Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Tanggungjawab Memelihara Agama

إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ ٱلْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَن يَقُولُوا۟ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ(٥١)

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ(١٠٢)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua.

Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Tanggungjawab Memelihara Agama.” 

Hadirin yang dirahmati Allah

Tanggungjawab memelihara agama merupakan suatu kewajipan atau tugas seseorang Muslim untuk menjaga, memahami, dan mengamalkan ajaran agamanya. Menurut Imam al-Syatibi, maksud menjaga agama adalah “Memperkasakan rukun-rukun agama Islam serta hukum-hakamnya yang ada”. Tanggungjawab ini mencakupi beberapa aspek penting termasuklah dalam hal kehidupan, kemasyarakatan, kenegaraan, undang-undang, ekonomi (muamalah), sosial dan sebagainya. 

Ini kerana, Hifz ad-Din ( حفظ الدين) merupakan konsep memelihara agama Islam daripada sebarang ancaman dan tekanan. Ia selari dengan prinsip Maqasid Syariah yang dianjurkan oleh Islam dengan keutamaan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda, bagi menjamin kehidupan di dunia dan di akhirat. Kejayaan hidup di dunia merupakan jambatan menuju akhirat yang kekal abadi. Kebahagiaan di dunia merupakan asas lahirnya generasi yang bertakwa mewarisi kecemerlangan umat manusiawi. Namun begitu, anugerah ini tidak diberikan kepada mereka yang sentiasa mengabaikan syariat dan agama Allah. 

Muslimin sekalian

Bagi kita yang mengaku Muslim, apakah tanggungjawab kita menjaga agama? Menjaga agama merupakan suatu tanggungjawab yang besar bukan hanya sekadar dengan kata-kata dan ucapan yang berdegar-degar namun ia memerlukan komitmen dan tindakan yang lebih jitu. Agama perlu dipelihara agar kekal utuh dan diamalkan sepanjang masa dan zaman. Umat Islam perlu bangkit istiqamah melakukan beberapa perkara agar agama terus dijulang dan dimartabatkan. Antaranya: 

1. Menjunjung perintah dan amalan yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah dengan yakin dan menjadikan akidah sebagai satu pegangan yang diyakini dan muktamad berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sekiranya kita menolak dua sumber asas itu, maka lahirlah kepercayaan-kepercayaan dan keyakinan amalan, pemikiran serta ideologi dan falsafah-falsafah moden tentang kehidupan di dunia dan kehidupan selepas mati yang bertentangan dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Ini dapat dilihat terdapat pelbagai aspek penyebab berlakunya penyelewengan akidah umat yang boleh membawa kepada kekufuran, kejahilan, menggunakan akal secara mutlak, kecenderungan kepada dunia dan mengetepikan agama dalam mencari pengaruh dan pengikut adalah faktor yang membawa kepada penyelewengan akidah. Impak dan kesannya sangat besar dan merbahaya kepada agama dan umat jika ianya dibiarkan terus berlaku dan gagal dikekang. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 19

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلْإِسْلَـٰمُ ۗ

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.” 

(Surah Ali-Imran 3:19)

2. Memperkasakan pentadbiran dan pelaksanaan hukum syarak. Ini bermakna, umat Islam mesti mengangkat, menghormati, dan memperkukuhkan hukum Islam dalam pelbagai aspek kehidupan. Ia merangkumi pengembangan, pemahaman, penerimaan, dan implementasi prinsip-prinsip syariat dalam segala bidang, termasuk dalam bidang hukumhakam, ekonomi, sosial, dan budaya. Beberapa langkah pro-aktif dapat dilakukan demi memartabatkan syariat Islam dengan memperkasakan undang-undang dan Institusi keagamaan demi memartabatkan agama dan umat Islam.

Di samping itu, pengemaskinian enakmen dan sistem tadbir urus perundangan Islam bagi memastikan amalannya kekal relevan dilaksanakan pada setiap masa dan zaman. Ini kerana, penetapan dan pengukuhan hukum syariah bermatlamat menyeru manusia berada di bawah lindungan hukum yang adil dan saksama. Oleh itu, mengambil hukum berdasarkan kepada hawa nafsu dan keinginan manusia sematamata tanpa petunjuk wahyu adalah ditolak oleh Islam. Hakikat dan faktanya, pelaksanaan syariat Islam secara menyeluruh akan memberi naungan dan keadilan serta keselamatan kepada umat Islam dan bukan Islam. Secara tidak langsung, melalui pemerkasaan syariah, masyarakat mendapat manfaat daripada program dan aktiviti bersifat rohani dan keagamaan. 

3. Komitmen dan usaha untuk menyebarluaskan syiar Islam. Allah SWT telah memberi jaminan untuk memelihara agama Islam dari sebarang bentuk pengubahan dan memelihara agamanya dengan syiar-syiar yang ditonjolkan kepada umat Islam. Ia amalan yang diwarisi oleh umat semenjak zaman Nabi Muhammad SAW sehingga ke hari ini secara praktikal. Hakikatnya, syiar Islam perlu dizahirkan dan disebarkan di mana sahaja kita berada.

Terdapat hikmah dan pengajaran dalam menyebarkan syiar Islam agar kebenarannya dapat dizahirkan dan diamalkan oleh masyarakat. Disamping itu, dalam memperkembangkan syiar Islam kita juga perlu menunjukkan sikap al-Tasamuh (toleransi) antara penganut agama lain bagi mengelakkan sebarang konflik dengan menghayati roh ajaran al-Quran dalam menjalinkan hubungan dengan golongan bukan Islam. Antaranya melaksanakan keadilan dan menunaikan janji serta menjamin perlindungan dan keamanan kepada mereka. 

4. Perintah agar saling mengajak kepada melakukan perkaraperkara yang makruf dan mencegah perkara-perkara yang mungkar sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 71: 

وَٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍۢ ۚ يَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ ٱللَّهُ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌۭ(٧١)

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Taubah 9:71)

Usaha dan tanggungjawab mengajak kepada melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah suatu tugas dan amanah yang sangat besar. Ia tidak mampu untuk dilaksanakan secara individu sebaliknya ia menjadi tanggungjawab bersama. Tujuannya adalah untuk mencapai tujuan syarak iaitu memelihara agama, akal, nyawa, harta dan keturunan.

Mencegah kemungkaran, kemudaratan dan menghalang kemaksiatan daripada berlaku dalam masyarakat adalah suatu tuntutan, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri Radiallahuanhu bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman.”

(Riwayat Muslim)

5. Bagi merealisasikan agama Islam dipelihara daripada ancaman dalaman mahupun luaran, tuntut dan kajilah ilmu agama dan mempertahankannya daripada diperkotak-katikkan. Jangan sesekali kita menjadi seperti lalang, goyah tidak berprinsip apabila menyatakan kebenaran wahyu dan hal-hal yang melibatkan kesucian dan kemuliaan agama.

Dalam satu hadis bahawa Rasulullah SAW telah mengingatkan kita tentang kelalaian sebahagian umat hari ini yang pasti akan mengikuti jejak orang-orang terdahulu dari umat lain. Hadis mengenai hal ini merupakan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Dan pasti kalian akan mengikuti orang-orang sebelum kalian setapak demi setapak dan sejengkal demi sejengkal, hingga kalaupun mereka masuk ke lubang biawak kalian pasti akan mengikutinya.” Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, jejak orang-orang Yahudi dan Nasrani?” Beliau menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka.”

(Riwayat Muslim) 

Di samping itu, mimbar Jumaat ingin mengingatkan tanggungjawab memelihara agama melibatkan semua umat Islam tanpa terkecuali. Namun, ia perlu diuruskan dengan bijaksana dan berhikmah. Begitu juga, tanggungjawab ini memerlukan kepada pelbagai pendekatan dakwah moden dan semasa bagi menyeru umat kembali kepada agama secara menyeluruh.

Ini dapat dilihat, melalui kerjasama pelbagai pihak dalam usaha memberi pemahaman dan kesedaran kepada sesuatu isu dan persoalan dalam agama yang dibangkitkan dalam masyarakat agar dapat diselesaikan secara tuntas dan efektif. Kadang-kala isu dilihat remeh namun memberi impak besar pada masyarakat begitu juga sebaliknya. Sebagai umat yang cintakan agama, kita perlu berusaha memperbaiki pendekatan dakwah dan hubungan sesama manusia agar agama Islam dicintai, dijunjung dan dipelihara sepanjang zaman. 

Hadirin sekalian

Mengakhiri khutbah ini, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran dan penghayatan agar dijadikan pedoman dan panduan kita. Antaranya ialah: 

1. Tanggungjawab memelihara agama merupakan suatu kewajipan atau tugas seseorang Muslim untuk menjaga, memahami, dan mengamalkan ajaran agamanya. 

2. Umat Islam hendaklah memelihara agama Islam daripada sebarang ancaman dan tekanan. 

3. Allah memerintahkan agar kita saling mengajak kepada melakukan perkara-perkara yang makruf dan saling mencegah daripada melakukan perkara-perkara yang mungkar. 

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٰطِى مُسْتَقِيمًۭا فَٱتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِۦ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٥٣)

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) menceraiberaikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.”

(Surah Al-An’am 6:153)

Tarikh Dibaca: 17 Jamadilawal 1445H/1 Disember 2023M
Disediakan oleh: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑