Ummul Mukminin, Ummu Abdillah, Aisyah berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ؛ فَهُوَ رَدُّ
Maksudnya: “Sesiapa yang mengada-adakan yang baharu (bidaah) dalam urusan (agama) kami ini, amalan yang bukan bahagian daripadanya, dia tertolak.”
(Riwayat al-Bukhari no. 2697, Muslim no. 1718[17])
Dalam riwayat Imam Muslim yang lain disebutkan:
مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا؛ فَهُوَ رَدُّ
Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan suatu amal yang bukan berdasarkan perintah Kami, dia tertolak.”
(Riwayat Muslim 1718 [18])
Huraian
Hadis ini merupakan salah satu pedoman penting dalam agama Islam dan kalimah pendek yang penuh pengertian yang dikurniakan kepada Nabi SAW.
Hadis ini dengan tegas menolak setiap perkara bidaah dan setiap perkara (dalam urusan agama) yang direka dan diada-adakan. Sebahagian ahli usul fiqah menjadikan hadis ini sebagai dasar kaedah bahawa setiap yang terlarang dinyatakan sebagai hal yang merosakkan.
Islam ialah berdasarkan ittibak (mengikuti berdasarkan dalil) dan bukan ibtidak (mengada-adakan sesuatu tanpa dalil) dan Rasulullah SAW telah berusaha menjaganya daripada sikap yang berlebih-lebihan dan mengada-adakan.
Makna Bidaah
Bidaah ialah perbuatan-perbuatan yang dinilai ibadah tetapi tidak bersumber daripada ajaran Islam dan tidak memiliki landasan yang jelas. Setiap perbuatan ibadah yang tidak bersandar pada dalil syarii ditolak daripada pelakunya.
Islam ialah agama yang sempurna dan tidak ada kurangnya.
Hadis ini patut dihafal, disebarluaskan, dan digunakan sebagai bantahan terhadap kaum yang ingkar, kerana isinya mencakup semua hal. Adapun hal-hal yang tidak merupakan pokok agama sehingga tidak dilarang dalam sunah, maka tidak tercakup dalam larangan ini, seperti menulis al-Quran dalam mushaf walaupun Rasulullah SAW tidak pernah menulis al-Quran.
Begitu juga membukukan pendapat para ahli fiqah yang bertaraf mujtahid yang menerangkan alasan-alasan masalah furuk daripada pokoknya, iaitu sabda Rasulullah SAW.
Demikian juga mengarang kitab-kitab nahu, ilmu perkiraan faraid, dan sebagainya yang semuanya bersandar kepada sabda Rasulullah SAW dan perintahnya. Kesemua usaha ini tidaklah termasuk dalam ancaman hadis tersebut. Malah sebahagian ulama mengistilahkan ia sebagai bidaah hasanah (pembaharuan yang baik).
Pekerjaan yang berhubungan dengan kehidupan dunia seperti perniagaan, pertanian, ekonomi, perusahaan, teknologi dan sebagainya tidaklah termasuk dalam pengertian hadis ini.
Oleh itu, tidaklah dilarang mengadakan apa-apa cara atau peraturan baharu yang lebih sesuai dengan zaman kontemporari yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah selagi tidak ada keterangan daripada al-Quran dan hadis yang melarangnya.
Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria
Contoh bid’ah ialah mengatakan “Allah ada tangan tapi xsama dgn makhluk” dan menghukum semua perbuatan yg nabi xbuat sbg bid’ah
LikeLike