Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Integriti Pendukung Kekuatan Ummah

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

إِنَّا عَرَضْنَا ٱلْأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱلْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا ٱلْإِنسَـٰنُ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومًۭا جَهُولًۭا(٧٢)

Maksud: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

(Al-Ahzab 33:72)

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ(١٠٢)

Maksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” 

(Ali Imran 3:102)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua. 

Sempena Hari Integriti Nasional 2023 yang disambut pada 5 November setiap tahun, khatib akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Integriti Pendukung Kekuatan Ummah.” 

Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Integriti menurut Islam merujuk kepada satu daripada cabang-cabang iman. Perbincangan integriti dalam Islam kerap kali dikaitkan dengan konteks amanah dan itqan yakni bersungguh-sungguh dalam melakukan pekerjaan. Terdapat dua ciri-ciri orang beriman yang digambarkan oleh Allah SWT sebagaimana Firman-Nya dalam Surah al-Mukminun ayat 8: 

وَٱلَّذِينَ هُمْ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَٰعُونَ(٨)

Maksud: Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.” 

(Al-Mukminun 23:8)

Merujuk kepada maksud ayat tersebut, Islam mewajibkan umatnya untuk menjaga dan memelihara amanah dan janji yang diberikan dengan sebaik-baiknya sama ada antara seorang hamba dengan Allah SWT atau sesama manusia. Sebagai orang yang beriman, janganlah kita mengkhianati amanah dan janji kita terutama dengan Allah SWT, sama ada dengan melanggar larangan-Nya atau mengabaikan perintah-Nya. 

Begitu juga dalam konteks perhubungan sesama manusia, segala perkara yang diamanahkan dan janji yang dilafazkan mestilah dilaksanakan dengan sempurna sama ada dalam hubungan kekeluargaan, bermasyarakat dan bernegara. Di samping itu, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah Radiallahuanha bahawa Rasulullah SAW juga sangat menekankan sifat amanah dan itqan dalam bekerja sebagaimana sabdanya yang bermaksud: 

“Sesungguhnya Allah SWT mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu pekerjaan, dia melakukan dengan itqan (bersungguhsungguh).” 

(Riwayat al-Tabarani) 

Dari maksud Hadis ini juga, Islam menitikberatkan supaya umatnya sentiasa bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas dengan amanah, rajin dan memegang nilai kebaikan yang tinggi termasuk mengamalkan integriti pada setiap masa dan setiap kerja. 

Muslimin yang dikasihi Allah sekalian

Kisah dan contoh nilai integriti yakni amanah yang boleh kita teladani adalah melalui dari kisah Nabi Yusuf Alaihissalam. Baginda merupakan seorang Rasul yang terkenal dengan kemampuan untuk melakukan perancangan ekonomi dan kewangan negeri Mesir yang mana pada ketika itu, baginda menawarkan diri kepada Raja Mesir untuk menjawat jawatan bendahara negara kerana yakin dengan amanah dan kewibawaannya dalam menjalankan tugas tersebut. Ini jelas digambarkan dalam Al-Quran melalui Firman Allah SWT dalam Surah Yusuf, ayat 55:

قَالَ ٱجْعَلْنِى عَلَىٰ خَزَآئِنِ ٱلْأَرْضِ ۖ إِنِّى حَفِيظٌ عَلِيمٌۭ (٥٥)

“Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.”  

(Yusuf 12:55)

Apa yang kita dapat pelajari daripada kisah Nabi Yusuf Alaihissalam ini adalah baginda bersedia berkhidmat bukan kerana mengharapkan jawatan mahupun kedudukan, akan tetapi demi untuk menjaga kemaslahatan dan bagi memastikan pentadbiran negara dapat ditadbir dengan baik berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah serta Qudwah Hasanah. Baginda sentiasa menitikberatkan elemen amanah dan berilmu dalam mengurus serta menjaga khazanah negara. 

Pastinya ini merupakan satu daripada aspek penting yang perlu kita amati dalam konteks masyarakat, negara dan dunia pada hari ini. Sudah sewajarnya dengan contoh nilai terbaik yang ditunjukkan dalam Al-Quran melalui kisah-kisah para Rasul dan Nabi, nilai integriti seperti amanah dan adil sepatutnya ditanam dan diserap menjadi satu sikap yang sebati dalam diri kita semua. Sebagai umat Islam yang mempunyai ketertinggian kepada pengamalan nilai dan akhlak yang terpuji, sepatutnya ia lebih terserlah dalam bentuk perlakuan bukan sahaja kelembutan peribadi akan tetapi kemuliaan akhlak dari sudut kejujuran dan kebertanggungjawaban. 

Hadirin sekalian

Pembudayaan nilai integriti merupakan satu sifat terpuji yakni sifat mahmudah yang harus diterapkan dalam kehidupan seseorang insan seperti mana yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW. Baginda sentiasa mengamalkan dan menunjukkan contoh ikutan yang terbaik kepada umatnya seperti yang digambarkan oleh Allah SWT dalam Firman-Nya dalam Surah al-Ahzab ayat 21: 

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا (٢١)

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).

(Al-Ahzab 33:21)

Tanpa integriti seperti tidak beramanah dan tidak berlaku jujur serta sentiasa bergelumang dengan sifat mazmumah dalam diri seseorang itu, ianya akan menyebabkan kedudukannya terjejas di sisi Allah SWT malah akan mendapat kecelakaan di dunia dan di akhirat. 

Akibatnya sebagaimana diceritakan melalui suatu kisah yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas Radiallahuanhuma semasa zaman Baginda Nabi Muhammad SAW di mana selepas tamatnya Peperangan Khaibar, beberapa orang sahabat Baginda SAW telah berkata kepada sahabat yang telah gugur syahid “fulan ini telah syahid”, “fulan ini telah syahid” sehingga sampai kepada seorang lelaki dan mereka berkata “fulan ini telah syahid”. Tetapi Baginda Nabi Muhammad SAW kemudian bersabda yang maksudnya:

 “Sesekali tidak. Sesungguhnya aku melihatnya di dalam neraka kerana jubah yang dicurinya.”

(Riwayat Muslim) 

Walaupun hanya perlakuan tidak jujur dan tidak amanah, mengakibatkan seseorang itu tidak terlepas dari azab dan hukuman di atas perbuatannya itu. 

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah, 

Sambutan Hari Integriti Nasional yang disambut pada setiap 5 November saban tahun adalah bertujuan bagi memupuk kesedaran bukan sahaja dalam kalangan penjawat awam malah di setiap lapisan masyarakat mengenai keperluan dan kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni dan integriti secara berterusan. Oleh itu, sudah masanya nilai integriti menurut Islam diterapkan dalam kehidupan kita seharian agar menjadi pendukung kekuatan bagi setiap individu terutama dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Marilah kita bersama-sama meningkatkan dan membudayakan nilai integriti bagi membentuk semangat Malaysia yang mempunyai nilai-nilai ketamadunan yang tinggi. 

Hadirin sekalian, 

Mengakhiri khutbah pada hari ini, kita harus mengambil beberapa pengajaran dan intipati iaitu: 

1. Integriti, jujur dan kepatuhan adalah prinsip-prinsip syariat Islam yang diperintahkan oleh Allah SWT. 

2. Ingatlah, amanah itu sangat berat, maka peliharalah ia sebaik-baiknya. Jika khianat akan diazab dan diseksa dalam neraka. 

3. Umat Islam hendaklah berusaha menjadi insan yang mengamalkan akhlak mulia agar dapat meningkatkan nilai diri, keluarga, masyarakat dan negara menuju ke arah yang lebih diberkati serta diredai oleh Allah SWT. 

مَنْ عَمِلَ صَـٰلِحًۭا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌۭ فَلَنُحْيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةًۭ طَيِّبَةًۭ ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ (٩٧)

 “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”

(Al-Nahl 16:97)

Tarikh Dibaca: 19 Rabiulakhir 1445H/3 November 2023M
Disediakan oleh: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑