terhadap anak-anak bukan sekadar memberi makan dan pakai semata-mata tetapi lebih daripada itu iaitu mendidik dengan tarbiah Islam, mengajar, mengasuh, menunaikan hak mereka, menyuruh melakukan kebaikan dan melarang melakukan kemungkaran. Ingatlah bahawa perbuatan mendera anak-anak amat dipandang hina dan dikutuk oleh agama.
Mimbar mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan supaya kerjasama masyarakat setempat, orang ramai dan kaum keluarga mesti diperkukuhkan terutama keprihatinan terhadap isu penderaan kanak-kanak. Laporkan terus kepada pihak berkuasa tanpa bertangguh agar pembelaan terhadap kanak-kanak yang menderita dapat dilaksanakan secepat mungkin. Bagi pihak mahkamah, hukuman maksimum mesti dijatuhkan ke atas pesalah yang melakukan penderaan supaya dapat menjadi pengajaran yang berguna kepada masyarakat. Pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar perlu diperbanyakkan dan menutup pusat jagaan yang tidak memiliki lesen sah untuk beroperasi kerana ia hanya akan mendedahkan kepada mafsadah yang lebih besar.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Anak-anak adalah amanah Allah SWT yang perlu disayangi dan dilindungi daripada sebarang bentuk penindasan, diskriminasi dan keganasan.
Kedua: Isu penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi mesti ditangani secara bersama oleh pihak berkuasa dan seluruh masyarakat agar pembelaan terhadap kanak-kanak dapat ditegakkan dengan tuntas dan adil.
Ketiga: Amar makruf dan nahi mungkar mesti ditegakkan dalam membendung gejala sosial seperti penderaan kanak-kanak, pembuangan bayi, penzinaan atau seks bebas.
Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah, ayat 98:
ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ وَأَنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ (٩٨)
Bermaksud: “Ketahuilah oleh kamu, bahawasanya Allah Maha berat azab seksaNya (kepada orang yang kufur dan derhaka), dan bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi orang yang mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya).”
(Al-Maidah 5:98)
Tarikh Dibaca: 12 Rabiulakhir 1445H/27 Oktober 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment