يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَنفِقُوا۟ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّآ أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا۟ ٱلْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِـَٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغْمِضُوا۟ فِيهِ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ(٢٦٧)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita menzahirkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan kesungguhan melakukan segala amalan ketaatan serta menjauhkan diri daripada segala perbuatan kemungkaran. Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba-hamba Allah SWT yang muttaqin.
Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara yang lalai seperti menggunakan telefon atau berbual-bual. Marilah kita melazimi solat berjemaah di masjid dan surau. Sesungguhnya solat mencegah kita daripada kejahatan dan kemungkaran. Semoga segala amal ibadah yang kita lakukan diterima Allah SWT.
Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Memaknakan Kekayaan Dengan Berzakat”.
Sebelum itu, mimbar mengajak sidang jemaah sekalian, marilah kita teruskan bermunajat dan berdoa agar Allah SWT memberikan keselamatan, kesabaran dan kemenangan buat penduduk Palestin. Bantulah mereka dengan apa jua cara yang termampu dan janganlah kita biarkan mereka bersendirian menghadapi ujian yang sangat berat itu. Semoga rakyat Palestin dibela dan bumi Palestin terus kekal menjadi hak mereka.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Allah SWT mengurniakan nikmat kepada hamba-Nya dalam bentuk yang pelbagai. Antara perkara yang menjadi nikmat dan kecintaan seorang hamba ialah harta. Kekayaan sering dianggap sebagai cita-cita utama dalam kehidupan dunia. Namun, ia datang bersama-sama dengan tanggungjawab.
Syariat Islam memurnikan tanggungjawab ke atas harta dengan mewajibkan ibadah zakat. Umum mengetahui bahawa zakat ialah rukun Islam ketiga dan wajib ditunaikan ke atas beberapa jenis harta yang ditetapkan setelah memenuhi syarat tertentu dan diagihkan kepada golongan tertentu. Ini dapat diterjemahkan menerusi kewajipan zakat ke atas harta dan pendapatan yang diperolehi dengan hasil usaha yang baik dan halal.
Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Janganlah sesekali kamu memilih yang buruk lalu kamu dinafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak sudi mengambilnya melainkan dengan memejamkan mata kepadanya. Ketahuilah, bahwa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”
(Surah Al-Baqarah 2:267)
Menurut Imam Ibn Kathir maksud hasil usaha yang baik adalah dari aspek perolehan pendapatan yang mempunyai sumber yang pelbagai samada dari aspek perniagaan, pekerjaan, emas dan perak, pertanian, penternakan dan sebagainya. Justeru apa jua yang diusahakan jika cukup dan memenuhi syarat-syarat kewajipan zakat, maka hendaklah ditunaikan kewajipannya sebagai memenuhi perintah membelanjakan harta pada jalan Allah.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Selain daripada bermatlamatkan ganjaran dan pahala untuk dinikmati di akhirat, zakat berperanan dalam memenuhi matlamat kewajipan sosial dalam kehidupan kita di dunia. Masyarakat secara umumnya terdiri daripada kalangan mereka yang mempunyai taraf kewangan yang berbeza.
Justeru, keadaan ini menuntut kepada kestabilan dan keseimbangan ekonomi agar pengagihan manfaat tidak hanya tertumpu kepada golongan yang tertentu sahaja.
Keseimbangan ekonomi dan keadilan sosial dapat dipenuhi dengan melaksanakan kewajipan berzakat. Kekayaan tidak mempunyai makna jika ianya hanya sekadar berlegar di tangan mereka yang berharta semata-mata. Selain itu, berzakat merupakan satu bentuk manifestasi tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT. Sifat kedekut dalam jiwa manusia dapat dihapuskan dan sekaligus menyuburkan sifat ihsan dan peribadi yang dermawan lagi mulia. Inilah jati diri seorang muslim yang benar-benar memurnikan maksud ketakwaan kepada Allah.
Peningkatan kutipan zakat akan menjadikan golongan asnaf semakin terbela. Mereka bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti hidup, bahkan menerusi skim agihan zakat yang sistematik dan bersifat produktif, mereka berupaya untuk menjana pendapatan menerusi usaha dan penglibatan dalam aktiviti perniagaan, projek pembangunan asnaf dan seumpamanya.
Di samping itu, keupayaan asnaf untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna di peringkat sekolah dan pengajian tinggi juga dapat dipertingkatkan menerusi dana zakat. Inilah di antara hasil yang diperoleh daripada zakat yang diuruskan dengan baik dan sistematik kerana ianya adalah amanah yang wajib ditunaikan dengan sebaik mungkin.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengagihkan sebanyak RM739.08 juta dana zakat sehingga bulan Oktober tahun ini yang merangkumi skim pembangunan asnaf, bantuan perlindungan, bantuan ekonomi dan pembangunan ummah. Agihan zakat juga dilaksanakan menerusi skim Wakalah dalam skala yang lebih luas dan efisyen. Justeru, pihak MAIWP menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM1 bilion pada tahun 2023 ini bagi memenuhi aspirasi dan keperluan asnaf yang semakin tinggi dan meningkat saban tahun.
Kini kita sudah berada di penghujung tahun 2023. Mimbar ingin mengingatkan dan menyeru bahawasanya kita semua mempunyai tanggungjawab yang mesti dilunaskan berkaitan kewajipan menunaikan zakat khususnya zakat pendapatan sebelum berlabuhnya tirai tahun ini.
Ketahuilah bahawa zakat pendapatan mestilah dibayar di tempat di mana kita berkhidmat dan mencari rezeki. Jika kita berkhidmat di Wilayah Persekutuan tetapi menetap di luar Wilayah Persekutuan, maka adalah lebih utama kita mengeluarkan zakat itu di Wilayah Persekutuan. Ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW kepada Muaz bin Jabal Radiallahuanhu menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas Radiallahuanhu yang bermaksud:
“Maka sampaikanlah kepada mereka bahawa Allah SWT telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) pada harta-harta mereka, yang diambil daripada orang-orang kaya dalam kalangan mereka dandiberikan kepada orang-orang miskin dalam kalangan mereka.”
(Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini dijadikan sebagai sandaran dan dalil yang menunjukkan keutamaan membayar zakat di tempat seseorang itu mencari rezeki. Ini adalah kerana fakir miskin di kawasan tersebut adalah lebih berhak untuk menerima zakat daripada hasil yang ditunaikan oleh pembayar-pembayar zakat di kawasan tersebut. Maka Keputusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang telah bersidang pada 31 Julai 2018 telah menjelaskan bahawa zakat hendaklah dibayar di Negeri tempat seseorang itu bekerja dengan tidak mengambil kira di mana seseorang itu menetap.
Berdasarkan matlamat murni ini, Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengambil inisiatif melancarkan kempen dakwah ‘Year End Zakat (YEZ 2023)’ sepanjang bulan Disember ini. Kaunter cawangan zakat di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan turut dibuka setiap hari sehingga akhir tahun. Bagi menyantuni sebarang pertanyaan berkaitan taksiran zakat, PPZ-MAIWP turut menyediakan perkhidmatan konsultasi zakat secara dalam talian menerusi kaunter zakat digital, di samping menyediakan kemudahan kaunter van bergerak, kemudahan membayar zakat dalam talian menerusi portal, potongan zakat secara bulanan dan aplikasi zakat dalam gajet.
Mimbar ingin menasihatkan seluruh umat Islam di Wilayah Persekutuan agar membayar zakat kepada PPZ-MAIWP melalui amil-amil zakat yang dilantik oleh MAIWP. Sesiapa yang membayar kepada amil-amil yang tidak bertauliah atau pihak-pihak yang tidak berautoriti adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559), iaitu; “Mana-mana orang yang wajib membayar zakat atau fitrah tetapi enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu melalui amil yang dilantik, atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa, oleh Majlis untuk memungut zakat atau fitrah, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Ibadah zakat seperti zakat firah, zakat harta dan zakat pendapatan bukan sahaja salah satu bentuk penyucian jiwa dan harta bahkan ia berupaya memupuk semangat persaudaraan dan kasih sayang di antara golongan kaya dan miskin.
Kedua: Kikislah sifat bakhil di dalam diri dan tingkatkan kepekaan kita terhadap masyarakat di sekeliling kita agar mereka yang memerlukan dapat terus dibantu melalui zakat yang kita keluarkan.
Ketiga: Bersegeralah menunaikan kewajipan zakat melalui pelbagai saluran yang disediakan demi meraih keredaan Allah SWT dan demi manfaat asnaf serta golongan yang amat memerlukan bantuan.
Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah surah Saba’ ayat 39:
قُلْ إِنَّ رَبِّى يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ وَيَقْدِرُ لَهُۥ ۚ وَمَآ أَنفَقْتُم مِّن شَىْءٍۢ فَهُوَ يُخْلِفُهُۥ ۖ وَهُوَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ(٣٩)
Bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya, dan setiap yang kamu belanjakan maka Allah akan menggantikannya dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki.”
(Surah Saba’ 34:39)
Tarikh Dibaca: 17 Jamadilawal 1445H/1 Disember 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment