Al-Hafizh Abu’l Qasim Ibnu Asakir berkata, “Ia adalah ‘Uzair bin Haiwah.”
Ishaq bin Bisyr berkata, ‘Uzair adalah seorang hamba Allah yang soleh lagi bijaksana. Pada suatu hari, beliau keluar ke ladang seperti kebiasaannya. Di dalam perjalanan, beliau berhenti di sebuah bangunan yang telah musnah di waktu tengah hari tatkala panas mula terik. Lalu beliau memasuki bangunan tersebut dengan keldainya. Kemudian beliau turun dari keldainya sambil membawa sebuah bakul berisi buah ara dan sebakul lagi yang penuh dengan buah anggur, dan beliau berteduh di bawah runtuhan bangunan tersebut.
Beliau mengeluarkan mangkuk besar yang cetek dan memerah anggur ke dalam mangkuk tersebut. Dikeluarkannya sepotong roti kering dan dicelupkan roti itu ke dalam jus anggur tadi agar roti itu lembut dan boleh dimakan. Setelah mengisi perut, beliau pun berbaring terlentang sambil melihat keadaan bangunan dan kawasan sekelilingnya; dinding dan bumbung bangunan itu telah runtuh dan penghuninya telah pun terkorban.
Kemudian matanya tertumpu kepada tulang belulang yang telah reput. Dia berkata-kata dengan rasa takjub, “Bagaimana Allah dapat menghidupkan kembali tulang-belulang itu sesudah semuanya dimusnahkan?!“
Lalu Allah SWT mengutus Malaikat Maut untuk mencabut ruhnya dan Allah SWT mematikan ‘Uzair selama seratus tahun. Setelah seratus tahun berlalu, datanglah seorang malaikat dan meniupkan ruhnya kembali ke dalam tubuh beliau, lalu Allah SWT menghidupkan dia semula.
Malaikat itu kemudian bertanyakan kepadanya, “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?” Ia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”. (Al-Baqarah 2:259)
Beliau memberikan jawapan itu kerana sebelum dia dimatikan, dia tertidur pada waktu tengah hari dan kemudian dibangkitkan semula pada waktu petang hari ketika matahari belum tenggelam. Malaikat itu berkata kepadanya, “Tapi engkau telah tinggal di sini selama seratus tahun.”
Makanannya belum berubah, begitu juga dengan buah ara dan anggurnya. Tetapi, keldainya sudah hancur, dan yang tinggal hanyalah tulang belulang. Kemudian malaikat itu memanggil tulang-belulang keldai tersebut, lalu mereka pun menjawab. Seterusnya, tulang-belulang itu dibalut dengan urat-urat nadi dan saraf, lalu dibungkus pula dengan daging serta ditumbuhkan padanya kulit dan rambut, lalu malaikat meniupkan ruh kepada keldai tersebut. Dengan serta-merta keldai itu berdiri menegakkan kepalanya dan mula merengih.
Kitab Taurat terputus kerana tiada siapa yang menghafalnya dan kitab itu telah dibakar semuanya di zaman Raja Bukhtunasar II (Nebuchadnezzar II).
Apabila ‘Uzair dihidupkan semula, beliau kemudian menulis semula kitab Taurat berdasarkan hafalannya. Orang-orang Bani Israil berkata, “Musa tidak sanggup mendatangkan Taurat kepada kami melainkan apa yang tertulis di dalam kitab, sedangkan ‘Uzair sanggup mendatangkan Taurat kepada kita tanpa tulisan.” Maka berkatalah sekelompok dari mereka, “Uzair adalah anak Allah” dan ini telah menyebabkan kemurkaan Allah SWT.
Allah SWT berfirman dalam surah A-Taubah:
“Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?
(At-Taubah 9:30)
Berikut ialah ayat Al-Quran yang meriwayatkan tentang kisah Uzair. Allah SWT berfirman yang maksudnya:
“Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? ” Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?” Ia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”. Allah berfirman:” (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “. Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.
(Al-Baqarah 2:259)
Uzair juga dikenali sebagai Ezra oleh Yahudi dan Kristian.
Sumber: Ringkasan Mukhtashar al-Bidayah wa an-Nihayah
Leave a comment