أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَٱلَّذِينَ هُمْ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَٰعُونَ (٨)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan dengan berusaha melaksanakan perintah-Nya dan mengikis perbuatan mungkar yang boleh mengundang kemurkaan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keredaan Allah SWT dalam menjalani kehidupan di dunia dan memperoleh rahmat-Nya di akhirat kelak. Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan berhenti daripada melakukan perkara yang lalai dan sia-sia seperti menggunakan telefon atau berbual-bual. Semoga segala amal ibadah yang kita lakukan diterima Allah SWT.
Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Integriti Cerminan Mukmin”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Sebagai khalifah di atas muka bumi, manusia perlu mengurus dunia ini dengan sebaik-baiknya mengikut kehendak Allah SWT. Bagi mencapai maksud tersebut, manusia harus memiliki kelayakan dan kemahiran yang dihiasi dengan sikap integriti. Integriti bermaksud kejujuran, ketulusan dan bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan. Ia difahami sebagai
amalan yang berpegang teguh kepada prinsip-prinsip etika dan nilai-nilai luhur seperti jujur, menjaga amanah serta menunaikan janji. Renungi firman Allah SWT tentang mereka yang memperolehi kejayaan, menerusi Surah Al-Mukminun, ayat 8 sebagaimana yang telah dibacakan tadi yang bermaksud:
“Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.”
(Al-Mukminun 23:8)
Jika diamati, jelas kepada kita bahawa integriti adalah petunjuk ketakwaan insan. Takwa bukan sekadar melakukan kebaikan dan meninggalkan segala larangan Allah SWT, tetapi takwa itu termasuklah memiliki kesedaran tentang konsep ketuhanan yang tinggi bahawa Allah SWT sentiasa memerhati kita sepanjang masa sehingga kita tidak berani untuk lalai apatah lagi melakukan maksiat terhadapnya. Apabila takwa mekar di jiwa, maka integriti pasti akan digenggam dan dipelihara.
Sebagaimana yang diterangkan dalam erti ihsan iaitu seseorang itu beribadah dengan menyedari bahawa dirinya berhadapan dengan Allah SWT yang sentiasa melihat segala amal perbuatannya.
Islam sebagai agama rahmat amat menekankan soal integriti dalam kehidupan seorang manusia. Ia terbentuk melalui sifat jujur, bersungguh-sungguh dan kebolehpercayaan dalam melaksanakan sesuatu tanpa mengambil kesempatan untuk kepentingan diri.
Seseorang yang menjalankan tanggungjawab yang diberikan ke atasnya dengan baik boleh dianggap sebagai seorang yang penuh berintegriti dan dia mampu mendatangkan kecemerlangan terhadap tadbir urus sesebuah organisasi.
Selain itu, integriti juga dikaitkan dengan keikhlasan. Apabila seseorang individu mempunyai keikhlasan dalam menunaikan amanahnya maka dia dapat menghindari dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik yang boleh menjejaskan kepercayaan ke atas dirinya.
Konsep integriti juga wajar dipupuk bersama nilai Qana’ah. Apabila merasakan kecukupan dalam imbuhan atau gaji, tidak timbullah sifat tamak dan khianat semata-mata untuk meraih lebih banyak pendapatan biarpun dengan jalan yang dilarang oleh Allah SWT.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Di dalam Islam, konsep intergriti ini boleh diungkapkan juga dengan sifat amanah dan itqan (bersungguh-sungguh). Rasulullah SAW juga sangat menekankan sifat amanah dan itqan dalam bekerja. Kedua-dua sifat tersebut ialah sifat yang disukai dan dicintai oleh Allah SWT. Apabila nilai-nilai ini diterapkan dan ditanamkan dalam jiwa para pekerja, sudah tentu sesebuah organisasi itu mampu untuk menghasilkan perkhidmatan yang efisien dan produk yang berkualiti, serta mengoptimumkan daya saing mereka dalam apa jua yang akan mereka hasilkan.
Sebaliknya, sifat-sifat negatif seperti khianat, tidak amanah, memberi atau menerima rasuah, suka membuang masa, mencuri tulang dan seumpamanya pula akan memberi kesan dan menjejaskan kredibiliti sesebuah organisasi. Ini kerana apabila sesebuah organisasi terpalit dengan masalah integriti seperti ini, sudah tentu nilai kepercayaan dan rasa hormat daripada masyarakat akan luntur, lenyap dan hilang akhirnya.
Sifat-sifat ini dicirikan oleh Rasulullah SAW sebagai sifat golongan munafik. Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu dimana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.”
Ketiadaan sifat integriti dan amanah bukan sahaja boleh mencalarkan peribadi bahkan juga akan memburukkan dan merosakkan prestasi serta nama baik sesebuah organisasi dan negara.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Masalah keruntuhan integriti tidak wajar dipandang ringan. Cabaran integriti tidak hanya terfokus kepada isu rasuah sahaja, malah ia turut merujuk kepada amalan kerja yang tidak amanah, tidak bersungguh-sungguh, melanggar peraturan dan etika kerja dan sebagainya.
Sesungguhnya niat amat penting dalam menilai setiap perbuatan dan menentukan tujuan amalan, selain dapat membezakan di antara amal ibadah dan adat. Justeru, sebagai pekerja muslim, kita perlu meletakkan niat semata-mata kerana Allah SWT dalam melaksanakan amanah dan kuasa
yang dipertanggungjawabkan. Kesannnya, mereka yang memperbaharui niat akan mempunyai kesedaran dan sentiasa berwaspada dengan peraturan dan hukum hakam Allah SWT.
Sambutan Hari Integriti Nasional yang disambut pada setiap 5 November saban tahun adalah bertujuan bagi memupuk kesedaran kepada setiap lapisan masyarakat mengenai keperluan dan kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni dan integriti secara konsisten yang akhirnya membina suatu budaya dalam masyarakat yang berintegriti.
Bersempena Bulan Integriti Nasional 2023, Institut Integriti Malaysia (IIM) akan melaksanakan program-program kesedaran di samping meningkatkan dan memperkasakan pembudayaan integriti dan tata kelola negara buat seluruh rakyat Malaysia. Semoga ia dapat melahirkan generasi yang terbaik seterusnya membentuk negara harmoni.
Oleh yang demikian, usaha-usaha memperkukuhkan integriti dalam tadbir urus yang terbaik memerlukan kepada penerapan nilai-nilai Islam daripada semua pihak dalam perkhidmatan awam mahupun swasta iaitu pegawai, kakitangan dan organisasi itu sendiri dengan mengikuti segala peraturan serta amalan-amalan murni. Justeru, jadilah pekerja yang bertakwa dalam apa jua bidang yang secara langsung ia boleh meningkatkan integriti. Semoga kita dapat meraih keberkatan dalam mencari rezeki.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Pengamalan, penghayatan dan pembudayaan nilai integriti sejajar dengan nilai akhlak dalam Islam dan ia membuktikan ketakwaan seseorang terhadap Allah SWT.
Kedua: Amanah itu sangat berat, maka pikullah sebaik-baiknya dan janji itu mudah, tetapi jangan mempermudah-mudahkannya.
Ketiga: Perbetulkan niat bekerja kerana Allah dan tingkatkan penghayatan nilai takwa di dalam diri agar setiap amanah yang diberikan kita dapat melaksanakannya dengan baik serta mematuhi peraturan dan hukum hakam Islam.
Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah an-Nahl, ayat 97:
مَنْ عَمِلَ صَـٰلِحًۭا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌۭ فَلَنُحْيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةًۭ طَيِّبَةًۭ ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
(٩٧)
Bermaksud: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”
(An-Nahl 16:97)
Tarikh Dibaca: 26 Rabiulakhir 1445H/10 November 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment