أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَـٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍۢ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌۭ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا (٥٩)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Khatib mengingatkan para jemaah agar memberi sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara-perkara yang lagha seperti menggunakan telefon dan berbual-bual. Tumpukan perhatian pada khutbah yang akan disampaikan, mudah-mudahan kita semua mendapat hidayah dan taufiq dari Allah SWT.
Pada hari ini khatib ingin membicarakan khutbah bertajuk: “Kepimpinan Yang Diberkati”
Sebelum itu, khatib ingin mengingatkan seluruh umat Islam untuk terus mendoakan keselamatan, kesabaran dan kemenangan buat penduduk Palestin dalam menghadapi kekejaman dan penindasan Rejim Zionis Israel. Bantulah mereka dengan apa-apa jua cara yang termampu dan janganlah kita biarkan mereka bersendirian menghadapi ujian yang sangat berat itu. Teruslah berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT agar Allah SWT membantu mereka dan Bumi Palestin kembali merdeka.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Islam amat menitikberatkan kehidupan manusia dalam segala aspek kehidupan termasuklah dalam bidang pemerintahan dan kenegaraan. Begitu banyak dalil sama ada dari al-Quran, hadis, dan ijmak para ulama yang membahaskan soal ini secara terperinci. Rasulullah SAW yang mulia juga telah menunjukkan suri teladan sebagai seorang pemimpin dalam menerajui Negara Islam Madinah yang terbina dari kebijaksanaan dan kesempurnaan Islam sebagai teras utama pemerintahan.
Dalam rangka membina sebuah negara yang diberkati, beberapa aspek perlu menjadi penekanan oleh segenap peringkat masyarakat bermula dari peringkat pemimpin sehinggalah kepada rakyat yang dipimpin keseluruhannya.
Islam membahaskan dengan teliti konsep pemerintahan dan kenegaraan. Dalam isu ini, khatib ingin memetik beberapa intipati dari Kitab Munyatul Musolli (منية المصلي) karangan Fatoni-al Abdullah bin Daud Syeikh yang ada menyelitkan suatu bab yang disebut Tatmin Al-Faaidah yang menyentuh perihal pemimpin, falsafah keadilan dan yang berkaitan dengan kepemimpinan.
Antaranya;
Pertama: Seseorang pemimpin yang diberi amanah dan menjalankan amanahnya untuk memelihara kesejahteraan rakyatnya, maka dicurahkan rahmat oleh Allah SWT kepadanya.
Kedua: Pemimpin yang diberikan kedudukan dan kekuasaan untuk memelihara rakyatnya, tetapi culas dan gagal menasihati rakyatnya, serta tidak mensejahterakan negerinya akan dihukumkan oleh Allah SWT dengan dimasukkan ke dalam neraka dan tidak dimasukkan ke dalam syurga.
Ketiga: Menjadi kemestian bagi rakyat untuk menghormati pemimpin sebagaimana selayaknya kerana ketinggian martabat pemimpin di sisi Allah SWT sekiranya mereka memimpin dengan keadilan.
Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 59 yang dibacakan pada awal khutbah tadi bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”.
(An-Nisa’ 4:59)
Keempat: Allah SWT adalah Raja bagi segala raja. Dengan keagungan dan kekuasaan yang dimiliki-Nya, maka Allah SWT berhak mengurniakan rahmat bagi pemimpin yang taat dan menurunkan seksa bagi pemimpin yang melakukan maksiat dan kecurangan.
Firman Allah SWT dalam Surah Saad ayat 26:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
يَـٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلْنَـٰكَ خَلِيفَةًۭ فِى ٱلْأَرْضِ فَٱحْكُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ بِٱلْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌۭ شَدِيدٌۢ بِمَا نَسُوا۟ يَوْمَ ٱلْحِسَابِ (٢٦)
Bermaksud: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orangorang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.”
(Saad 38:26)
Kelima: Rasulullah SAW turut berpesan kepada sahabat-sahabat Baginda agar tidak meminta-minta jawatan kerana pertanggungjawaban yang sangat berat di hari akhirat kelak.
Keenam: Para wazir atau menteri diibaratkan seperti pintu bagi sebuah kota. Oleh itu, seorang pemimpin mestilah bijaksana dalam memilih orang-orang kepercayaannya, yang taat dalam beragama, jujur dan amanah, bersifat adil dan berbelas kasih kepada orang lain terutamanya rakyat. Orang kepercayaan dan penggerak agenda kepimpinan merupakan cermin kepada pemimpin itu sendiri.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Karakter seorang pemimpin sangat berkait rapat dengan karakter para rakyatnya. Jika rakyatnya baik, maka pemimpin juga baik. Begitu juga sebaliknya. Oleh sebab itu, sangat penting bagi kedua-dua belah pihak – yakni pemimpin dan rakyat – saling mendoakan kebaikan antara satu sama lain dalam mewujudkan kitaran hubungan yang positif antara semua warganegara.
Dari Abdul Samad bin Yazid al-Baghdadi, beliau berkata bahawa beliau pernah mendengar Fudhail bin ‘Iyadh berkata: “Seandainya aku memiliki doa yang mustajab, aku akan tujukan doa tersebut pada pemimpinku”. Ada yang bertanya kepada Fudhail, “Kenapa begitu?” Beliau menjawab, “Jika aku tujukan doa tersebut pada diriku sahaja, maka ia hanya bermanfaat untukku. Namun jika aku tujukan untuk pemimpinku, maka rakyat dan negara akan menjadi baik (menerima manfaatnya)”.
Syeikh Daud al-Fatoni turut menyelitkan sebuah kisah para pemimpin yang adil pada zaman dahulu yang menyediakan tiga halaman mesej-mesej peringatan dan dititipkan kepada para Menterinya untuk mengingatkan mereka sekiranya pemerintahannya menuju kezaliman. Antara mesejnya ialah;
Pertama: Bahawa pemimpin bukanlah Tuhan dan apabila sampai ajalnya tetap akan menjadi debu.
Kedua: Pemimpin yang menunjukkan rahmah belas kasihan di dunia, nanti di akhirat akan menerima balasan kebaikan yang setimpal.
Ketiga: Tugas pemimpin ialah untuk menegakkan hukum Allah SWT dan keadilan tanpa sebarang keraguan.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Islam mengajarkan agar umatnya bantu menegur saudaranya dengan berhikmah. Hal ini kerana fitrah keterbatasan manusia memungkinkan kesilapan. Justeru, tugas kita untuk menasihati saudara Muslim termasuk pemerintah, namun dengan qawlan layyina yakni kata-kata yang santun.
Harus kita contohi akhlak baginda Nabi Muhammad SAW yang menjauhi perkataan nista dan mengadu domba.
Tidak dinafikan bahawa dalam kalangan manusia ini wujudnya perbezaan pandangan dan pendapat kerana ia merupakan sunnatullah.
Namun di sana, pasti ada titik persamaan yang boleh mempertemukan seluruh rakyat sama ada di peringkat pemimpin mahupun dalam kalangan rakyat untuk diperkukuhkan bersama-sama. Segala bentuk perselisihan dan perbezaan yang remeh perlulah ditanggapi dengan penuh hikmah dan bijaksana agar ia tidak menjadi duri dalam daging kepada perpaduan dan kesatuan rakyat di negara ini.
Maka berusahalah untuk mencari titik persamaan tersebut supaya dengannya kita dapat membina sebuah negara yang kukuh dan mampan serta berjalan dengan sistem keadilan yang selayaknya. Para ulama mestilah perlu bergandingan dengan para umara (pemerintah) dalam memberi nasihat dan bimbingan memerintah negara berlandaskan batas hukum yang telah ditetapkan syarak. Akhirnya, dengan itu, negara dan kepimpinannya akan terus diberkati Allah SWT dan menjemput rahmat dan limpah kurniaan dari Allah SWT ke atas seluruh rakyat dan negara. Insya-Allah.
Justeru, renungkanlah firman Allah SWT dalam Surah an-Nuur ayat 55:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ كَمَا ٱسْتَخْلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ ٱلَّذِى ٱرْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًۭا ۚ يَعْبُدُونَنِى لَا يُشْرِكُونَ بِى شَيْـًۭٔا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ (٥٥)
Maksudnya: “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.”
(An-Nuur 24:55)
Tarikh Dibaca: 10 Jamadilawal 1445H/24 November 2023M
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment