Gastrohub – Port Makan Sedap Di Bandar Baru Nilai

Oleh Mymuslimin.com

Bertempat di Bandar Baru Nilai, Gastrohub merupakan sebuah restoran yang dibina dalam bangunan sendiri dan menawarkan tiga ruang makan yang berbeza. Gastro dipendekkan dari terma gastronomi merujuk kepada kajian tentang hubungan antara makanan dan budaya serta seni menyediakan dan menghidangkan makanan tertentu, dan hub tentu sekali pusat aktiviti.

Dan dengan nama ini, Gastrohub menyediakan bukan sahaja beraneka jenis masakan tetapi juga pengalaman menikmati makanan dalam suasana yang berbeza. Restoran ini dikenali sebagai Kafe Kaca kerana di tengah-tengah restoran ini terdapat ruang makan berkaca berhawa dingin yang berlatarbelakangkan pepohon menghijau dan sebatang sungai kecil di tepi restoran. 

Gastrohub menawarkan menu yang luas bermula dengan senarai kopi istimewa dan minuman-minuman menarik yang lain,  beraneka dimsum, nasi lemak, lontong darat, sarapan à la  Barat, sarapan English, sarapan Perancis, berbagai jenis roti bakar, croissant, pizza, siri roti sourdough, makanan nogori, nasi ulam, kambing crispy dan sebagainya. Pendek kata, tengok menu sahaja sudah sepuluh minit sebelum membuat tempahan.

Lontong darat di Gastrohub cukup semua! Lontong, kuah kacang, sambal, rendang ayam dan soohoon goreng. Lontong darat merupakan makanan Johor dan Gastrohub berjaya menampilkannya dengan cemerlang. Bangsa Johor approved! 

Menginginkan kelainan, kami telah menempah Shakshuka daripada Sourdough Series. Shakshuka merupakan hidangan Timur Tengah dan Afrika Utara yang sering dimakan untuk sarapan pagi. Ia menampilkan sos yang diperbuat daripada lada benggala, kacang pinggang, tomato, paprika, jintan manis, cayenne dan harissa dan ditambah dengan telur carak (poached). Di Gastrohub, hidangan Shaksukanya disempurnakan dengan dua keping roti Sourdough yang dibakar rangup. Memang sedap, pedas, kaya rasanya dan memuaskan. 

Kami juga mencuba croissant berinti telur masin yang memang berbaloi-baloi nilainya. Croissant berlapis-lapis dan rangup di hujung dan inti telur masinnya meleleh sebaik sahaja dipotong. Begitu lazat inti ini sehingga tidak sanggup dibazirkan walaupun setitik. 

Gastrohub mempunyai ruang makan di luar, di dalam rumah kaca yang berhawa dingin dan ruang makan di luar berdekatan dengan sungai. Disediakan juga ruang di atas untuk acara peribadi dan restoran ini sesuai untuk sambutan hari-hari istimewa kerana suasananya yang cantik dan luas. 

GastroHub
Persiaran Korporat, Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai, Negeri Sembilan
Isnin-Jumaat – 12:30–10:30 pm
Sabtu & Ahad – 8:30 am–10:30 pm

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑