أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍۢ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَـٰلَةٍۢ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَـٰدِمِينَ (٦)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa mendapat limpahan rahmat dan berkat daripada Allah SWT. Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan berhenti daripada melakukan perkara yang lalai dan sia-sia seperti menggunakan telefon atau berbual-bual. Semoga segala amal ibadah yang kita lakukan diterima Allah SWT.
Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Gejala Fitnah Membinasakan Ummah”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Dunia komunikasi hari ini memperlihatkan betapa mudah dan pantasnya sesuatu berita itu disebarkan melalui pelbagai medium dan aplikasi di media sosial. Dari sudut pandang positif, ia sangat memberi faedah yang banyak kepada umat Islam khususnya dalam memajukan dan membangunkan ummah.
Namun, apa yang kita gusarkan ialah ada juga pihak-pihak yang sengaja, tidak bertanggungjawab dengan menggunakan medium ini sebagai tempat menyebarkan berita-berita palsu atau fitnah. Islam telah memberikan panduan kepada kita dalam menerima sesuatu berita yang dibawa. Inilah yang dapat menyekat penularan berita-berita palsu dan fitnah daripada terus tersebar dalam masyarakat.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 6 yang dibacakan tadi membawa maksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
(Al-Hujurat 49:6)
Perkataan fitnah dalam al-Quran membawa berbagai maksud antaranya syirik, maksiat, bala, kesempitan, kerosakan, pembunuhan dan peperangan. Ringkasnya fitnah merujuk kepada perkara-perkara yang buruk. Dalam bahasa Melayu perkataan fitnah memberi makna yang lebih spesifik. Ia merujuk kepada sebarang tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan dan membencanakan seseorang atau sesuatu pihak yang membawa kepada porak-peranda.
Perbuatan fitnah pasti membawa kepada pertelingkahan dan perpecahan ummah. Seringkali kita dapat lihat pembuat fitnah turut menjadikan berita fitnah itu sebagai alat untuk melaga-lagakan pihak-pihak yang tidak sependapat demi mendapatkan keuntungan dan populariti.
Kesannya, berlakulah perbuatan caci-mencaci, hina-menghina dan tuduh- menuduh yang hanya mencerminkan keburukan akhlak pihak-pihak yang bertelagah itu menyebabkan orang lain menjadi seronok untuk mengikutinya dan membuat komentar sehingga mereka pula yang menyebarkannya.
Mari kita renungkan hadis Rasulullah SAW, sebagaimana riwayat Imam Muslim Rahimahullah daripada Huzaifah Radiallahuanhu, baginda SAW bersabda:
Bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bahaya menyebarkan fitnah umpama api membakar ranting kering, ia cepat merebak dan akan menjadi abu. Ia menjadi sebab ganjaran amalan baik terhapus dan menjadikan seseorang itu luput dan muflis di akhirat nanti. Dalam Islam, sesuatu berita yang disampaikan sekalipun ianya benar, ia masih belum boleh diterima, jika pembawa berita itu diragui keperibadiannya. Ini menjadi kaedah untuk setiap berita yang diterima wajib diselidiki walaupun ianya adalah benar.
Justeru, kita perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelakkan berlakunya perbuatan fitnah. Sejarah telah mencatatkan bagaimana fitnah menjadi punca kematian khalifah Uthman bin ‘Affan Radiallahuanhu.
Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama muslim ketika zaman pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib Radiallahuanhu. Allah SWT telah berfirman di dalam surah an-Nur, ayat 19 berkaitan balasan bagi orang yang suka membuat fitnah:
Bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).”
(An-Nur 24:19)
Gejala fitnah boleh meruntuhkan sesebuah negara. Lihatlah kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511, ia juga disebabkan kerana lemahnya kerajaan Empayar Melaka di saat wujudnya petualang dan pengkhianat bangsa yang sanggup bersekongkol dalam menabur fitnah dan mengadu-domba. Sebagai umat Islam, kita perlu mengelakkan diri daripada gejala fitnah dan adu domba supaya kita dapat bersatu padu dan tidak curiga di antara satu sama lain kerana matlamat kita adalah besar untuk membangunkan agama, negara dan bangsa.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mimbar menarik perhatian sidang jemaah sekalian agar kita dapat mengikuti beberapa saranan supaya gejala fitnah ini dapat kita hentikan, di antaranya ialah:
Pertama: Menulislah dan perkatakanlah perkara-perkara yang baik dan dapat memberi manfaat kepada orang lain. Elakkan, jauhkan dan hindarkan daripada berbicara dan membuat coretan mengenai perihal orang lain. Perbuatan ini juga adalah satu umpatan yang dilarang olah Islam.
Kedua: Sentiasalah merujuk segala perkara itu kepada ahlinya atau yang pakar tentang perkara tersebut terutamanya isu-isu yang tidak dapat dipastikan fakta kebenarannya. Sekiranya sikap ini diamalkan, segala fahaman dan pengamalan yang menyesatkan dapat kita elakkan.
Ketiga: Amalkanlah sikap hormat-menghormati, adil, bertanggungjawab dan amanah walaupun berhadapan dengan pihak yang tidak sealiran dan sependapat dengan kita. Ingatlah bahawa, fitnah tidak boleh sama sekali menjadi senjata mematahkan hujah orang atau pihak lain. Berhujah tidak perlu mencemarkan maruah dan nama baik tetapi gunakan fakta dan dalil yang tepat supaya perpecahan dapat kita hindari.
Keempat: Amalkanlah sikap merendah diri, bertolak-ansur dan saling memaafkan terhadap satu sama lain. Inilah sikap Rasulullah SAW yang harus kita teladani bersama. Janganlah kerana kebencian terhadap seseorang atau pihak lain menjadikan kita buta hati sehingga sanggup memfitnah semata-mata kerana dorongan sifat marah dan benci.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Fitnah bukan sahaja membawa keburukan dalam kehidupan bermasyarakat bahkan ianya merupakan dosa besar. Pembuat dan penyebar fitnah disifatkan Islam sebagai sekeji-keji manusia.
Kedua: Bijaklah menilai sesuatu berita yang diterima supaya dapat dipastikan kesahihannya dan amalkan sikap berhati-hati dengan menyelidiki setiap berita yang diterima.
Ketiga: Amalkan budaya sihat berpaksikan kehidupan harmoni, sikap toleransi dan berprasangka baik antara satu sama lain bagi memelihara perpaduan masyarakat.
Kita semua adalah insan yang mempunyai Allah SWT sebagai Tuhan. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa mengajarkan perkara-perkara yang baik-baik sahaja. Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab, ayat 58:
وَٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ بِغَيْرِ مَا ٱكْتَسَبُوا۟ فَقَدِ ٱحْتَمَلُوا۟ بُهْتَـٰنًۭا وَإِثْمًۭا مُّبِينًۭا (٥٨)
Bermaksud: “Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata.”
(Al-Ahzab 33:58)
Tarikh Dibaca: 3 Jamadilawal 1445H/17 November 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment