Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Memelihara Kesucian Al-Quran Tanggungjawab Bersama 

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ ٱلْكِتَـٰبَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُۥ عِوَجَاۜ(١)

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ(١٠٢)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian, 

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua. 

Khutbah pada hari ini membicarakan tentang keagungan al-Quran yang bertajuk “Memelihara Kesucian Al-Quran Tanggungjawab Bersama.” 

Hadirin Jumaat sekalian, 

Al-Quran ialah kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi kita Muhammad SAW dalam bahasa Arab, menerusi perantaraan Malaikat Jibril AS, disampaikan kepada kita secara mutawatir, dimulai dengan surah al-Fatihah, diakhiri dengan surah al-Nas dan membacanya dikira suatu ibadat. Allah SWT menurunkan al-Quran untuk menjadi panduan hidup manusia sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 2: 

ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًۭى لِّلْمُتَّقِينَ(٢)

Maksud: “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.” 

(Al-Baqarah 2:2)

Kitab al-Quran juga menerangkan kebesaran Allah SWT, mengandungi perundangan kehidupan dan merupakan mukjizat sepanjang zaman. Sesungguhnya penurunan al-Quran adalah anugerah Allah SWT kepada kita dan semestinya kita perlu bersyukur ke hadrat-Nya sebagaimana firman-Nya dalam ayat 1 dan 2 surah al-Kahfi: 

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ ٱلْكِتَـٰبَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُۥ عِوَجَاۜ(١)

 قَيِّمًۭا لِّيُنذِرَ بَأْسًۭا شَدِيدًۭا مِّن لَّدُنْهُ وَيُبَشِّرَ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا حَسَنًۭا(٢)

 “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci al-Quran dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong). (Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.” 

(Al-Kahfi 18: 1-2)

Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT, 

Satu keistimewaan al-Quran yang berlainan dengan kitab samawi yang lain ialah nasnya dipelihara oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا ٱلذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَـٰفِظُونَ(٩)

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Al-Hijr 15:9)

Sesungguhnya wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sentiasa dijaga dengan baik. Ketelitian menulis nas al-Quran dengan tepat sudah bermula sejak zaman Baginda lagi. Setiap kali menerima wahyu, Baginda akan mengarahkan ia ditulis oleh para penulis wahyu dalam kalangan para sahabat Radiallahuanhum, antaranya Zaid bin Thabit Radiallahuanhu. 

Dalam satu riwayat disebutkan bahawa Zaid bin Thabit berkata yang bermaksud:

“Aku pernah menulis wahyu di sisi Rasulullah SAW dan Baginda membaca kepadaku. Apabila aku selesai menulis, Baginda bersabda: “Bacalah kepadaku apa yang engkau tulis.” Lalu aku membacanya. Jika terdapat kesalahan atau kalimah yang tidak ditulis, Baginda akan memperbetulkan. Kemudian aku bawa keluar wahyu tersebut untuk dibaca kepada manusia.”

(Riwayat al-Tabarani)

Muslimin yang dikasihi sekalian

Pengumpulan al-Quran kali pertama berlaku pada zaman Abu Bakr alSiddiq Radiallahuanhu iaitu selepas peperangan al-Yamamah menentang golongan murtad. Dalam peperangan tersebut, ramai penghafaz al-Quran gugur syahid. Melihat perkara ini, Umar bin al-Khattab Radiallahuanhu mencadangkan kepada Abu Bakr al-Siddiq Radiallahuanhu untuk mengumpulkan al-Quran. Setelah dipersetujui maka tugas mengumpul dan menulis al-Quran diberi kepada dua orang sahabat iaitu Umar bin al-Khattab Radiallahuanhu dan Zaid bin Thabit Radiallahuanhu. Menurut Imam alSayuti, Zaid bin Thabit Radiallahuanhu tidak akan menerima ayat al-Quran yang ditunjukkan kepadanya kecuali dibawakan dua orang saksi bahawa ayat tersebut pernah ditulis di hadapan Rasulullah SAW dan bukan ditulis sekadar ingatan semata-mata. 

Semasa pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan Radiallahuanhu, berlaku perselisihan bacaan al-Quran dalam kalangan umat Islam. Setiap mereka mendakwa bahawa bacaan al-Quran merekalah yang betul dan bacaan lain adalah salah. Justeru, satu lajnah telah dibentuk untuk menyalin Mushaf. Lajnah tersebut dianggotai oleh Zaid bin Thabit, Abdullah bin alZubair, Said bin al-‘As dan Abdul Rahman bin Harith. Mereka telah menyalin al-Quran ke beberapa mushaf seterusnya dihantar ke kota-kota Islam bersama-sama dengan seorang guru. 

Ini bertujuan agar umat Islam bersatupadu dan tidak berpecah-belah dengan sebab bacaan al-Quran. Penulisan mushaf selepas itu melalui proses yang sama iaitu ditulis dan disemak dengan penuh teliti demi memastikan semua ayat al-Quran adalah sahih dan tepat. 

Muslimin sekalian, 

Di Malaysia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah ditugaskan untuk melaksanakan penguatkuasaan dan kawalan berkaitan dengan teks dan bahan al-Quran menerusi Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Akta 326). Menerusi Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks Al-Quran (Lajnah Tasheh Al-Quran) yang dianggotai 35 orang dalam kalangan para penghafaz al-Quran dan berkemahiran tinggi dalam penulisan al-Quran, telah berperanan memastikan ketepatan setiap ayat al-Quran sebelum dibenarkan ia dicetak. 

Ketelitian lajnah dalam menyemak deraf cetakan al-Quran adalah melibatkan beberapa perkara penting iaitu mesti menepati Rasm Uthmani aliran Abu Daud Sulaiman Bin Najah dan Abu Amru al-Dani, dan juga mesti berteraskan mushaf yang diterbitkan di Madinah al-Munawwarah dan yang diterbit di Universiti al-Azhar, Mesir. Hanya deraf yang menepati garis panduan yang telah ditetapkan akan dibawa kepada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran bagi tujuan mendapatkan kelulusan cetak. 

Hadirin yang dikasihi sekalian, 

Dari aspek penguatkuasaan, pihak KDN di negeri-negeri akan menjalankan pemantauan berkala di premis-premis perniagaan, penaziran berjadual di syarikat penerbitan dan pencetakan serta pemeriksaan bersepadu berdasarkan aduan di mana-mana premis. Oleh sebab itu, dengan adanya penguatkuasaan dan kawalan, mushaf yang tersebar di negara ini adalah terpelihara daripada kesalahan dan penyelewengan. 

Tanggungjawab memelihara ketepatan cetakan mushaf al-Quran di Malaysia memerlukan kerjasama bersepadu antara agensi kerajaan dengan orang ramai. Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, penyelewengan, dan pemalsuan maka orang ramai hendaklah memastikan setiap mushaf mempunyai cop kelulusan KDN dan pelekat hologram KDN sebagai bukti keabsahan cetakan mengikut kelulusan yang diputuskan oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran KDN. Jika didapati sebaliknya maka bolehlah mengemukakan aduan ke pihak KDN negeri bagi tujuan siasatan, pemeriksaan dan penguatkuasaan. 

Muslimin hadirin Jumaat sekalian

Akhir sekali, marilah kita sama-sama menghayati pengajaran khutbah seperti berikut: 

1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa Allah SWT akan memelihara al-Quran. 

2. Umat Islam yang ragu tentang cetakan al-Quran hendaklah merujuk kepada pihak berkuasa agama dan Lajnah Tashih al-Quran, Kementerian Dalam Negeri. 

3. Umat Islam wajib memelihara kesucian al-Quran. 

4. Umat Islam hendaklah mempelajari al-Quran, memahami dan mengamalkan isi kandungannya supaya umat Islam hidup bersatu padu dan menolak perpecahan.

قُلِ ٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثُوا۟ ۖ لَهُۥ غَيْبُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ أَبْصِرْ بِهِۦ وَأَسْمِعْ ۚ مَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِىٍّۢ وَلَا يُشْرِكُ فِى حُكْمِهِۦٓ أَحَدًۭا(٢٦)

“Katakanlah (wahai Muhammad): Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagi-Nyalah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatan-Nya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripada-Nya dan Dia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukum-Nya.”

(Al-Kahfi 18:26)

Tarikh Dibaca: 10 November 2023M/ 26 Rabi’ul Akhir 1445H
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑