Oleh Mymuslimin.com
Nogori sungguh restoran ini! Seluruh mesej, papan-papan tanda dan label di Lomak Salai menggunakan bahasa Nogori. Untuk mereka yang tidak faham bahasa Nogori, bertanyolah!

Sedikit trivia, pekan Tampin ini pernah dipopularkan dalam lagu kumpulan Blues Gang yang berjudul “Apo Nak Dikato”. Antara bait kata lagunya:
Sawah leba kobau banyak (sawah leba kobau banyak)
Air pigi sojuk sekali (air pigi)
Sunyi sopi takdo oghang
Apo nak dikato
Kalau boleh nak bising-bising
Macam pokan Tampin
Restoran Lomak Salai terletak di kawasan berbukit di Hentian Sebelah Tampin tidak jauh dari pekan Tampin, Negeri Sembilan. Waze sahaja Lomak Salai, guarantee sampai. Kawasan letak kereta luas tersedia, surau dan tandas juga ada.

Berkonsepkan masakan Melayu kampung Negeri Sembilan, Lomak Salai mengadaptasi konsep troli IKEA di mana pelanggan memilih makanan pilihan, letakkan di atas troli, bayar, dan makan.






Bermacam-macam pilihan lauk tersedia dan tentu sekali lauk utama ialah masak lomak cili padi dengan pilihan ikan, daging, ayam, udang, dan sebagainya. Lomak di sini terasa salainya dan memang secukup rasa. Bagi orang Melaka dan Negeri Sembilan, asam pedas memang tidak boleh dilupakan. Asam pedas tetel atau ikan perlu ada pedas dan masamnya barulah terangkat bila dimakan. Terdapat juga stesyen ikan bakar dengan cecahan yang menarik. Selain itu, Lomak Salai juga menyediakan beraneka lauk-lauk lain seperti rendang, sambal-sambal, hidangan sayuran, ulaman dan sebagainya. Sambal gesek nogori campuran cili padi, petai dan ikan bilis antara yang mesti dicuba.



Restoran Lomak Salai ini luas and terbuka memberikan suasana yang nyaman dan berangin kepada pelanggan. Dihiburkan dengan alunan lagu-lagu nostalgia zaman 70-80-an, begitu terasa suasana kampungnya ditambah lagi dengan hidangan lauk-lauk kampung yang lazat dan tentunya menggamit memori silam. Selepas makan bolehlah menjamu kuih-muih, cendol, ABC, atau pekena kopi panas dan teh tarik sebelum berangkat pulang.
Untuk merasai masakan nogori, jomputlah singgah makan Lomak Salai! Harga pun boleh tahan berbaloi.
LOMAK SALAI
Jln Seremban – Tampin, 73000 Tampin, Negeri Sembilan
Buka Setiap Hari (Kecuali Rabu) – 11pagi – 530 petang
Leave a comment