أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ كَمَا ٱسْتَخْلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ ٱلَّذِى ٱرْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًۭا ۚ (٥٥)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua. Pada hari ini khatib mengajak semua hadirin agar menghayati khutbah yang bertajuk “Saat Kegemilangan Islam”
Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Realiti pada hari ini, umat Islam di beberapa buah negara sedang mengalami siri-siri kekalahan, kemusnahan, kehancuran, kematian, penghinaan dan penindasan yang berlanjutan tanpa penghujungnya. Adakah sebegini takdirnya sampai bila-bila yang mesti kita tempuhi dan lalui tatkala menuju tuanya dunia ini? Adakah kita memang lebih rendah berbanding umat Islam terawal dan sebelum kita?
Jawapannya tidak sama sekali! Segala musibah yang melanda umat Islam pada saat ini hanya bersifat ujian lagi sementara. Sampai masanya, umat Islam akan kembali gemilang. Bahkan menjadi umat Islam pada akhir zaman begitu besar keistimewaannya. Ayuh kita ambil tahu sebahagiannya!
Pertama: Keadilan Khilafah akan Muncul Kembali
Sebuah hadis diriwayatkan oleh Huzaifah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Zaman kenabian akan terus berlangsung pada kamu sehingga ke tempoh yang dikehendaki Allah, kemudian Dia akan mengangkatnya. Setelah itu akan berlangsung masa khilafah berteraskan kenabian sehingga ke tempoh yang dikehendaki-Nya sebelum diangkat. Selepas itu datang pula masa kerajaan yang saling menggigit sehingga ke tempoh yang dikehendaki-Nya. Menyusul selepas itu datang pula masa penguasa yang mendominasi sehingga ke tempoh yang dikehendaki-Nya. Setelah itu kembali semula masa khilafah berteraskan kenabian.” Huzaifah berkata, “Sampai situ, Nabi diam.”
Perasan atau tidak, sebenarnya kegemilangan Khilafah Islam yang terakhir iaitu Khilafah Uthmaniyah baru saja berakhir sekitar tahun 1924. Bermakna tidak lebih 100 tahun yang lalu sahaja. Walhal masyarakat Barat yang berbangga dengan tamadun Rom mereka mengambil masa lebih daripada 1000 tahun untuk menjadi seperti sekarang. Empayar Rom jatuh pada tahun 476 Masihi. Barat bangkit dan membangunkan negera mereka semula sebagai kuasa kolonial sekitar tahun 1770-an.
Kedua: Islam akan Dikenali Setiap Manusia
Hadis riwayat Tamim al-Dari Radiallahuanhu, beliau berkata bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
“Agama ini akan sampai ke mana-mana tempat yang sampai malam dan siang. Sekali-kali Allah tidak akan membiarkan rumah mahupun khemah melainkan Allah akan masukkan ke dalamnya agama sama ada dengan kemuliaan atau kehinaan.”
(Riwayat Ahmad)
Benarkah pada saat ini, masih ada manusia di sana sini yang belum dengar, apa lagi kenal tentang Islam. Jika begitu, laksanakanlah sebaiknya tanggungjawab dan peranan kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Apa yang terjadi di Palestin dari awal hingga kini, menjadi salah satu peristiwa menyebabkan lebih ramai manusia mencari makna Islam yang sebenar.
Ketiga: Nabi Isa Alaihissalam Turun ke Bumi
Abu Hurairah Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Demi jiwaku di tangan-Nya, semakin hampir saat turun kepada kamu Isa bin Maryam sebagai penguasa yang adil. Beliau akan memecahkan salib, membunuh khinzir dan menghapuskan jizyah.”
(Riwayat al-Bukhari)
Hadirin yang dikasihi Allah SWT sekalian,
Keempat: Umat Islam Menjadi Umat Kaya Raya
Hal ini sebagaimana dalam sambungan daripada hadis tentang Nabi Isa turun ke bumi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“…Harta kekayaan pada ketika itu melimpah-ruah sehingga tiada seorangpun yang mengambilnya. Sehinggakan satu sujud lebih baik daripada dunia dan seisinya.”
(Riwayat al-Bukhari)
Menurut Qadhi Iyad dalam Syarh Muslim, maksudnya pahala sujud adalah lebih baik daripada pahala sedekah walaupun sebanyak dunia dan seisinya. Hal ini kerana pada ketika itu kekayaan begitu melimpah, sehingga tiada lagi orang yang tamak haloba dan tiada lagi jihad yang memerlukan sumbangan.
Hadirin yang dirahmati Allah,
Tidak cukup dengan berita-berita kejayaan besar, keistimewaan-keistimewaan yang bersifat maknawi berikut pula boleh jadi lebih besar maknanya untuk diri kita;
Kelima: Boleh Mendapat Mimpi Benar
Hadis riwayat Abu Hurairah Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila kiamat semakin dekat, mimpi seorang Mukmin menjadi seakan-akan tidak berdusta lagi. Orang yang paling benar mimpinya ialah orang yang paling jujur kata-katanya. Mimpi seorang Muslim ialah sebahagian daripada 45 bahagian kenabian.”
(Riwayat Muslim)
Keenam: Nabi SAW Mengakui Cinta Kita Sebagai Umatnya
Abu Hurairah Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Nabi SAW mengisytiharkan:
“Umatku yang paling mencintaiku ialah suatu kelompok yang datang selepasku nanti. Ada antara mereka sampai berangan-angan untuk melihat aku walaupun dengan menggadai ahli keluarga dan harta bendanya.”
(Riwayat Muslim)
Ketujuh: Nabi SAW Merindui Kita
Sebuah hadis riwayat daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Aku teringin kalau dapat berjumpa dengan teman-temanku”. Sahabat pun membalas, “Bukankah kami teman-temanmu wahai Rasulullah?” Lalu Nabi menjawab, “Kamu sahabatku. Temanku ialah mereka yang belum ada lagi sekarang.”
(Riwayat Muslim)
Kelapan: Sahabat Nabi Mengagumi Iman Kita
Abdul Rahman bin Yazid Radiallahuanhu berkata:
“Suatu hari kami duduk bersama Abdullah bin Mas’ud. Kami berbincang tentang sahabat Nabi dan jasa-jasa mereka.” Lantas beliau berkata, “Sungguh hal Muhammad sebenarnya begitu jelas bagi sesiapa yang melihatnya. Namun sungguh, tiada orang yang lebih baik imannya daripada orang yang beriman secara ghaib.” Beliau pun membaca ayat 1 hingga 3 surah al-Baqarah.
(Riwayat al-Hakim)
Kitalah orang yang beriman dengan Nabi secara ghaib yakni tanpa melihat susuk tubuh Baginda SAW. Bahkan dalam riwayat lain. Kesembilan: Nabi SAW mengagumi iman kita. Diriwayatkan suatu hari sahabat bertanya:
“Wahai Rasulullah, adakah terdapat orang yang lebih besar pahalanya daripada kami? Kami beriman denganmu dan mengikutimu?” Nabi membalas, “Maka apa yang boleh menghalang kamu lagi sedangkan Rasulullah ada dalam kalangan kamu dan wahyu dari langit turun secara langsung kepada kamu. Bahkan ada kaum yang datang selepas kamu, mereka menerima al-Quran dalam bentuk kitab namun mereka tetap beriman dan beramal dengannya. Merekalah orang yang lebih besar pahala daripada kamu. Merekalah orang yang lebih besar pahala daripada kamu.”
(Riwayat al-Tabarani)
Masya-Allah! Demikian sebahagian keistimewaan yang Allah peruntukkan kepada kita yang hidup pada akhir zaman. Tinggal lagi sama ada kita mahu mengambil peluang atau tidak.
Ammar bin Yasir Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
“Umatku seperti hujan. Tidak diketahui mana yang paling baik, yang awal atau yang akhir.”
(Riwayat al-Tirmizi)
Lalu apa lagi alasan untuk kita tidak bersemangat dan melakukan yang terbaik dalam hidup ini?
Hadirin umat Islam sekalian,
Mengakhiri khutbah, mari kita rangkumkan dengan rumusan-rumusan berikut:
1. Umat Islam hendaklah yakin akan janji-janji Allah SWT, bersabar dan terus menuntut ilmu dari guru-guru yang mursyid, melakukan amal soleh dan jangan terlibat dengan perkara yang membawa fitnah.
2. Sebagai umat Islam, berpeganglah dengan akidah dan keyakinan yang benar, bersyariat dengan betul dan berakhlak mulia dalam kepelbagaian dan cabaran semasa dan mendatang.
3. Jadikan diri kita sentiasa takutkan Allah SWT dan sentiasa mengharap kepada-Nya demi kejayaan di dunia dan di hari pembalasan kelak.
وَوَصَّىٰ بِهَآ إِبْرَٰهِـۧمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَـٰبَنِىَّ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصْطَفَىٰ لَكُمُ ٱلدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٣٢)
“Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anakanaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anakanaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.”
(Surah al-Baqarah 2:132)
Tarikh Dibaca: 3 Jamadilawal 1445H/17 November 2023M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment