أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ(٦)
Maksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
(At-Tahrim 66:6)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Khatib mengajak sidang jemaah sekalian, marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dan keredaan-Nya di dunia dan akhirat. Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan berhenti daripada melakukan perkara yang lalai dan sia-sia seperti menggunakan telefon atau berbual-bual. Semoga segala amal ibadah yang kita lakukan diterima Allah SWT.
Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Keluarga Harmoni, Negara MADANI”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Di dalam Islam, permulaan sesebuah keluarga adalah melalui sebuah perkahwinan yang dituntut oleh syariat yang juga merupakan sunnah Rasulullah SAW. Melalui ikatan perkahwinan, nasab keturunan manusia dapat dipelihara, seterusnya melahirkan generasi umat manusia selaku khalifah Allah di muka bumi ini. Sudah menjadi kewajipan seseorang muslim membina keluarga yang bahagia dan bertakwa kepada Allah SWT bagi mendapat keberkatan di dunia dan akhirat.
Firman Allah SWT di dalam surah at-Tahrim, ayat 6 yang dibacakan di permulaan khutbah tadi yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
(At-Tahrim 66:6)
Dalam membincangkan pembinaan sesebuah negara, keluarga merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang berilmu dan bertamadun. Oleh itu, unit asas inilah yang menjamin kesinambungan dalam melahirkan generasi yang berkualiti seterusnya membina negara yang sejahtera.
Setiap unit keluarga itu ibarat sebuah bata yang tersusun bersama-sama batu-bata yang lain untuk menjadi sebuah bangunan yang besar, teguh dan megah berdiri. Perumpamaan ini selari dengan mafhum sebuah hadis yang diriwayatkan dalam al-Bukhari yang bermaksud,
“Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang bahagian-bahagiannya menguatkan antara satu sama lain.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Pada bulan November ini, kita akan menyambut Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan yang bertemakan “Keluarga Harmoni, Negara MADANI” yang mengutamakan penerapan elemen KASIH MADANI dan perpaduan negara. Ia membawa nilai-nilai kasih sayang dan harmoni supaya dapat membentuk masyarakat ke arah matlamat pembinaan negara Malaysia MADANI.
Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan ini merupakan acara tahunan yang telah dilaksanakan sejak tahun 1990. Kerajaan mengisytiharkan setiap 11 November sebagai Hari Keluarga Kebangsaan. Seterusnya, pada 25 Jun 2012, kerajaan telah mengisytiharkan bulan November sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan. Sambutan ini antara lain bertujuan menggembleng peranan dan komitmen semua pihak terhadap usaha dalam perpaduan negara bagi memupuk nilai-nilai murni selari dengan jajaran nilai teras Malaysia MADANI.
Justeru, pada tahun ini Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan akan memfokuskan kepada lima teras keluarga bahagia iaitu KASIH yang merangkumi Kasih Sayang, Akhlak, Sihat dan Selamat, Berilmu dan Harmoni.
Kasih sayang yang dituntut oleh Islam berpaksikan kepada keimanan kepada Allah SWT dan rukun Iman, serta dibuktikan melalui amal soleh. Hal ini bermaksud, kasih sayang kepada makhluk perlu bersandarkan kepada kasih sayang Allah SWT dan bukan mengikut tuntutan nafsu. Sifat kasih sayang merupakan fitrah semula jadi yang Allah SWT kurniakan dalam naluri insan. Naluri kasih sayang ini diterjemahkan dalam hubungan kekeluargaan di antara suami isteri, anak-anak, adik-beradik dan saudara-mara yang saling berkasih sayang.
Malah, dalam hubungan kemasyarakatan, kasih sayang sesama jiran dan sahabat handai pastinya menyemai sifat saling menghormati dan saling membantu antara satu sama lain. Pembentukan akhlak yang baik seperti hormat menghormati, tolong-menolong, jujur, amanah, bertanggungjawab dan adil haruslah menjadi amalan dalam keluarga. Ibu bapa yang bertanggungjawab perlu memberi bimbingan kepada anak-anak seperti mendidik anak-anak agar menghormati ahli keluarga yang lebih tua, sentiasa bersikap jujur sesama ahli keluarga, suka tolong menolong dan mengamalkan sifat-sifat mahmudah dalam institusi keluarga. Sesungguhnya Islam menyeru umatnya untuk sentiasa berbuat baik kepada ahli keluarga. Jadikanlah Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan dalam membina dan membentuk budi pekerti mulia. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 21:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا (٢١)
Bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
(Al-Ahzab 33:21)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Sihat dan selamat suatu yang dituntut dalam Islam. Rasulullah SAW semasa hayatnya sentiasa menunjukkan gaya hidup sihat. Hakikat ini membuktikan bahawa urusan menjaga kesihatan antara inti ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Dalam institusi kekeluargaan, Islam telah menggariskan hak-hak yang wajib dipatuhi oleh suami selaku ketua keluarga.
Seorang mukmin, tidak hanya bergantung kepada ibadahnya semata-mata, seperti berzikir, bersedekah dan sebagainya. Namun, seseorang mukmin itu juga seharusnya sentiasa berhati-hati terhadap perkara-perkara yang boleh memudaratkan dan mengancam keselamatan dirinya dan ahli keluarganya. Kita perlu berusaha sebaik mungkin untuk memastikan diri sendiri dan ahli keluarga melakukan amal kebaikan dan menjauhi sebarang perkara yang boleh mendatangkan keburukan.
Ilmu pengetahuan yang mendalam juga menjadi jaminan utama bagi pembangunan bangsa yang dihormati kerana melaluinya manusia akan mendapatkan kemuliaan, kehormatan, ketenangan dan kebahagiaan di dunia dan ganjaran di akhirat. Menuntut ilmu adalah suatu kewajipan bagi setiap muslim. Begitu juga dalam keluarga, ilmu mesti dijadikan asas dalam pembentukan keluarga yang bahagia.
Dalam institusi keluarga, ibu bapa perlu menjadi penggerak kepada tradisi ilmu dan amal. Ibu bapa perlu menjadi teladan kepada anak-anak tentang kepentingan ilmu dan beramal dengan apa yang dipelajari. Justeru, orang Islam yang berilmu haruslah bertindak sesuai dengan ilmunya dalam usaha meraih takwa kepada Allah SWT.
Setiap ahli keluarga bertanggungjawab untuk saling mewujudkan mahabbah dan mawaddah dalam keluarga. Inilah yang dapat menjamin keharmonian. Sikap bertoleransi, bertolak ansur dan saling berkomunikasi menjadi asas dalam perhubungan di antara ahli keluarga. Justeru, setiap ahli keluarga yang mendambakan keluarga harmoni perlu memahami dan memikul tanggungjawab dan peranan masing-masing.
Komunikasi dan interaksi yang harmoni di antara generasi dan komuniti dapat meningkatkan kesejahteraan, mempunyai objektif yang jelas untuk dicapai sama ada secara individu atau bersama, optimistik dan mempunyai keyakinan terhadap satu sama lain. Keharmonian sesebuah keluarga itu akan tercapai apabila semua ahli keluarga sama-sama berusaha mewujudkan persekitaran keluarga yang harmoni.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Sempena Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan pada tahun ini, mimbar menyeru sidang jemaah sekalian untuk sama-sama mengamalkan nilai KASIH MADANI dalam kehidupan kita dengan berlandaskan syariat Islam. Konsep negara MADANI memfokuskan untuk melahirkan dan mengukuhkan nilai-nilai individu dan masyarakat bagi mencapai kesejahteraan dan kemakmuran. Begitu juga dalam institusi kekeluargaan, sebagaimana pentingnya nilai insan itu seharusnya bermula dari rumah, begitulah jua pentingnya kesejahteraan perlu wujud dalam setiap unit keluarga. Semoga dengan itu, keharmonian keluarga akan terus terjalin dan institusi keluarga terus diperkukuh untuk mengatasi segala cabaran, khususnya dalam perpaduan masyarakat dan pembangunan negara.
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Keluarga merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang berilmu dan bertamadun yang menjamin kesinambungan dalam melahirkan generasi berkualiti bagi membina negara yang sejahtera.
Kedua: Hayati dan amalkan lima teras keluarga bahagia dalam elemen KASIH iaitu Kasih Sayang, Akhlak, Sihat dan Selamat, Berilmu dan Harmoni.
Ketiga: Jalankan peranan sebagai ahli keluarga yang bertanggungjawab sama ada ketua keluarga, anak dan saudara-mara yang dapat membina keluarga bahagia, mawaddah dan rahmah.
Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah Maryam, ayat 96:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ سَيَجْعَلُ لَهُمُ ٱلرَّحْمَـٰنُ وُدًّۭا (٩٦)
Bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.”
Tarikh Dibaca: 19 Rabiulakhir 1445H/3 November 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment