“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Surah al-Rum 30:21)
Salah satu sumber kebahagian terbesar di dunia ini ialah mempunyai pasangan penyayang yang soleh/solehah. Rasulullah SAW bersabda, “Segala sesuatu di dunia ini adalah sumber kebahagiaan, dan sumber kebahagiaan yang paling besar adalah pasangan yang solehah.” Allah SWT menciptakan lelaki dan perempuan untuk satu sama lain. Apabila cinta mekar antara suami dan isteri, ia membentuk ikatan yang kuat yang menjadikan hubungan mereka itu satu rahmat yang sebenar.
Antara matlamat utama perkahwinan di dalam Islam ialah untuk mempunyai pasangan yang memberikan kedamaian dan kegembiraan. Matlamat perkahwinan yang lain termasuk perlindungan kesucian, untuk melahirkan zuriat, mengalami cinta, dan akses kepada keintiman yang halal. Semua matlamat ini adalah penting, dan kedua-dua pasangan mesti berusaha untuk membantu satu sama lain dalam mencapai matlamat ini melalui hubungan mereka.
Perkataan yang digunakan dalam ayat di atas ialah taskunu, yang berakar pada Sakina. Sakina merujuk kepada ketenangan atau kedamaian batin, dan ini bermakna bahawa rumah kita harus menjadi tempat di mana kita merasakan kedamaian dan ketenangan, tempat perlindungan dari dunia luar dan semua ujiannya.
Terdapat pelbagai cara untuk kita menjadi sumber kedamaian bagi pasangan kita. Kedua-dua pasangan perlu berusaha ke arah itu agar ianya berjaya, dan usaha yang berat sebelah selalunya akan mengakibatkan kekecewaan dan kebencian. Oleh itu, jadikanlah keutamaan dalam hidup untuk membuat pasanganmu tersenyum, ketawa dan bahagia.
Lelaki, jagalah wanitamu. Sediakan keperluan isterimu dengan baik, manjakan dengan kemampuan kewangan anda yang terbaik, sediakan rumah, harta benda, dan anak-anak sedemikian, agar dirinya rasa disayangi, diingini, dan dihargai. Luangkan masa yang berkualiti dan berkongsi hobi bersama walaupun secara peribadinya hobi isterimu bukanlah minatmu. Luangkanlah masa untuk perbualan yang berkualiti dan pastikan anda memenuhi keperluan batin dan intim isterimu.
Wanita, jadikan rumahmu tempat di mana suamimu berasa tenang dan dikehendaki. Sambut suami pulang dari kerja dengan hidangan yang enak, wajah yang tersenyum dan perbualan yang menggembirakan. Buat dia rasa dihargai di atas kerja keras dan perbelanjaannya yang murah hati dan buatlah dia rasa dihormati. Seorang lelaki, walaupun dia memegang jawatan yang rendah di tempat kerja, dia harus rasa seperti seorang Ketua apabila di rumah. Ini mendorongnya untuk bekerja keras dan melakukan yang terbaik untuk menyara keluarga. Berikan suami ruang untuk berehat selepas bekerja. Dan suami pastikan juga anda menjaga keperluan intim dengan isteri.
Apabila kedua-dua lelaki dan wanita memahami keperluan jantina yang bertentangan dan berusaha kuat untuk menggembirakan pasangan mereka, hasilnya adalah perhubungan bahagia yang utuh yang membawa kedamaian dan kebahagiaan kepada jiwa masing-masing.
Perkahwinan memerlukan pelaburan masa dan usaha, tetapi hasilnya berbaloi. Tidak banyak perkara di dunia ini yang boleh menghasilkan kebahagiaan pada tahap yang sama seperti perkahwinan cinta yang kuat.
Tentang Penulis: Shaykh Ismail Kamdar adalah pakar dalam Fiqh, Tafsir, Sejarah, Pembangunan Diri, dan Pendidikan.
Terjemahan: Mymuslimin.com
Sumber: Izzah Academy
Leave a comment