أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
(قُل لَّن يُصِيبَنَآ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَىٰنَا ۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ (٥١
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian, Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua.
Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Ibrah Dan Pengajaran Umat Palestin.”
Hadirin yang dirahmati Allah,
Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Betapa besarnya ujian yang menimpa umat Palestin sukar untuk digambarkan. Penduduk Palestin telah lama hidup di bawah pendudukan Israel. Sepanjang kehidupan mereka, rakyat Palestin telah ditindas dan dizalimi dalam banyak aspek kehidupan seperti kebebasan mereka untuk bergerak, hak untuk mencari rezeki, hak memiliki tanah dan rumah. Rampasan dan pemusnahan harta serta penempatan haram oleh Israel di bumi Palestin khususnya di Tebing Barat dan Gaza telah berlaku secara sistematik dan terancang.
Namun begitu, dalam menyelami konflik tersebut terdapat ibrah dan pengajaran kepada umat Islam untuk melihat perkara tersebut dengan mendalam dan memahami hikmah di sebalik sesuatu kejadian.
Berikut beberapa ibrah dan pengajaran yang dapat diambil daripada konflik yang berlaku di Palestin:
1. Ibrah dan pengajaran utama atas pencerobohan yang berlaku di bumi Palestin ini adalah betapa perlunya umat Islam bersatu padu, bekerjasama, bermuafakat dan saling membantu antara satu sama lain kerana perpaduan itu membawa kekuatan, kemajuan dan keberkatan kepada umat Islam. Islam melarang umatnya dari berpecah-belah, bersengketa, berseteru kerana ia akan mengakibatkan kehancuran kepada sesuatu tamadun serta hilangnya jati diri umat Islam.
Umat Islam perlu membina kekuatan untuk bersaing dari sudut fizikal, rohani, kemahiran, kekuatan ketenteraan, ekonomi termasuk aspek sains dan penciptaan teknologi moden. Kesemua ini perlu dilakukan supaya umat Islam mempunyai kekuatan, maruah, harga diri dan dihormati kawan dan lawan tanpa bergantung kepada dunia Barat. Kesemua ini dapat dilaksanakan jika umat Islam bersatu-padu dan berpegang teguh kepada agama Allah dalam menghadapai pelbagai dugaan dan cabaran.
Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud:
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. 2. Umat Islam hendaklah sentiasa bertawakal dan jangan sesekali berputus asa dari rahmat Allah”.
(Ali Imran 3:103)
Firman Allah SWT dalam Surah al-Zumar ayat 53 :
قُلْ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسْرَفُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا۟ مِن رَّحْمَةِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ (٥٣)
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Az-Zumar 39:53)
Antara ibrah pengajaran besar yang dapat dicontohi daripada tragedi yang menimpa rakyat Palestin adalah sikap mereka yang benar-benar bertawakal kepada Allah dan menyerahkan segala urusan negara serta hidup mereka kepada Allah. Meskipun menghadapi dugaan yang maha hebat di dunia ini, rakyat Palestin terus tabah dan cekal berjuang dalam mempertahankan tanah air dan keluarga mereka dan dalam masa yang sama berserah kepada Allah sepenuhnya untuk menentukan masa depan mereka. Mereka berhak mendapat keadilan dan hidup bebas di tanah air sendiri.
Begitu juga dengan kesatuan ukhuwah yang utuh dipamerkan oleh umat Palestin meskipun terdapat perbezaan politik dalam kalangan rakyat Palestin. Penindasan yang berterusan terhadap mereka menjadikan umat Palestin cekal, tabah dan terus bangkit melawan ketidakadilan yang mereka alami.
3. Kita rakyat Malaysia perlu bersyukur atas keamanan yang kita kecapi di Negara kita selama ini. Seperti rakyat di negara-negara lain, rakyat Palestin juga mempunyai keinginan kepada keamanan dan mengimpikan sebuah negara yang berdaulat. Keinginan ini menjadi sumber motivasi kepada umat Palestin untuk terus nekad berjuang bagi mendapatkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
4. Ketahanan dan kekuatan rohani rakyat Palestin menunjukkan ketahanan yang luar biasa dalam menghadapi tentangan dan kesulitan dalam menghadapi kemaraan serangan musuh yang bertali arus. Berbekalkan kekuatan dan semangat, umat Palestin terus istiqamah dan kekal berjuang meskipun berada dalam keadaan yang sangat sukar tanpa makanan dan minuman, jauh sekali kemudahan asas yang lain, merupakan pengajaran yang dapat memotivasikan ketahanan umat Islam.
Ketahanan ini memerlukan keimanan yang tinggi, kepercayaan kepada kekuasaan Allah, kesabaran, daya ketahanan jiwa dan mental yang kuat dan kesungguhan berjuang dijalan Allah. Tanpa kesungguhan, kekuatan jiwa dan mental umat Palestin mungkin tidak mampu bertahan dan mencapai kejayaan.
5. Di samping itu, sokongan dan solidariti semua pihak terhadap isu kemanusiaan membuka mata dunia untuk melihat kebenaran. Konflik ini telah menarik perhatian pemimpin dan masyarakat dunia dari pelbagai negara dunia untuk menentang kezaliman. Sokongan dunia Barat terhadap Israel menggambarkan sikap double standard terhadap hak-hak kemanusiaan yang sering diperkatakan oleh mereka.
Oleh itu, umat Islam perlu berhati-hati dengan falsafah perjuangan hak kemanusiaan yang digembar-gemburkan oleh dunia Barat agar tidak terperangkap dengan dakyah dan perancangan yang meminggirkan hak rakyat Palestin. Lebih mendukacitakan apabila ramai dalam kalangan orang Islam yang terpesona dan tertawan dengan falsafah hak asasi manusia barat yang mengelirukan umat.
Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah sekalian,
Sebagai orang yang beriman marilah kita mengambil tanggungjawab untuk bersama-sama menghulurkan bantuan dan sumbangan material dan spiritual seperti tenaga, idea, wang ringgit serta doa yang berterusan dengan harapan Allah memakbulkan doa kita agar di suatu ketika nanti rakyat Palestin akan mengecapi kemenangan dan kemerdekaan dari cengkaman Zionis-Israel.
Sekecil mana sekalipun sumbangan dan doa kita pasti akan dapat menyuntik semangat kepada rakyat Palestin untuk terus berjuang menegakkan kebenaran dan mempertahankan negara mereka. Kemenangan bagi umat Islam itu pasti dan kerugian bagi orang-orang zalim juga pasti, cuma hanya Allah sahaja mengetahui bilakah semua ini akan berlaku.
Sehubungan dengan itu, marilah kita bersama-sama berusaha untuk;
1. Terus kekal istiqamah berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT memohon agar rakyat Palestin dikurniakan ketabahan, kesabaran dan kekuatan rohani bagi memperjuangkan tanah air mereka dari cengkaman kezaliman Zionis-Israel. Hadis daripada Anas bin Malik Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi.”
(Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadis ini kita sedia maklum bahawa Baginda Rasulullah SAW menyuruh kita membantu orang yang ditindas dan dizalimi.
2. Menyebarluaskan berita kekejaman Zionis-Israel di media-media sosial dan menentang dakyah dan berita palsu yang disebarkan oleh mediamedia pro-Israel yang menyembunyikan kebenaran yang sebenar. Ini kerana, propaganda yang dimainkan oleh Zionis-Israel menggambarkan seolah-olah merekalah yang menjadi mangsa kezaliman.
Sebagai umat Islam, kebenaran dan keadilan ini perlu diketengahkan dan kebenaran inilah yang akan akhirnya diraih mengalahkan kebatilan. Sebagai umat Islam kita perlu meyakini bahawa janji-janji Allah dalam al-Quran bahawa orang-orang yang zalim dan menentang kebenaran akan gagal jua akhirnya.
3. Membaca Qunut Nazilah pada setiap solat fardu kerana ia merupakan syariat Allah bahkan ia syiar kesatuan ukhuwah Islam. Jika kita bersimpati dengan saudara seiman yang dizalimi bantulah mereka. Jarak bukannya penghalang untuk menghulurkan bantuan.
Meskipun terhalang, tiada siapa yang mampu menghalang senjata doa umat Islam bahkan syariat Allah ini kekal utuh sepanjang zaman. Ianya sangat penting bagi kita yang bakal menjadi warga akhir zaman. Masa depan bakal menyaksikan tribulasi dan tragedi akan bertimpa-timpa menimpa umat Islam.
Ini bukan andaian atau ramalan bahkan realiti yang ditegaskan oleh baginda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahuanhu:
“Masa semakin cepat, amal semakin berkurangan, bakhil semakin melampau dan al-haraj semakin menjadi-jadi.” Sahabat bertanya: “Apa itu alharaj?” “Pembunuhan, pembunuhan!.”
(Riwayat al-Bukhari)
Begitu juga, kebimbangan perlu dirasakan kerana terdapat kemungkinan peperangan boleh merebak ke negara-negara berdekatan. Ia mengundang peperangan yang lebih besar dan meluas. Kesannya, kebencian sesama manusia akan berkembang dan sukar dibendung akibat daripada perbezaan ideologi pemikiran dan pemahaman masing-masing pada masa akan datang.
Hadirin sekalian,
Mengakhiri khutbah ini, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran dan penghayatan agar dijadikan pedoman dan panduan kita. Antaranya ialah:
1. Umat Islam hendaklah bersabar dan bermunajat kepada Allah dalam setiap ujian yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT.
2. Kita hendaklah sedar bahawa rakyat Palestin telah lama hidup di bawah pendudukan Israel. Mereka ditindas dan dizalimi dalam banyak aspek kehidupan seperti kebebasan bergerak, mencari rezeki, hak memiliki tanah dan rumah.
وَمَا كَانَ قَوْلَهُمْ إِلَّآ أَن قَالُوا۟ رَبَّنَا ٱغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِىٓ أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَٱنصُرْنَا عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْكَـٰفِرِينَ (٤٧)
“Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosadosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan) dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.”
(Surah Ali-Imran : 147)
Tarikh Dibaca: 24 November 2023M l 10 Jumadal Ula 1445H
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment