Dari Salamah bin Al-Akwa, ia berkata, “Kami pernah keluar di malam hari bersama Rasulullah menuju Khaibar. Saat di perjalanan, salah seorang dari anggota rombongan berkata kepada Amir, ‘Wahai Amir, tidak maukah engkau membacakan syair-syairmu kepada kami dalam waktu yang singkat ini?’ Amir adalah penyair ulung. Kemudian Amir mendekati rombongan dan berkata:
‘Demi Allah, kalaulah bukan kerana Allah, kami tidak memperoleh hidayah.
Kami tidak pernah bersedekah dan tidak pernah mengerjakan solat Kami, apabila ada kaum yang menzalimi kami,
dan jika mereka menginginkan fitnah, tentu kami menolaknya. Maka turunkanlah ketenangan atas kami
dan kukuhkanlah kaki kami ketika bertemu (musuh).’
Mendengar itu, Rasulullah SAW bersabda, ‘Semoga Tuhanmu merahmatimu.’ ‘Umar bin Al-Khaththab berkata, ‘Sudah tentu wahai Rasulullah, sekiranya engkau tidak melayan kami dengannya.’ Amir mati syahid di Perang Khaibar.
Setelah Rasulullah SAW sampai di Khaibar, Baginda SAW bersabda kepada para sahabatnya, “Berhentilah!” Kemudian beliau berdoa,”Ya Allah, penguasa langit dan segala keteduhannya, penguasa bumi dengan segala isinya, penguasa semua syaitan dengan segala penyesatannya, dan penguasa angin dengan segala tiupannya. Kami memohon kepada-Mu, kebaikan yang ada di pemukiman ini, kebaikan penduduknya, serta kebaikan yang ada di dalamnya. Kami berlindung kepada-Mu dari keburukannya, keburukan penduduknya, dan keburukan yang ada di dalamnya.”
Perang Khaibar berlaku kerana terdapatnya perancangan penduduk Yahudi Khaibar yang terdiri daripada Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan beberapa kabilah Yahudi yang lain untuk berpakat dengan kaum Yahudi lain termasuk Wadi Qurra, Taima’, Fadak dan Kabilah Arab Ghafatan bagi menyerang Madinah.
Pada awalnya, Nabi SAW mengutus Abu Bakar RA untuk berperang. Beliau pun berperang dengan gigih, kemudian kembali tanpa kemenangan. Dalam peristiwa itu, Mahmud bin Maslamah terbunuh di sisi Kubu Na’im oleh batu penggiling yang dilontarkan ke arahnya.
Kemudian, Rasulullah SAW mengutus Umar RA. Beliau pun berperang namun kembali tanpa kemenangan. Maka Rasulullah SAW bersabda, “Esok pagi, panji perang akan aku serahkan kepada seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya. Allah akan memberikan kemenangan melalui kedua tangannya, dan dia tidak akan pernah lari.” Lalu Rasulullah SAW memanggil Ali bin Abi Thalib yang ketika itu sedang mengalami sakit mata. Beliau lalu mengusap kedua matanya. Kemudian, beliau mara ke kota Khaibar.
Diriwayatkan dari Anas bin Malik, ia berkata, “Kami datang ke Khaibar pada pagi hari, di saat penduduknya keluar ke ladang-ladang mereka dengan membawa cangkul. Ketika mereka menyaksikan kedatangan Nabi SAW, mereka berkata, ‘Muhammad demi Allah, Muhammad datang hari Khamis.’ Rasulullah SAW bersabda, “Allahu akbar, binasalah Khaibar. Bila kami tiba di halaman suatu kaum, pagi harinya orang-orang yang diberi peringatan akan mengalami nasib buruk.” (HR. Imam An-Nasai (No. 3327)
Marhab si penguasa Kubu keluar dengan mengenakan topi perang yang berasal dari Yaman yang dihujungnya terdapat sebuah batu yang telah dilubangkan yang berbentuk seperti telur. Ia bersajak:
“Khaibar tahu bahawa aku adalah Marhab,
Penghunus senjata dan pahlawan terpuji,
jika singa-singa datang dalam keadaan marah.”
Ali RA maju dan berkata:
“Akulah yang dinamai oleh ibuku Haidarah (singa kecil)
Bak al-laits (singa) rimba yang menakutkan.
Aku sempurnakan kalian dengan sha’ sebanyak genggaman.”
Keduanya pun saling menyerang. Ali mendahului dengan menetaknya, maka terputuslah batu, penutup kepala, dan kepala Marhab. Setelah Marhab, Yasir saudara Marhab pula mengajak bertarung. Dia berkata, “Adakah yang mahu bertarung denganku?” Maka Zubair memenuhi cabarannya hingga keduanya bertarung dan Zubair berjaya membunuhnya.
Kubu musuh yang pertama kali ditakluki adalah Kubu Na’im, lalu disusul Kubu Al-Qamûsh. Dari penaklukan itu, Rasulullah SAW memperoleh beberapa tawanan, di antaranya adalah Shafiyyah binti Huyay bin Akhthab.
Diriwayatkan dari Ali RA, bahawa Rasulullah SAW melarang nikah Mut’ah dan memakan daging keldai jinak pada perang Khaibar. Ini adalah lafaz yang tercantum di dalam Ash-Shahihain.
Keesokan harinya orang-orang berjaya menakluki Kubu Ash-Shi’b. Tidak ada satu Kubu pun di Khaibar yang lebih banyak makanan dan samin (minyak sapi) daripadanya. Penaklukan kubu berakhir pada Kubu Al-Wathih dan As-Sulalim. Keduanya adalah kubu terakhir Khaibar yang ditakluki.
Al-Waqidi berkata, “Ketika orang-orang Yahudi berpindah dari Kubu Na’im dan Kubu Ash-Shi’b ke Kubu Az-Zubair, Rasulullah SAW mengepung mereka selama tiga hari. Lalu datanglah seorang lelaki dari Yahudi yang bernama Ghazzal, dan berkata, ‘Wahai Abul Qâsim, berilah aku jaminan keamanan dengan ganjaran yang aku tunjukkan kepadamu pada apa yang dapat merehatkanmu dari An-Nathah dan menghantarkanmu ke penduduk Asy-Syiq. Kerana penduduk Asy-Syiq telah binasa kerana teramat takut kepadamu?”
Al-Waqidi berkata, “Baginda SAW lalu memberikan jaminan keamanan untuk keluarga dan hartanya.” Orang Yahudi itu berkata, “Sekalipun engkau mengepung mereka sebulan lamanya, mereka tidak akan pernah mengendahkannya kerana mereka memiliki anak sungai di bawah tanah. Mereka keluar di malam hari untuk minum darinya, lalu pulang kembali ke kubu mereka.”
Mendapat maklumat itu, maka dengan segera Rasulullah SAW memerintahkan tenteranya untuk memutuskan anak sungai tersebut, sehingga akhirnya mereka terpaksa keluar dan berperang mati-matian. Lima belas orang dari pihak mereka yang terbunuh dan kubu tersebut berjaya ditakluki oleh Rasulullah SAW. Dan itulah Kubu terakhir di wilayah An-Nathath. Kemudian penduduknya pindah ke wilayah Asy-Syiq yang di dalamnya terdapat banyak kubu. Kubu yang paling depan adalah Kubu Ubay.
Rasulullah SAW berdiri di atas kubu yang dinamakan Sumwan. Di atas kubu itu, para pemilik kubu melancarkan serangan dengan sengitnya. Lantas keluarlah salah seorang dari mereka yang bernama Azwal dan mengajak bertarung. Cabaran itu dipenuhi oleh Al-Habbab bin Al-Mundzir, dan dia berjaya memotong pertengahan lengan kanan Yahudi itu. Kemudian orang Yahudi itu melarikan diri, namun Al-Habbab terus mengejarnya dan kembali berhasil memotong urat ketingnya. Selanjutnya, kaum Muslimin masuk ke dalam kubu tersebut dan Abu Dujanah ada di barisan terdepan. Sementara orang-orang Yahudi yang berada di dalam kubu lari kucar-kacir hingga ke kubu An-Nizar yang berada di wilayah Asy-Syiq.
Rasulullah SAW mengambil segenggam batu-batu kecil, lalu Baginda SAW melemparkannya ke kubu sehingga mereka tergoncang kerananya dan kubunya tersebut terbenam ke dalam bumi. Kaum Muslimin mengalahkan mereka hanya dengan satu tangan. Kemudian, Rasulullah SAW beralih ke Al-Kutaibah, Al-Wathih, dan As-Salalim. Di sana mereka mempertahankan diri dengan sebaik-baik perlindungan. Orang-orang Yahudi yang sudah kalah (dari wilayah An-Nathah dan Asy-Syiq) ikut bergabung bersama mereka di Al-Qamush. Kubu Al-Qamush adalah kubu yang kukuh sehinggakan Rasulullah menyiapkan manjaniq untuk mereka.
Ketika orang-orang Yahudi itu yakin yang mereka sudah tewas, mereka turun dari kubu itu dan menawarkan jalan damai kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda, “Aku juga membebaskan kalian dari perlindungan Allah dan Rasul-Nya jika kalian menyembunyikan sesuatu pun.” Mereka menyetujui perundingan itu, namun mereka menyembunyikan beg-beg kulit yang mengandungi pelbagai macam perhiasan yang banyak, dengan oleh itu mereka tidak lagi memiliki lagi perjanjian dengan Rasulullah. Maka, Ibnu Abi Al-Huqaiq beserta beberapa orang dari keluarganya dibunuh disebabkan mereka melanggar perjanjian yang telah disepakati.
Sumber: Mukhtashar al-Bidayah wa an-Nihayah, Al-Hafizh Ibnu Katsir
Leave a comment