Seluruh dunia ini pernah dikuasai oleh dua orang raja dari kalangan orang beriman dan dua orang dari kalangan orang kafir iaitu Nabi Sulaiman AS dan Dzulqarnain (ذُو ٱلْقَرْنَيْن) serta Raja Namrud (Nimrod) dan Raja Bukhtanashr (Nebuchadnezzar).
Nama ‘ذُو الْقَرْنَيْن’ terdiri daripada ‘ذُو’ dan ‘القَرْنَيْن’ di mana Dzu bermaksud (orang) yang mempunyai, manakala al-qarnain bermaksud tanduk. Baginda digelarkan dengan Dzul Qarnain (Yang Menjelajah Dua Tanduk Matahari iaitu garisan bulatan matahari di permulaan terbit yang kelihatan seakan-akan tanduk), kerana beliau telah mengembara hingga sampai ke kawasan dua tanduk matahari.
Kisah Raja Dzul Qarnain ini diceritakan di dalam Al-Quran sebagai seorang pemerintah yang gemar mengembara, seorang sosok yang kuat, bijaksana, dan selalu menyeru kepada kebaikan. Menurut Ibn Kathir, Allah SWT memberikan kepada Dzul Qarnain kerajaan yang besar dan segala sesuatu yang dimiliki oleh seorang raja seperti kekuasaan, tentera, peralatan perang dan kelengkapan yang mencukupi. Dengannya, beliau dapat menguasai dunia sama ada di bahagian timur mahupun barat. Beliau berjaya menakluk pelbagai negeri dan menundukkan pemerintah lain. Allah SWT telah menyebutkan Dzul Qarnain ini dan memujinya dengan sifat adil.
Beliau hidup sezaman dengan nabi Ibrahim dan dia pernah bertemu dengan nabi Ibrahim di Palestin dan di Baitullah, Makkah al-Mukarramah. (Lihat Zu al-Qarnain oleh Muhammad Khair Ramadhan Yusuf, hlm. 91)
Dzul Qarnain tidak memerangi suatu kaum, melainkan sebelumnya ia mengajak mereka berdialog dengan bahasa mereka sendiri. Beliau mengembara bersama rombongannya sehingga sampai ke tempat terbenam matahari dalam pandangannya. Khidir berada di barisan terdepan rombongan tersebut. Kemudian, Dzul Qarnain melawat ke arah terbenam matahari di arah timur, dan di sana ia mendapati matahari menyinari segolongan kaum yang tidak memiliki rumah dan tempat pelindungan lainnya yang dapat melindungi mereka dari terik matahari. Kemudian, baginda meneruskan perjalanannya sehingga sampai kepada suatu kaum yang tidak memahami perkataan (kecuali bahasa mereka sendiri) kerana mereka adalah kaum yang sangat terkebelakang.
Ada yang berpendapat bahawa mereka adalah orang-orang Turki, anak-anak saudara Ya’juj dan Ma’juj. Mereka mengadu kepada Dzul Qarnain bahawa dua kaum ini (Ya’juj dan Ma’juj) telah menyerang dan berbuat kerosakan di negeri mereka. Mereka kemudian memberikan upah kepada Dzul Qarnain untuk membuat dinding antara mereka dan kaum tersebut agar dapat mencegah kaum yang ganas tersebut daripada mendekati mereka.
Namun, Dzul Qarnain menolak pemberian upah itu kerana beliau telah merasa cukup dengan apa yang Allah SWT kurniakan kepadanya.
Kemudian, Dzul Qarnain meminta mereka agar mengumpulkan orang-orang serta peralatan untuk membina suatu dinding (di celah) yang terletak di antara dua buah gunung sebagai pemisah antara mereka dan kaum tersebut. Dengan membina tembok di celah dua gunung itu, kaum Ya’juj dan Ma’juj tidak akan dapat memasuki wilayah mereka kerana laluan penghubung selain jurang tersebut ialah lautan dan gunung yang menjulang tinggi.
Dzul Qarnain membangunkan tembok tersebut dari besi dan tembaga yang dilebur. Besi dijadikan sebagai pengganti bata, sedang tembaga sebagai pengganti tanah. Kaum Ya’juj dan Ma’juj tidak akan mampu memanjatnya dengan tangga dan juga tidak dapat (menebuk) dengan penebuk lubang dan kapak.
Sebahagian sejarahwan berpendapat bahawa Yâfits bin Nûh adalah nenek moyang orang-orang Turki. Adapun Ya’juj dan Ma’juj adalah sekelompok kaum dari keturunan orang-orang Turki dan mereka ini dikatakan adalah kaum yang menakluki Mongol. Namun, kaum Ya’juj dan Ma’juj ini sangat kuat dan banyak melakukan kerosakan berbanding orang-orang Mongol.
Ada yang berpendapat bahawa mereka dinamakan dengan Turki lantaran ketika Dzul Qarnain membangun tembok dan memaksa kaum Ya’juj dan Ma`juj berada di balik tembok tersebut, maka yang tinggal di antara mereka hanyalah segolongan yang mereka tidak mempunyai kuasa membinasa yang setimpal dengan kebinasaan yang dilakukan Ya’juj dan Ma’juj . Mereka dibiarkan di luar tembok dan mereka ini dinamakan dengan at-Turk.
Iskandar Zulqarnain bukanlah Alexander The Great kerana Alexander The Great dari Macedonia merupakan pemimpin yang menyembah berhala, melakukan penjajahan dengan pelbagai cara kekerasan, merampas dan merosakkan harta benda dengan kekerasan di samping memiliki sifat-sifat yang buruk, antaranya mempunyai keinginan sesama jantina (gay) dan yang paling ketara, beliau tidak membina tembok yang menghalang Yakjuj dan Makjuj daripada menyeberangi sempadan sebagaimana yang dinyatakan dalam surah al-Kahf. (Lihat Wacana Cerita dalam al-Quran: Satu Kajian dalam Surah al-Kahf, hlm. 217-218)
Kisah Dzul Qarnain ini dirakamkan dalam Al-Quran dalam surah al-Kahfi di mana Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”: Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya. Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya). Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”. Ia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati”. Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya. Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya. kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan. Mereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?” Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”. Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya. (Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar.”
(Surah al-Kahfi: 83-98)
Rujukan: Ringkasan Mukhtashar al-Bidayah wa an-Nihayah, Maktabah Al-Bakri
Leave a comment