Peringatan Al-Quran

Tafsir Ringkas Surah Al-Ra’d 13: Ayat 12-13

Allah-lah yang menundukkan kilat, iaitu kilasan cahaya terang di sela-sela awan mendung, disebabkan adanya dua awan yang berbeza muatan elektriknya saling menghampiri. Allah SWT memperlihatkan kilat kepada manusia untuk mencetuskan ketakutan dan kekhuatiran. 

Ketika melihat kilat, seorang musafir dan petani yang sedang mengumpul biji-bijian hasil tanamannya ke dalam bakulnya merasa gusar. Ketika melihat kilat, setiap orang risau dan takut kepada akibat yang mampu ditimbulkannya seperti menjadikan manusia buta penglihatan atau mendatangkan banjir. Kilat juga membangkitkan harapan, iaitu mengharapkan manfaat air hujan oleh orang yang memerlukannya untuk mengairi sawah dan pokok mereka. Juga, air hujan boleh membersihkan udara dari debu, asap dan kekotoran. 

Manusia dibahagikan kepada dua kumpulan dalam bertindak balas terhadap fenomena alam. Pertama, kelompok yang gembira, senang, dan berharap, kerana fenomena itu membawa kebaikan baginya. Kedua, kelompok yang pesimis, mengeluh, tidak senang, dan sedih kerana bagi dirinya fenomena itu membawa keburukan atau mudharat bagi dirinya.

Allah SWT yang menghadirkan awan mendung yang berat dan penuh oleh muatan air hujan. Kerana banyaknya isipadu air yang termuat di dalamnya sehingga awan mendung itu berat dan dekat ke bumi. Mujahid menuturkan, as-Sahaab ats-Tsiqaal maksudnya adalah awan mendung yang memuatkan air hujan.

Sesungguhnya guruh dengan bahasa keadaan, bukan dengan bahasa bertasbih, menyucikan Allah SWT dari sekutu dan kelemahan, menyatakan ketaatannya kepada-Nya, dan ketundukannya kepada kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya.

Hal ini sebagaimana firman Allah SWT,

“Dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka.”

(Al-Isra` 17:44)

Malaikat bertasbih menyucikan Tuhan mereka dari memiliki isteri dan anak, kerena kebesaran dan keagungan-Nya.

Allah SWT melepaskan kilat sebagai malapetaka yang Dia gunakan untuk menghukum siapa saja yang Dia kehendaki. Dari itu, banyak kes disambar petir berlaku di akhir zaman. Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a., bahawasanya Rasulullah SAW bersabda,

“Halilintar banyak terjadi ketika hari Kiamat sudah semakin dekat, hingga seseorang mendatangi kaum dan bertanya, siapakah yang mati tersambar halilintar hari ini?’ Lalu mereka berkata, “Si Fulan, Si Fulan dan Si Fulan.”

Masing-masing dari kilat dan guruh adakalanya petanda kebaikan atau keburukan. Dari itu, Nabi Muhammad SAW memerintahkan kita untuk membaca doa ketika melihat kilat dan mendengar guruh. Bukhari dan Ahmad meriwayatkan dari Salim dari ayahnya, ia berkata,

“Bahawasanya Rasulullah SAW apabila mendengar suara guruh dan halilintar, beliau berdoa, ‘Ya Allah, janganlah Engkau membunuh kami dengan murka-Mu, janganlah Engkau binasakan kami dengan adzab-Mu, dan berilah kami keampunan sebelum itu.”

Abban meriwayatkan dari Anas r.a., ia berkata, “Rasulullah saw. bersabda,

“Halilintar tidak menyambar orang yang berzikir kepada Allah SWT.”

Abu Hurairah r.a. berkata,

“Rasulullah SAW jika mendengar guruh, beliau membaca, Mahasuci Zat Yang guruh bertasbih dengan memuji-Nya, demikian pula malaikat kerana takut kepada-Nya, dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Jika ada orang yang tersambar halilintar (setelah membaca ini), aku yang menanggung diyatnya.”

Meskipun bukti bukti petunjuk kuasa Allah SWT dan uluuhiyyah-Nya ada, orang-orang kafir tetap saja membantah dan meragukan keagungan Allah SWT. Tetap saja membantah dan meragukan bahawasanya tiada Tuhan selain Dia. Mujahid menuturkan, ada seorang Yahudi membantah Nabi Muhammad SAW dan bertanya kepada beliau tentang Allah SWT, dari apakah Dia?

Allah SWT adalah Mahakuat lagi sangat keras hukuman dan pembalasan-Nya. Kata, al-Mumaahalah bererti sangat kuat rencana dan tipu helah-Nya untuk membalas musuh-musuh-Nya serta menimpakan adzab atas mereka tanpa mereka sedari. Dikatakan, tamahhala li kadzaa, berupaya membuat dan menggunakan tipu helah sedemikian rupa.

Allah SWT kuasa menurunkan adzab dari atas kamu dan dari bawah kamu,

“Maka perhatikanlah bagaimana akibat dari tipu daya mereka, bahawa Kami membinasakan mereka dan kaum mereka semuanya.”

(An-Naml 27: 51)

“Dan begitulah seksa Tuhanmu apabila Dia menyeksa (penduduk) negeri-negeri yang berbuat zalim. Sungguh, seksa-Nya sangat pedih, sangat berat.”

(Hud 11:102)

Sumber: Tafsir Al-Munir, Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili Jilid 7

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑