Tipu Daya Iblis Terhadap Orang Awam – Mempermainkan Azab Allah

Berkata Imam Al-Jauzi yang maksudnya:

“Antara muslihat terhadap orang awam adalah berasa bebas melakukan maksiat. Jikalau ditegah, mereka memberi alasan dengan perkataan orang zindik, ‘Aku tidak setuju dengan pembayaran secara tunai untuk sesuatu yang boleh dibayar secara hutang.’ Andai mereka memahami, tentu mereka akan tahu ini bukan pembayaran secara tunai, kerana ia adalah haram. Terdapat hukum yang harus sama ada untuk membayar secara tunai atau hutang perumpamaan mereka adalah seperti orang jahil yang sedang sakit demam lalu meminum madu. Jikalau dicela, maka dia akan berkata, ‘Syahwat itu pembayaran secara tunai, dan kesihatan itu pembayaran secara hutang.’ Di samping itu, andai mereka memahami hakikat iman, tentu mereka tahu bahawa apa yang tertangguh itu adalah janji yang janji yang benar dan tidak akan diingkari. Andai mereka mengetahui pekerjaan para pedagang yang di dalam benaknya selalu terlintas fikiran tentang banyaknya harta yang perlu diharapkan keuntungannya di malam hari, tentu mereka akan tahu bahawa apa yang telah ditinggalkan adalah sedikit dan apa yang mereka harapkan adalah banyak. Jikalau mereka membezakan antara apa yang dipentingkan dan apa yang diabaikan, tentu mereka akan tahu apa yang harus segera dilakukan jikalau mereka mendapat keuntungan secara terus-menerus, ataupun mereka akan terjerumus ke dalam penyesalan yang tiada henti. Di antara mereka berkata, Allah maha pemurah, pengampunan-Nya luas, dan berharap itu termasuk dalam agama.”

Syarah dan Tahqiq

Orang awam yang telah berjaya ditipu oleh Iblis adalah orang yang tidak berasa bersalah apabila melakukan maksiat. Maksud “Aku tidak akan tinggalkan peluang mendapat bayaran tunai (ganjaran segera di dunia) kerana ingin mendapatkan ganjaran yang tertangguh (di akhirat),” ialah mereka tidak akan tinggalkan nikmat yang ada di dunia semata-mata mahu menunggu nikmat di akhirat.

Mereka akan berasa rugi jikalau tidak merasai nikmat yang ada di dunia ini sebelum mereka mati. Sedangkan nikmat Allah SWT yang dijanjikan di akhirat nanti bagi orang-orang yang beriman adalah jauh berlipat kali ganda kenikmatannya jikalau hendak dibandingkan dengan nikmat yang ada di dunia ini. Tetapi mereka tidak tahu dan tidak yakin dengan janji Allah SWT. Jikalau mereka mengetahuinya, sudah pasti berpusu-pusu orang merebutnya.

Allah SWT tidak menampakkan nikmat ukhrawi (amalan atau pekerjaan yang dilakukan hanya semata-mata kerana Allah S.W.T dalam mengejar redhaNya serta mengharapkan balasan yang baik di akhirat kelak) kepada manusia di dunia. Hikmahnya adalah supaya orang yang benar-benar yakin dengan janjinya sahaja akan merebut peluang yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.

Ada juga orang awam yang tidak berasa berdosa melakukan maksiat kerana menganggap bahawa Allah SWT Maha Pengampun. Dia terus melakukan dosa dan menganggap bahawa masih ada lagi masa untuk bertaubat. Sampai masanya kelak, dia akan bertaubat. Tetapi yang dia tidak sedari adalah, adakah Allah SWT akan memberikan kepadanya masa untuk bertaubat? Benar, Allah SWT Maha Pengampun. Tetapi, yakinkah kita bahawa Allah SWT akan menerima taubat seseorang yang mempermainkan azabnya?

Taubat yang sebenarnya adalah menginsafi kesalahan yang telah dilakukan dan berjanji tidak mengulanginya lagi. Jikalau kesalahan yang sama diulang kembali, adakah itu yang dinamakan sebagai taubat?

Benar, sebagai seorang manusia biasa, kita tidak akan lari daripada melakukan dosa kepada Allah SWT. Namun, apabila terlanjur dalam melakukan dosa, bersegeralah memohon keampunan daripada Allah S.W.T. dan berusahalah untuk tidak mengulanginya kembali.

Sumber: Belitan Tipu Daya Iblis – Syarah Terpilih Kitab Talbis Iblis Ibnu Al-Jauzi, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑