Bolehkah Cukur Rambut Bayi Terlebih Dahulu Sebelum Melakukan Aqiqah?

Oleh Saiful Adlie untuk PMWP

Soalan

Adakah dikira sunat sekiranya mencukur rambut anak lelaki yang baru lahir terlebih dahulu sebelum melakukan aqiqah kerana tidak cukup wang untuk melakukan majlis aqiqah pada hari ke-7 kelahiran? 

Penjelasan

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga baginda SAW, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Mencukur rambut bayi merupakah salah satu perkara sunat yang digalakkan oleh Syarak. Ini berdasarkan hadith daripada Saidina Ali RA, katanya:

عَقَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْحَسَنِ بِشَاةٍ وَقَالَ: يَا فَاطِمَةُ احْلِقِى رَأْسَهُ وَتَصَدَّقِى بِزِنَةِ شَعْرِهِ فِضَّةً، قال: فَكَانَ وَزْنُهُ دِرْهَمًا أَوْ بَعْضَ دِرْهَمٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengaqiqahkan seekor kambing bagi al-Hasan lantas bersabda: “Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah berat rambut tersebut selepas dinilaikan dengan (timbangan) perak.” Ali berkata: “TImbangannya menyamai satu dirham atau setengah dirham.”

(Riwayat al-Tirmizi 1519)

Namun begitu, timbul persoalan berkenaan di antara mencukur rambut dengan aqiqah, yang manakah perlu didahulukan?

Bagi menjawab persoalan di atas, Imam Nawawi Rhm. dalam hal ini menyebut khilaf ulama Syafieyyah dalam hal ini,

وَهَلْ يُقَدَّمُ الْحَلْقُ عَلَى الذَّبْحِ فِيهِ وَجْهَانِ (أَصَحُّهُمَا) وَبِهِ قَطَعَ الْمُصَنِّفُ وَالْبَغَوِيُّ وَالْجُرْجَانِيُّ وَغَيْرُهُمْ يُسْتَحَبُّ كَوْنُ الْحَلْقِ بَعْدَ الذَّبْحِ وَفِي الْحَدِيثِ إشَارَةٌ إلَيْهِ (وَالثَّانِي) يُسْتَحَبُّ كَوْنُهُ قَبْلَ الذَّبْحِ وَبِهَذَا قَطَعَ الْمَحَامِلِيُّ فِي الْمُقْنِعِ وَرَجَّحَهُ الرُّويَانِيُّ وَنَقَلَهُ عَنْ نَصِّ الشَّافِعِيِّ وَاَللَّهُ أَعْلَمُ

Maksudnya:“Berkenaan isu adakah didahulukan cukur rambut berbanding sembelih (aqiqah)? (Jawapannya) Terdapat dua pandangan. [Pandangan paling tepat] adalah seperti yang dipegang oleh penulis, al-Baghawi, al-Jurjani, dan selain mereka bahawa disunatkan mencukur rambut setelah melakukan aqiqah (kerana) terdapat hadis yang menunjukkan isyarat (tertib) sebegitu. [Pandangan kedua menyebut] disunatkan mencukur rambut sebelum melakukan aqiqah. Pandangan ini dipegang oleh al-Mahamili dalam kitabnya al-Muqni’ dan dirajihkan oleh al-Ruyani sepertimana yang dinukilkan daripada ibarat Imam al-Syafie. Wallahua’lam.” (Rujuk: al-Majmu’ Syarh Muhazzab, 8/433)

Hadis yang dimaksudkan imam Nawawi di atas merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda,

كلُّ غُلامٍ رَهينةٌ بعَقيقةٍ تُذبَحُ عنه يومَ سابعِهِ، ويُحلَقُ رأسُهُ، ويُسَمَّى

Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Disembelih (aqiqah) untuknya pada hari yang ketujuh, dicukur rambutnya, dan diberikan nama.”

(Riwayat Abu Daud 1522)

Mengikut susunan hadis di atas, saranan untuk sembelihan akikah disebut terlebih dahulu sebelum disebutkan cukur rambut dan pemberian nama. Perkara ini dikuatkan lagi dengan pandangan yang diriwayatkan ‘Abd al-Razzaq dalam mushannafnya, daripada Ibn Juraij, katanya:

يُبْدَأُ بِالذَّبْحِ قَبْلَ الْحَلْقِ

Maksudnya: “Dimulakan dengan sembelihan (aqiqah), kemudian cukur rambut.”

(Rujuk: Mushannaf ‘Abd al-Razzaq, 4/332)

Berdasarkan perbahasan di atas, tertib yang paling terbaik adalah seperti yang ditunjukkan dalam hadis di atas iaitu mendahulukan majlis aqiqah terlebih dahulu sebelum melakukan cukur rambut dan selainnya pada hari ke-7 kelahiran.

Sekiranya tidak berkelapangan atau mempunyai kekangan-kekangan tertentu, maka boleh menangguhkan majlis aqiqah pada hari ke-14 atau hari ke-21. Sekiranya masih tidak berkelapangan juga, boleh melakukannya pada bila-bila waktu yang berkelapangan sebelum umur bayi menjengah akil baligh.

Namun begitu, sunnah-sunnah lain seperti mencukur rambut dan pemberian nama tetap dilakukan pada hari ke-7 kerana kesemuanya merupakan sunnah yang berbeza dan tidak terikat untuk melakukannya secara serentak.

Wallahua’lam.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑