Matahari Ditahan Agar Tidak Terbenam Oleh Nabi Yusha’

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa ada seorang nabi daripada kalangan nabi-nabi Allah yang ingin pergi berperang. Maka beliau berkata kepada umatnya,  “Seorang lelaki yang telah bersetubuh dengan isterinya dan dia mengharapkan anak tapi masih belum mandapatkannya tidak boleh turut serta dalam peperangan ini. Begitu juga orang yang telah membina rumah tetapi belum sempat menaikkan atapnya. Juga tidak boleh ikut bersamaku orang yang telah membeli kambing atau unta bunting yang sedang menunggu kelahiran anaknya.”

Menahan Matahari

Maka berangkatlah nabi tersebut untuk berjihad. Ketika waktu Asar hampir tiba, rombongan tersebut telah sampai di desa atau daerah yang hendak dituju. Nabi tersebut memerintahkan kepada matahari, “Wahai matahari, engkau tunduk kepada perintah Allah dan aku juga demikian. Ya Allah,  tahanlah matahari itu  sejenak agar tidak terbenam.” Lalu Allah s.w.t. menahan matahari itu  hingga mereka dapat menakluki daerah tersebut.

Emas Sebesar Kepala Lembu 

Setelah itu, bala tenteranya telah mengumpulkan semua harta rampasan di sebuah tempat. Kemudian ada api yang marak menyala tetapi tidak mampu membakarnya. Maka nabi itu berkata, “Antara kalian, ada yang berkhianat, masih menyimpan sebahagian daripada harta rampasan, aku harap daripada setiap kabilah ada orang yang mengangkat sumpah.” Mereka bersumpah, ketika sampai kepada giliran dua atau tiga orang daripada anggota kabilah tersebut, tangan Nabi dipegang erat, kemudian Nabi berkata, “Kalian telah berkhianat.” 

Lalu mereka pun mengeluarkan emas sebesar kepala lembu. Emas itu kemudian dikumpulkan dengan harta rampasan lainnya yang telah dikumpulkan sebelumnya di tanah lapang. Tiba-tiba datanglah api menyambar dan melenyapkan harta tersebut.

Harta rampasan memang tidak pernah dihalalkan untuk umat sebelum kita. Ia kemudiannya dihalalkan untuk kita kerana Allah melihat kelemahan dan ketidakmampuan kita. (Riwayat Al-Bukhari 3124, Muslim 1747, Ahmad 2/325, Abdur Razzaq 9492, al-Baihaqi dalam al-Kubra 6/290.)

Pengajaran

  • Berjuang di jalan Allah merupakan suatu kewajipan setiap Muslim.
  • Urusan-urusan penting tidak patut diserahkan melainkan kepada orang-orang yang memang profesional dan mempunyai keahlian dalam mengurusnya.
  • Seseorang yang ingin berjihad di jalan Allah hendaklah memberi penumpuan terhadap jihad itu dan tidak sibuk memikirkan urusan dunia.
  • Keseronokan hidup di dunia dengan berbagai-bagai fitnahnya sering kali menyebabkan seseorang menjadi tamak.
  • Seluruh benda yang tidak bernyawa mengenal Allah s.w.t., tunduk dan patuh terhadap kehendak-Nya, sentiasa taat dan tidak melakukan maksiat dalam apa keadaan sekalipun.
  • Umat-umat terdahulu tidak dibenarkan mengambil harta rampasan peperangan, sebaliknya umat Muhammad dihalalkan mengambil harta rampasan.
  • Di kalangan Bani Israil dahulu terdapat golongan orang-orang soleh yang berjihad di jalan Allah, kemudian mendapat pertolongan dan kemenangan daripada-Nya.
  • Azab yang diturunkan Allah kepada suatu kelompok mungkin berpunca daripada kelakuan segelintir orang-orang yang ingkar kepada-Nya.
  • Khianat terhadap amanah merupakan satu dosa yang besar. Rasulullah s.a.w. menceritakan kepada kita bahawa orang yang melakukan khianat dalam pembahagian rampasan akan menerima hukuman dalam kubur, iaitulah akan dijilat api, manakala pada hari kiamat ia akan datang membawa apa yang dikhianatkan itu di atas belakangnya.
  • Para nabi dan rasul memiliki mukjizat yang boleh dilihat secara nyata dan kadangkala disembunyikan.

Sumber: 101 Kisah & Pengajaran daripada Al-Quran, Al-Hadis & Hayatus Sahabah oleh Zahazan Mohamed

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑