Peringatan Al-Quran

Tafsir Ringkas Surah At-Takwiir Surah 81- Ayat 1-14

Ini adalah sifat-sifat hari Kiamat dan kejadian-kejadiannya yang dahsyat untuk mengagungkannya dan membuat manusia takut.

“Apabila matahari digulung, dan apabila bintang-bintang berjatuhan, dan apabila gunung-gunung dihancurkan.”

(At-Takwiir 81:1-3)

Ketika matahari digulung dan dikumpulkan satu sama lain, seperti menggulung serban dan mengumpulkan pakaian satu sama lain, kemudian dilemparkan dan hilanglah cahayanya. Ini menunjukkan hancurnya alam semesta. Apabila bintang berjatuhan, sebagaimana dalam firman Allah:

“Dan apabila bintang-bintang jatuh berserakan.”

(Al-Infithaar 82:2)

Apabila gunung-gunung diangkat dari bumi dan dihancurkan di udara ketika bumi bergoncang, sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan gunung-gunung pun dijalankan sehingga menjadi fatamorgana.”

(An-Naba’ 78:20)

Dan firman Allah SWT:

“Dan (ingatlah) pada hari (ketika) Kami terbangkan gunung-gunung dan engkau akan melihat bumi itu rata.”

(Al-Kahf 18:47)

“Dan apabila unta-unta yang bunting di-tinggalkan (tidak terurus), dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan, dan apabila lautan dipanaskan.”

(At-Takwiir 81:4-6)

Apabila unta-unta hamil yang di dalam perutnya ada anaknya dan itu menjadi harta paling mahal dan mulia di kalangan bangsa Arab ditinggalkan begitu saja tanpa gembala kerana agungnya perkara dan besarnya huru-hara di hari itu. 

Dan apabila binatang-binatang liar melata, selain manusia, dibangkitkan sehingga boleh saling membalas satu sama lain. Dikatakan pengumpulannya adalah dengan mematikan dan membinasakannya. Dan apabila lautan dinyalakan dengan gunung berapi dan gempa bumi sehingga menjadi api yang menyala setelah semua melimpah dan menjadi satu, sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan apabila lautan dijadikan meluap.”

(Al-Infithaar 82:3)

Dan firman-Nya,

“Demi lautan yang penuh gelombang.”

(At-Thur 52:6)

Ketika itu, laut dan bumi menjadi satu dalam keadaan sangat panas dan terbakar.

Ubay bin Ka’ab r.a. berkata ada enam tanda sebelum datangnya hari Kiamat. Saat itu, manusia berada di pasar mereka, tiba-tiba hilanglah cahaya matahari. Dalam keadaan seperti itu, tiba-tiba gunung jatuh di atas bumi, lalu ia bergoncang keras. Terkejutlah jin dan manusia serta bercampurlah binatang melata, burung, dan binatang liar. Mereka berlanggar antara satu sama lain.

Ibnu Abbas berkata tentang firman Allah ( إِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ) sampai ayat (وَإِذَا ٱلْجَنَّةُ أُزْلِفَتْ) bahawa ada dua belas sifat (hari Kiamat) enam di dunia dan enam di akhirat. 

Enam yang di dunia sudah kami jelaskan dalam perkataan Ubay bin Ka’ab, dan enam terakhir berada dalam ayat-ayat selanjutnya. Oleh kerana itu, Allah SWT menyebutkan peristiwa kebangkitan yang terjadi setelah itu. Allah berfirman:

“Dan apabila ruh-ruh dipertemukan (dengan tubuh), dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya”

(At-Takwiir 81:7-8)

Ketika ruh dipertemukan dengan jasadnya saat kebangkitan terakhir, ketika anak perempuan yang dibunuh kerana aib dan takut malu seperti yang dilakukan oleh sebahagian kabilah Arab ketika di zaman Jahiliyyah – hal ini ditanyakan untuk mengaibkan pembunuh dan mereka yang menanam bayi-bayi itu.

Mereka dibunuh tanpa dosa. Sebahagian orang-orang jahiliyyah menguburkan anak mereka karena tidak suka kepada anak perempuan. Pada hari Kiamat, anak-anak yang dikubur hidup-hidup itu akan ditanya sebab mereka dibunuh, sebagai ancaman bagi pembunuhnya. Sebab apabila seorang yang dizalimi ditanya, maka bagaimana perasaan orang zalim? Ibnu Abbas berkata maksud dari ditanya adalah bertanya. Jadi, anak perempuan itu sendiri yang akan bertanya. Membunuh anak perempuan adalah perbuatan kejahatan yang besar. Pertanyaan kepada anak perempuan yang dikubur hidup-hidup ini untuk mengaibkan sang pelaku sebab pertanyaannya mengarah ke pertanyaan kepada yang menguburkan bayi-bayi itu.(Al-Bahru al-Muhiith 8/433)

Imam Ahmad meriwayatkan dari Khansa` binti Mu’awiyah ash-Shariimiyah dari bapa saudaranya berkata,

Aku bertanya, “Wahai Rasulullah siapa saja yang akan menjadi penghuni syurga?” Baginda SAW menjawab,

النَّبِيُّ فِي الْجَنَّةِ، وَالشَّهِيدُ فِي الْجَنَّةِ، وَالْمَوْلُوْدُ فِي الْجَنَّةِ، وَالْمَوْءُوْدَةُ فِي الْجَنَّةِ

“Nabi di syurga, orang mati syahid di syurga, bayi yang meninggal di syurga dan anak perempuan yang dikubur hidup-hidup juga di syurga.”

“Dan apabila lembaran-lembaran (catatan amal) telah dibuka lebar-lebar, dan apabila langit dilenyapkan.” (At-Takwiir 81:10-11)

Apabila catatan-catatan amal diperlihatkan dan dibentangkan untuk diperhitungkan pada saat hisab. Semua manusia diberikan catatan amalnya, baik dari sebelah kanan mahupun kirinya. Apabila langit terbelah dan pecah, hilang dan tiada apa lagi yang tinggal.

“Dan apabila neraka Jahim dinyalakan, dan apabila syurga didekatkan.”

(At-Takwiir 81:12-13) 

Apabila api dinyalakan sedahsyat-dahsyatnya. Allah SWT berfirman:

“Bahan bakarnya manusia dan batu.”

(Al- Baqarah 2:24)

Apabila syurga didekatkan kepada penduduknya yang bertakwa, sebagaimana firman Allah,

“Sedangkan syurga didekatkan kepada orang-orang yang bertakwa pada tempat yang tidak jauh (dari mereka).”

(Qaaf 50:31)

“Setiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakannya.”

(At-Takwiir 81:14)

Jawaban dari idzaa dan kalimat yang mengikutinya, maksudnya, apabila telah terjadi semua kejadian yang tadi disebutkan, setiap diri akan mengetahui apa yang telah dikerjakannya, baik kebaikan ataupun keburukan, saat dibuka lembaran amal. Sebagaimana firman Allah,

“(Ingatlah) pada hari (ketika) setiap jiwa mendapatkan (balasan) atas kebajikan yang telah dikerjakan dihadapkan kepadanya, (begitu juga balasan) atas kejahatan yang telah dia kerjakan. Dia berharap sekiranya ada jarak yang jauh antara dia dengan (hari) itu.”

(Ali ‘Imran 3:30)

Allah SWT berfirman:

“Pada hari itu diberitakan kepada manusia apa yang telah dikerjakannya dan apa yang dilalaikannya.”

(Al-Qiamah 75:13)

Dari awal surah sampai ayat ini, kedudukannya adalah syarat. Jawabnya adalah firman Allah SWT ( عَلَمَتْ نَفْسٌ مَا أَحْضَرَتْ). Hasan Basri berkata, “Ini adalah sumpah dan jawapannya.” Al-Qurthubi berkata, “pendapat pertama lebih sahih.”

Sumber: Tafsir Al-Munir Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili Jilid 15

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑